Khamis, 31 Julai 2008

AL-FATIHAH KEPADA SN S.OTHMAN KELANTAN

Kenangan terakhir di Surau Bangi Perdana.
Jenazah SN S. Othman Kelantan diusung menuju negeri abadi.

SESUNGGUHNYA ALLAH lebih mengasihi orang yang kita sayang. Berita pemergian Allahyarham S. Othman Kelantan (pak Syed) ke negeri abadi saya terima daripada anaknya SM Zakir jam 12.05 minit malam tadi iaitu beberapa minit selepas isteri saya mengucapkan 'Selamat Ulang tahun kelahiran' saya pada tanggal 31 Julai 2008. Saya menulis sms kemudian memanjangkannya kepada rakan penulis akrab. Rahimidin segera membalas dan menyatakan akan terus ke Bangi, begitu juga Saleeh dan Amiruddin. Malam tadi, sehingga jam tiga pagi saya terus menerima pertanyaan demi pertanyaan akan kepastian berita itu. Selepas subuh saya segera bersiap ke pejabat.

Sampai di pejabat, Pak Arenawati menghubungi saya dan meminta saya mencari bantuan untuk membawa dirinya menziarahi jenazah rakan sesasterawannya itu. Saya segera menghubungi En. Hanafi Ibrahim pegawai DBP dan meminta dia membantu menyelesaikan masalah Pak Arenawati. Bicara Pak Arenawati penuh sebak dan saya benar-benar terharu setelah beliau turut menyatakan bahawa kesihatan dirinya juga kini benar-benar tidak mengizinkan.

Kepada SM Zakir, teman seperjuangan paling akrab dan banyak membantu; sabarlah atas ujian ini. Ini semua hikmah yang akan dilalui oleh semua manusia. Hanya perjalanan kita ke negeri abadi sahaja yang masih dirahsiakan oleh Allah.

Kita juga bakal mengiringnya ke sana.

AL-FATIHAH. MOGA ROHNYA SENTIASA BERADA DI SISI KEKASIH-NYA. AMIN

Selasa, 29 Julai 2008

Bahasa Melayu: dari Kaca Mata Seorang Cendekia


SERDANG 28 Julai - Kerajaan perlu melakukan beberapa perubahan terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.

Cendekiawan negara, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keunikan bahasa Melayu boleh menjadi alat komunikasi bagi memantapkan lagi perpaduan kaum yang telah lama wujud.

Menurut beliau, pada masa ini usaha menggunakan bahasa Melayu untuk mewujudkan perpaduan kaum masih belum berjaya sepenuhnya.

"Kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta masih belum menggunakan sepenuhnya dan menguasai bahasa Melayu dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama pada Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi Bersama Kementerian Pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Ungku Aziz menegaskan, sistem pembelajaran amat penting untuk mewujudkan perpaduan negara agar lebih mantap dan ampuh.

Menurutnya, Laporan Abdul Razak 1956 juga menekankan kepada matlamat pendidikan adalah untuk menyatukan dan menekankan kepada perpaduan.

Sehubungan itu, kata Ungku Aziz, perubahan yang dirancang perlu merangkumi semua peringkat persekolahan termasuk di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau menambah, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menyediakan satu agihan sistem pelajaran paling mudah supaya pelajar dapat mempelajari bahasa Melayu dengan senang dari peringkat rendah hingga ke IPT.

"Kalau kita ada sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu yang mudah tidak mustahil kita dapat lahirkan pelajar berwawasan bagi mewujudkan perpaduan kaum," katanya.

Sementara itu Alimudin berkata, beliau tertarik dengan cadangan yang diberikan oleh Ungku Aziz yang mahukan beberapa perubahan perlu dilakukan terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran agar bahasa Melayu menjadi agen mewujudkan perpaduan kaum.

"Cadangan ini amat menarik dan pihak kami akan membuat pertimbangan wajar," katanya.

Beliau tidak menafikan bahawa bahasa Melayu dapat menjadi agen untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum di negara ini.

Menurutnya, rakyat seharusnya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana ia boleh menyatukan masyarakat melalui komunikasi.

"Selain menguasai bahasa Melayu, kita tidak boleh mengabaikan bahasa Inggeris yang sering digunakan dalam sebarang urusan di peringkat antarabangsa khususnya dalam bidang ekonomi," katanya lagi.

Alimudin berkata, seminar yang diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perancangan kedua-dua kementerian memberi penekanan kepada aspek kemahiran asas.

Selain ilmu pengetahuan, beliau berkata, pelajar perlu dilengkapi dengan kemahiran berkomunikasi, kemahiran teknologi maklumat, kemahiran membuat keputusan, berfikir secara kreatif dan inovatif.

(Artikel bahagian i ini dipetik sepenuhnya daripada Utusan Malaysia 29/07/08)

ii
Nah, itu kisah bahasa Melayu yang dilontarkan oleh dua tokoh besar negara. Persoalannya di sini ialah, di mana kedudukan bahasa Melayu itu? Bukankah sejak dua tahun lalu mantan menteri penerangan (Datuk Zainuddin Maidin) telah mewartakan bahawa yang akan diguna pakai ialah bahasa Malaysia. Di bawah pemikirannya yang dangkal dan jumuk itu, menyebabkan istilah Bahasa Melayu telah lama dikuburkan olehnya yang mewakil golongan Melayu mudah lupa itu.

Apa yang paling utama ialah kerajaan BN-UMNO perlu mewartakan kembali istilah Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Istilah yang tertera dan menjadi judul buku teks terbitan DBP perlu juga ditukar kepada Bahasa Melayu. Istilah dan penggunaan bahasa Malaysia itu perlu 'diharamkan' segera.

Tanpa ingin memeningkan kepala mana-mana pihak, perjuangan istilah ini perlu diselesaikan dahulu, kemudian mari kita ramai-ramai menghidupkan agenda bahasa Melayu seterusnya.

Isnin, 28 Julai 2008

BERKUNJUNG DAN MERENUNG KE DALAM DIRI

I
SEMALAM, kali ke tiga saya berkunjung ke Hospital Serdang untuk melihat dengan mata sendiri perkembangan SN S. Othman Kelantan. Saya bersama-sama Rahimidin Zahari dan Redzuan Harun juga pada petang Jumaat lalu bersama-sama Amiruddin Ali dan Aminhad, saya melihat kesihatan beliau tidak menentu. Anaknya, SM Zakir memaklumkan beliau 'mogok lapar'. Beberapa ketika di sisi SN itu, banyak yang bermain dalam fikiran. Pertamanya, sampai bila beliau harus terlantar di situ melalui ujian yang direncanakan Allah SWT? Kedua, siapakah yang akan meneruskan perjuangan seni kreatif beliau? Ya, mungkin SM Zakir akan melanjutkan kesinambungan itu. Ketiganya, bagaimana dengan nasib kerja-kerja sastera beliau yang masih bersarang dalam fikiran? Jika yang masih bersarang itu adalah masterpiece, bagaimana?

Maaf kerana saya berfikir lebih kepada keduniaan daripada berpandangan akhirati. Pandangan ini kerana, mungkin saya terlalu mencintai sastera dan budaya Melayu. Saya merenung dan berfikir, juga sesekali teringatkan pesan beliau ketika saya menjadi anak muridnya di UM dua belas tahun dahulu. Kata teman rapat saya ketika itu, Nassury Ibrahim, "fikiran Pak Syed ni gila-gila. Kerana gila-gila itu kita kena jadi gila-gila sama."

Ketika kami sampai; beliau sedikit resah dan uzur. Mudah-mudahan, Allah sentiasa berada di sisinya dan moga beliau segera sembuh.

ii
Rahimidin bercerita panjang sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Serdang. Singgah di bilik saya, bercerita hal lukisan kemudian meneruskan perjalanan. Katanya, ada entri baharu tentang 'ciuman' dan 'petua kahwin dua' yang bakal menyusul dalam blognya. Sama-sama kita tunggu janji itu. Di hospital, Redzuan Harun dah lama menunggu. Ketika di kantin hospital, kami bertiga makan karipap sambil berbicara tentang sastera dan pemenang Hadiah Sastera Perdana. Sms Nassury Ibrahim masuk ke dalam telefon saya; membuka dan membaca kemudian menunjukkannya kepada Rahimidin, "dah tengok. Kalah Zakir, hehehehe." Rahimidin menguntum senyum. Begitulah akrabnya kami sebab saling mengutuk apabila salah seorang daripada kami kalah dalam pertandingan atau sayembara. Rahimidin mencelah, "kalah bukan kerana karya tak hebat tetapi tak ada rezeki." Nah, itu jawapan penyair sufi yang memungkinkan segala kebenaran.

iii
Kekanda Azizi Hj Abdullah sms dengan pertanyaan, "apa dah jadi dengan juak2 PAS?". Saya tidak menjawab dengan ayat-ayat cinta yang panjang lebar tetapi sekadar membalas dengan kata-kata, "plot ceritanya berjungkir balik. Watak heroinnya tak protagonis. Latar sedikit lemah. gaya bahasanya ok. hehe."

iv.
Tahniah kepada rakan-rakan yang memenangi Anugerah Hadiah Sastera Perdana (HSP). Tahniah juga kepada rakan-rakan yang sedang berjuang di Bogor dalam program MASTERA. Teruskan perjuangan.

Jumaat, 25 Julai 2008

DISKUSI KARYA MPR

Dengan sukacita dimaklumkan, Alumni MPR (Minggu Penulis Remaja) akan mengadakan satu majlis Diskusi Novel dan Kumpulan Puisi Mantan Minggu Penulis Remaja, 2008. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu. Butirannya seperti berikut;
TARIKH: 2 OGOS 2008
HARI : SABTU
WAKTU : 8 PAGI
TEMPAT: DEWAN BAHASA & PUSTAKA, KUALA LUMPUR
BAYARAN: PERCUMA

BUKU YANG AKAN DIBICARAKAN:

SESI 1 (NOVEL)

- MANIKAM KALBU (Faisal Tehrani),
akan dibicarakan oleh En. Saleeh Rahamad

- PUISI UNTUK ESDYZUAR (Nisah Hj. Haron),
akan dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Faridah Jalil, UKM


- SALJU SAKINAH (Zaid Akhtar),
akan dibicarakan oleh Dr. Rahmah Ahmad H. Osman, UIAM


Pengerusi: Khairul Nizam Abd. Raub


SESI 2 (KUMPULAN PUISI)

- TAMAN PERCAKAPAN (Shamsuddin Othman),
akan dibicarakan oleh Prof. Arbak Othman, UPM


- MENGGELEDAH NURANI (Fahd Razy),
akan dibicarakan oleh Tn. Hj. Naffi Mat.


- SULUK CINTA (Ridzuan Harun),
akan dibicarakan oleh En. S.M Zakir


Pengerusi: Salman Sulaiman

Kedatangan anda kami alu-alukan dan inilah masanya untuk anda (warga pembaca dan pemerhati sastera) bertemu dengan penulis-penulisnya sendiri. Jumpa di DBP, nanti!

Untuk mantan yang sudah lama menjauh diri kalian diundang untuk menghangatkan suasana.

Entri ini dipindahturun dengan sedikit perubahan daripada laman tehrani
faisal.blogspot/s:

ANTARA MUZAKARAH DAN MUQABALAH: MOGA TAKDIR MENYELAMATKAN KITA

Pak Lah bersumpah di hadapan DYM Agung.
Inilah janji yang perlu ditunaikan

''SYUKUR ALHAMDULILLAH''.

Hati kecil saya ikhlas melafazkan ungkapan ini apabila mendengar berita bahawa PAS dan UMNO sanggup membunuh ego masing-masing dan bersedia untuk duduk bersila memulakan muqabalah bagi membincangkan kepentingan Islam dan umat Melayu negara ini. Saya sentiasa melihat dan merung ke dalam diri sendiri akan nasib bangsa yang seakan 'melukut di tepi gantang' atau seperti yang selalu saya andaikan sudah cukup derita 'menyalak bukit'. Mungkin ini suatu permulaan untuk membetulkan kesilapan masa lalu.

Dalam juzuk waktu yang benar-benar berjungkir balik ini, saya bukanlah penyokong mana-mana parti politik. Namun demikian saya juga bukan tidak memiliki parti. Sebagai rakyat yang merdeka saya perlu membuat pilihan sendiri dan pilihan parti saya adalah yang berteraskan kebenaran dan kejujuran. Keikhlasan dan ketakwaan. Keberanian dan kesenimanan.

Nah, pertemuan ini punya makna yang tersendiri, meskipun dapatan daripada kesimpulan itu mungkin terpaksa menidak dan menafikan hak keegoan masing-masing. Tetapi, sebagai seorang Melayu beragama Islam, saya menakrifi pertemuan ini adalah peristiwa bermakna bagi orang Melayu.

Moga dalam pertemuan yang sedang berlangsung dan akan berterusan ini, saya berharap air mata kesyukuran yang menitis ini akhirnya menyedarkan pemimpin-pemimpin Melayu bahawa kesepakatan adalah tunjang yang amat padu dalam membina sebuah negara bangsa. Pengorbanan adalah rasa tangguggjawab yang tiada tolok bandingnya.

Sekian lama lara dan derita dalam perjuangan, saya melihat pemimpin-pemimpin PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasarudin Mat Isa dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan mereka dalam soal ini. Tokoh-tokoh ini sanggup mengetepikan perbezaan ideologi politik demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Sebagai parti Islam PAS bersedia dan sanggup turun padang untuk menyabut salam UMNO. Sesungguhnya, inilah antara tindakan mulia di sisi Islam. Berjabat tangan sambil berlaga pipi kemudian berdakap tubuh kembali, merupakan manifestasi ukwah yang mungkin terungkaikan.

Saya berharap, muqabalah antara UMNO dan PAS ini akan berterusan dari semasa ke semasa dan tidak berhenti selepas UMNO rasa berjaya dan dapat menongkat langit pemerintahan negara. Kerjasama dan semangat saling membantu perlu berlanjutan tanpa mengira musim sakit atau sihat; tenat atau selasa. Percaturan saat duduk semeja demi membincangkan masalah orang Melayu dan Islam serta mengelakkan sebarang perbalahan adalah titik-bengik perjuangan. Apa yang penting ialah pada masa yang sama, diharapkan semua orang Melayu akan memberi sokongan padu kepada usaha ini dan tidak membuat tafsiran negatif terhadap apa yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin UMNO dan PAS. Perbezaan fahaman politik Melayu hakikatnya diikat oleh kesatuan akidah Islami. Dan kerana itulah, bangsa Melayu perlu bersatu dalam satu pasukan demi mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu.

Saya berharap agar muqabalah UMNO dan PAS ini akan dapat mengembalikan kekuatan orang Melayu yang kian runcing dan genting setelah dilanda tsunami PRU-12 beberapa purnama sebelum ini.

Bertanyalah kepada diri sendiri setelah kepimpinan tertinggi PAS dan UMNO duduk semeja; bagaimanakah pendirian kita?

Inilah hikmahnya kenapa Allah SWT menciptakan syurga dan negara.

Rabu, 23 Julai 2008

SEMINAR DHARMAWIJAYA DALAM KENANGAN

MENGUAR-UARKAN seminar ini bermakna satu penghargaan yang betul dan tepat sedang dilakukan. Tahniah atas usaha murni Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) yang sejak menjawat jawatan Sarjana Tamu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, beliau berusaha keras untuk mengangkat kembali kegemilangan sastera tanah air. Selepas seminar Usman Awang yang berjaya, makanya seminar kedua ini menyusul.

Seminar ini dijadualkan pada (perubahan maklumat akan dimaklumkan segera) ;

Tarikh :
16 OGOS 2008

Tempat :
Dewan Kuliah Za'ba,
Fakulti Bahasa Moden
dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia
.

Masa :
8.00 pagi - 5.00 petang

Pemakalah:
20 orang; antaranya Dr. Ramli Isin, Dr. A. Wahab Ali,
PM Arbak Othman, Prof A. Rahman Shaari, Mohamad Daud Mohamad,
Hasni Abbas, Mahaya Mohd Yassin,Hj. A. Rahim Abdullah,
Mohamad Shahidan, Hj. Naffi Mat dll.

Selamat mengimarahkan tokoh sastera tanah air.

Isnin, 21 Julai 2008

MOGA ALLAH SIHATKAN SN S. OTHMAN KELANTAN

SALAM. Saya baharu sahaja pulang daripada melawat SN S. Othman Kelantan yang kini sedang terbaring di CCU (Tingkat 4) Hospital UPM, Serdang. Beliau diserang sakit jantung, radang paru-paru dan kencing manis secara tiba-tiba. Setelah dimasukkan ke hospital pada hari khamis lalu, beliau sedikit kritikal pada dua hari lepas. Syukur Allahamdulillah, sehingga tengah hari tadi, saya sempat berbual dengan Dr. Noraini yang merawatnya; dan kata Dr. itu, "kesihatannya sedang beransur pulih. Cuma beliau perlu berehat secukupnya."

Saya sebenarnya ada mengambil gambar beliau yang terbaring di atas katil tetapi tidak tergamak untuk memuatturunkan ke dalam blog ini kerana begitu syahdu melihat seorang guru yang rancak berbicara, kelakar, dan bitara dalam falsafah Melayu itu tiba-tiba lesu. Maka saat ini saya teringatkan novel 'Mahabbah' karya SN Shahnon Ahmad yang memungkinkan dapat merungkai perasaan hati kecil saya.

Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah SWT dapat memahami hati, perasaan dan doa kita. Kini, seorang lagi SN sedang berhadapan dengan ujian Allah setelah Abdullah Hussein, Nordin Hassan, Arenawati, dan Shahnon Ahmad melalui ujian itu. Sebelum saya pulang, beliau yang masih menggunakan topeng oksigen menggenggam erat tangan saya. Mulutnya berkumat-kamit menyatakan sesuatu tetapi sayang saya tidak dapat membaca dan memahami gerak bibir itu. Kelopak matanya yang bergenang itu benar-benar menyentuh tanah nurani saya.

Saya akan selalu berdoa agar nama-nama besar itu sentiasa berada dalam rahmat dan hidayah Allah. Amin.

Khamis, 17 Julai 2008

SELEPAS SEMALAMAN ITU...


SELEPAS SEMALAMAN ITU, saya dihujani sms yang amat dahsyat dengan ayat-ayat cintanya. Ayat-ayat itu berbaur dendam dan caci-cacian yang tidak tergamak saya ceritakan dalam entri ini. Dan tentunya caci-cacian itu ditujukan kepada peristiwa 'debat' semalam. Ada yang menyokong dan menghakimi dengan bitara masing-masing. Ada yang mencerca dan mengutuk dengan kebahlulan masing-masing. Dan tidak kurang yang berada di tengah-tengah tiang dengan sikap 'menang-menang' sebabnya malas berfikir dan hanya sanggup menjadi manusia penerima sedanya.

Apa-apapun, tanggapan yang satu 'raksasa' dan yang satu 'ultraman' bukan ukuran dalam entri ini. Siapapun mereka waima di pihak PR atau BN mereka berdua adalah manusia yang berani tampil di depan khalayak dan berhujah. Keberanian ini perlu dipuji meski 'niat' mereka berdua itu hanya mereka berdua sahaja yang ketahui. Itu tidak penting, yang penting ialah bagaimana konsep pintu kebebasan bersuara kini seakan-akan terbuka.

Nah, apabila pintu sudah terbuka; tentunya akan wujud konsep tetamu dan tuan rumah. Tetamu adalah orang luar meski saudara sendiri, mana kala tuan rumah adalah orang yang paling berkuasa. Tuan rumah perlu menyahut salam tetamu dengan seikhlasnya; dan tetamu pula menghulur tangan untuk bersalaman. Semuanya itu akan berlaku dalam situasi yang penuh hikmah jika dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Saya selalu merenung ke dalam diri kemudian bercongak dengan pertanyaan ini, sejauh manakah tuan rumah menerima kehadiran tetamunya semalam? Ikhlaskah atau punya agenda terancang untuk melunaskan dendam lama yang terpendam?

Inilah permainan 'debat' yang licik. Ada rahsia terbongkar, ada dendam terserlah, ada senyuman dalam sinis, ada gurau dalam kata-kata dan ada keikhlasan dalam ketakutan. Semuanya berjungkir balik dalam waktu singkat dan terkawal.

Dunia. Lihatlah tanah airku.

Rabu, 16 Julai 2008

TENTANG DEBAT DAN JIWA KEPIMPINAN

TENTUNYA sebahagian daripada 27 juta rakyat Malaysia malam tadi tidak melepaskan peluang menonton rancangan siaran langsung Debat yang ditayangkan jam 9.00 malam di siaran TV9 dan astro Awani 501. Begitu juga saya, yang petangnya (sekitar jam 6.45 petang) sudah tidak dibenarkan memasuki bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya pulang ke rumah meski telah berjanji dengan seorang editor kanan penerbitan ulung negara untuk melihat debat itu secara langsung. Selepas memberitahu keadaan yang tidak mengizinkan untuk bertemu, dan dia juga akur dengan keadaan jalan raya yang sesak (macet); kami mengambil keputusan menontonnya di kaca televisyen sahaja.

Jam 9 malam, bertemankan secawan kopi 'o' dan kerepak pisang nangka, saya tekun di depan televisyen. Tampil sosok tubuh panel sedikit mengimbau kenangan silam saya ketika menjadi mahasiswa Universiti Malaya belasan tahun dahulu. Datuk Johan yang saya akrabi ketika menjadi ahli persatuan penulis tampil dengan kebiasaan dan kesahajaan. Persoalan mudah telah diajukan kepada kedua-dua panel dan mereka berdua menjawab dengan kebijaksanaan masing-masing. Mererka berdua menjawab dengan kepintaran bermain madah seloka dan pintar menikam dendam. Saya terus menonton, melihat, berfikir sambil sesekali meneguk dan mengunyah. Kesimpulannya mudah iaitu, yang bitaranya ialah pengerusi iaitu Datuk Johan Jaaffar (DJJ), bijak mengawal masa dan situasi. Dua orang rakan di sebelahnya pula bijak mencatur ujian untuk menguji sejauh mana keyakinan dan keupayaan diri panel berhujah dan mempertahankan gagasan.

Izinkan saya membuat rumusan di sini tanpa berniat untuk menyinggung atau menyokong mana-mana pihak.

Pertamanya: Debat malam tadi berstatus bumi dan langit; kerana Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI) merupakan seorang yang banyak membaca dan berkarisma dalam hal-hal yang berkaitan pidato. Beliau sering diundang ke merata dunia untuk bersyarah dan tentunya ini merupakan latihan terbaik kepada beliau ketika diberi peluang. Ruang dan waktu digunakan dengan sebaiknya dengan pengalaman yang luas itu. Mentelahan pula, beliau pernah menjawab jawatan kedua penting negara. Datuk Shabery (DS) dilihat tidak mencapai tahap berhujah dan sering membuat serangan peribadi untuk mempertahankan hujah bagi mewakili gagasan kerajaan. Dengan ketokohan berhujah yang tidak menentu itu, akhirnya menyerlahkan dirinya sendiri bahawa kupasan tajuk tidak disentuh untuk mewakili gagasan kerajaan. Idea kerajaan tidak terjelma untuk meyakinkan rakyat khususnya bagi pihak saya.

Kedua: Analogi mudahnya ialah; DSAI ingin turunkan harga minyak manakala DS ingin mempertahankan kenapa harga minyak perlu dinaikkan. DS berhujah tentang negara pengeluar minyak dunia seperti Venuzela, Iran, Arab Saudi, dan sebagainya. Isu yang dibangkitkan oleh DS ialah harga minya di negara tersebut murah tetapi kadar inflasinya tinggi. Idea ini dipatahkan oleh DSAI dengan alasan harga minyak di negara kita tinggi dan kadar inflasi negara juga tinggi. Ini ketirisan yang perlu dipertanggungjawabkan. Logik akal, saya membuat penilaian bahawa adakah saya perlu menyokong gagasan harga minyak tinggi dan kadar inflasi tinggi itu tidak membebankan rakyat?

Ketiga: DS berhujah hal dunia global dan negara pengeluar minyak juga pasaran harga minyak yang tidak menentu menyebabkan harga minyak tidak stabil. DSAI berhujah tentang nasib rakyat yang derita akibat kerakusan menaikkan harga minyak yang mendadak. Dua isu besar ditemukan dalam erti kata satu ingin melihat dunia dan yang satu lagi ingin membela nasib rakyat. Isu besar ini tidak menjadi gagasan penting kepada mereka kerana mereka menyentuh isu Petronas dan isu peribadi. Malang bagi rakyat Malaysia apabila dua ekor gajah berdebat; semut mati kerana dibodohkan.

Keempat: Sejauh manakah ikhlasnya mereka berdua ingin membantu rakyat? Gagasan adalah sesuatu yang ideal mana kala pelaksanaannya adalah satu beban dan tanggungjawab.

Selapas ini, tentunya desir angin akan bertukar menjadi ribut. Yang terasa hebat akan menang dan yang tidak hebat akan dihakimi sebagai kalah. Tetapi apa yang ingin saya jelaskan ialah DSAI cuba membela nasib rakyat bawahan yang derita dan terseksa kerana kenaikan harga minyak sementara DS mewakili kerajaan, melihat perlunya kenaikan harga minyak adalah untuk pemacuan ekonomi negara.

Perkiraan dan congak mudah saya begini; harga minyak wajar naik tetapi jangan terlalu mendadak. Subsidi ialah perkara wajib yang perlu dilakukan oleh kerajaan kerana pemberian subsidi akan menjadi kayu ukur kepada kebijaksanaan dan kejayaan kepimpinan negara. Pemberian subsidi bukan bermakna rakyat bermentaliti peminta sedekah tetapi memperlihatkan rasa tanggungjawab dan peranan kerajaan membela nasib rakyat dan menguruskan harta negara waima kerajaan. Dalam konteks agama, subsidi samalah darjatnya dengan sedekah. Salah ke sebuah negara yang kaya memberikan sedekah atau sumbangan kepada rakyat mereka sendiri? Dalam konteks sebuah negara Islam, mungkin subsidi adalah tuntutan zakat yang perlu ditunaikan. Maknanya juga, jika harta kita banyak maka pemberian sedekah atau zakat atau derma atau sumbanagan itu juga mestilah besar mengikut sistem kiraan nisab.

Tanpa rakyat sebuah negara tidak akan menjadi hebat. Kehebatan tamadun negara bermula dengan rasa percaya kepada perdebatan ilmu. Oleh itu, akhirulkalam budaya debat sebegini wajar diteruskan. Jika budaya ini dilihat secara rasional makanya rakyat akan menjadi seorang pemikir dan seorang pentafsir untuk membuat pilihan. Budaya ilmu perlu dikembangkan sejajar dengan budaya ketamadunan bangsa hebat dunia.

Kita perlu kembali kepada sejarah dan belajar daripada sejarah bangsa agung dunia bahawa debat adalah proses perkembangan ilmu yang amat sihat. Kita perlu akur untuk menelannya meskipun pahit. Saya juga tidak ingin melihat sejarah Pak Kaduk yang ayam menang tetapi kampung tergadai kembali berlaku pada abad-21 ini.

Sama-samalah kita berfikir dan menilai konsep debat secara bitara sambil merenung nasib rakyat secara ikhlasnya.

Isnin, 14 Julai 2008

BUDAYA PENYERAHAN KUASA DAN FITNAH


Berlatarbelakangkan masjid Agung Kediri

SEBENARNYA saya malas untuk meluaskan idea daripada entri ini. Memandangkan ada desakan daripada teman editor untuk menulis entri makanya saya mencoretkan idea awal dalam blog ini sebagai mukadimah dan pencetus 'mood' penulisan artikal yang lebih ilmiah. Sememangnya memenuhi impian teman editor itu bukan satu kerja mudah apatah lagi pada saat saya memerlukan masa yang benar-benar menghambat. Mahu tidak mahu demi rasa 'keakraban' dan kesetiakawanan itu saya menyanggupinya dan meminta sedikit waktu.

Proses 'Penyerahan/pengagighan kuasa' adalah satu proses biasa dalam sebuah kehidupan manusia. Sama ada disedari atau tidak, budaya ini telah terbina sejak sekian lama dalam kancah sosial masyarakat. Cuma yang menjadi aneh atau jangal ialah apabila budaya kerja diwartakan kepada media untuk menjadi bahan hebahan. Inilah yang anehnya, perkara biasa menjadi luar biasa sedangkan proses ini telah wujud sejak zaman manusia mengenal erti persaudaraan, kekeluargaan dan berfikiran politik lagi. Sejarah membuktikan bahawa proses pengagihan kuasa ini tidak mempunyai hukum hakam atau prosuder kerja yang tertentu. Tamsil yang mudah ialah bagaimana seorang ayah menyerahkan kuasa kepada anak sulungnya. Adakah ketika seorang ayah ingin menyerahkan kuasanya itu, maka satu majlis rasmi perlu diadakan? Lihat juga bagaimana sistem politik zaman khalifah al-Rashidin berlaku. Proses penyerahan kuasa ini adalah proses biasa. Proses ini berlaku di mana-mana dan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Persoalannya, mengapa hal ini dibesar-besarkan oleh media? Adakah kita ingin mengajar kepada generasi baharu bahawa dalam konteks kepimpinan negara atau keluarga proses penyerahan kuasa ini perlu dijadikan acara rasmi? Justeru, proses biasa itu akan bertukar wajah menjadi lebih elit dan eskulisif sifatnya.

Penyerahan kuasa berlaku apabila seseorang itu sudah merasai bahawa khidmatnya akan berakhir. Maksud berakhir sama ada merujuk kepada hilang upaya, ingin berehat, tamat tempoh bertugas, rasa hilang kepercayaan diri mahupun didesak untuk meletakkan jawatan atau kuasa. Hal ini bermakna, sama ada disukai atau tidak disukai niat itu, makanya apabila sampai detik, waktu dan saatnya maka seseorang itu perlu menyerahkan kuasa seperti yang telah dijanjikan oleh dirinya mahupun oleh takdir qada dan qadar Tuhan.

Saya melihat budaya ini budaya biasa yang tidak perlu diperbesarkan. Mungkin kita perlu belajar menjadi manusia yang boleh berfikir secara waras untuk menilai sesuatu perkara yang juzuk kepentingannya tinggi atau rendah. Tentunya perkara yang lebih penting perlu menjadi keutamaan.

Kenapa saya berfikiran demikiran? Pada perkiraan saya mudah sahaja, iaitu, bagaimana kalau dalam tempoh perjanjian penyerahan kuasa itu, sesuatu perkara yang tidak diingin berlaku? Mungkin jawapan paling mudah ialah semuanya dapat diatasi kerana kita sudah ada pengganti. Tetapi bagaimana pula jika yang ingin menjadi pengganti itu mati dahulu daripada orang utama yang ingin mneyerahkan kuasa? Maka akan berlaku satu konflik yang besar dan mungkin boleh membawa kepada haru- biru kepimpinan.

Oleh itu, saya amat bersetuju bahawa budaya penyerahan kuasa itu tidak menjadi amalan dalam budaya kita khususnya kepimpinan Melayu. Memberikan kepercayaan awal kepada seseorang samalah hukumnya dengan menafikan rukun Iman keenam iaitu mempercayai qada dan qadar.

Bagaimana dan sejauh mana tahap iman kita hari ini? Tidakkah kita percaya kepada peringatan rukun iman ini? Menolak rukun iman maka samalah hukumnya dengan menolak Islam. Pendapat in tentunya bersifat radikal dan keterlaluan.

Saya berfikiran sebegini kerana, saya melihat di sekolah, seseorang guru selalu menasihatkan anak-anak muridnya supaya berkeyakinan diri dan cekal hari dalam hal-hal kehidupan. Nah, dalam konteks 'penyerahan kuasa' seperti yang berlaku hari ini, kita seolah-olah menafikan usaha guru sekolah yang sedang menanamkan semangat jitu kepada generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara. Apabila budaya ini berleluasa, sudah tentu hak dan kewibawaan seseorang itu akan dinafikan secara licik dan tersusun. Kesan dan malangnya nanti ialah akan bertambah luas konsep kroni dan nepotisme dalam kalangan masyarakat. Budaya fitnah menfitnah dan ketidakpercayaan kepada orang lain akan berleluasa seterusnya membunuh satu generasi babaru yang ideal.

Hari ini, demi mengejar budaya 'penyerahan kuasa' itu, budaya fitnah kian menular dan seperti menjadi permainan dan sandiwara.

Bertanyalah kepada diri kita sendiri, apakah buaya 'penyerahan kuasa' itu budaya Melayu atau budaya Islam atau budaya apa?

Jumaat, 11 Julai 2008

SALAM SEBUAH BENUA TETANGGA

Sekembali dari kembara kali ini, saya banyak menerima email daripada teman-teman penyair muda Indonesia. Perjalanan ke Solo dan Kediri minggu lalu menemukan kami dalam suasana silaturahim yang amat akrab. Mereka mengutus sajak untuk sama-sama dimanfaatkan. Saya akui bahawa karya mereka juga baik di sisi ukuran kreatif dan keberanian berjuang.
Daripada banyak-banyak email itu, ada satu yang menarik untuk dikongsikan. Email itu daripada mahasiswa universiti Surabaya; namanya Rio Arrahman. Tanyanya kepada saya, "kenapa pemimpin Malaysia mengubah penggunaan Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia? Bukankah bahasa Melayu itu juga milik kami juga rakan dari Brunei, Singapura dan Selatan Thailand? Jika bahasa Melayu itu terkorban, makanya kami juga merasa deritanya. Tetapi hari ini, pemimpin bapak telah menafikan hak perkongsian itu. Ini juga bermakna pemimpin bapak menghina bangsa serumpun. Celaka benar pemimpin bapak!"
Saya membaca email itu dengan rasa bangga kerana rupa-rupanya orang sebangsa kita bernama Melayu sedih dengan keputusan itu. Saya terus membaca sajak-sajak kirimannya sambil mengakui bahawa pemimpin saya memang sudah lama dicelakakan oleh rakyat sendiri kerana tidak pernah membaca sejarah. Pemimpin kita tidak pernah membaca manuskrip luka bangsa.
Lamunan ketika menatap sajak-sajak itu mengingatkan saya saat menyusur lorong-lorong di muzium Kraton Solo. Saya mencari dan bermain teka-teki dengan sejarah gemulah sebelah ayahanda. Tiba-tiba saya teringatkan juga potret-potret kiayi yang bergantungan di dinding. Wajah-wajah mereka seperti merenung saya yang sedang terhukum di dalam cinta dan rindu imani.

Rabu, 9 Julai 2008

SAYAP JENTAYU SURAKARTA YANG ANGGUN

di taman Muzium Kraton Surakarta, Solo


SAYAP DI ATAS EMBUN


Surakarta yang anggun
kubawa namamu ke syurga
dan jasadmu ke pusara.

Tubuhku adalah jentayu rimba
yang tegar mengepak sayap
menyambar ikan di hening sawah
dan hinggap di gunung kembara.

Sebuah sepi kuterbangkan
ke kayangan
sebuah masa lalu
kutitipkan di desa kenangan.

Sepanjang malam
di atas sejadah embun
aku temui batas iman
seperti pelayar yang baru mengenal badai
mengukur batas laut
dan pasir yang menumbuh anganan.

Seperti juga selalu
dalam detik tersisa ini
aku mencari Engkau
meski langkah
yang membawa ke desa hijau
lelah dalam iktikaf.

Aku kini terbang: jauh ke seberang
kutinggalkan syahdu malam
dengan pesan dan impian.

Shamsudin Othman
Solo-Kediri-Kuala Lumpur.

Selasa, 8 Julai 2008

SALAM DARI TANAH SURAKARTA.


Bersama-sama pemakalah Malaysia
dari kiri: aku, Ibrahim Ghafar, SM Zakir dan M. Saleeh Rahamad


Sememangnya hajat hati yang membuak-buak untuk ke Solo telah lama aku impikan. Apatah lagi menurut gemulah sebelah ayahku, bahawa di tanah itu darah keturunan kami punya alirnya. Mungkin di sebelah keraton Babat Mataram itu gemulah aku membesar sebelum berhijrah ke Bogor, Jakarta. Ceritanya panjang dan aku masih mencari kebenaran di sebalik kisah-kisah masa lalu itu.

Sesampai di bumi Solo; bandara (bandar udara) Adi Sumarmo, Solo sempat menjeling orang-orang Solo yang lembut, baik dan penuh sopan santun. Di Grandmall, Jalan Slamet Riyardi, aku diajak SM Zakir ke Hotel Sanashistri di depan Grandmall. Selepas berehat sebenar dan solat jamak aku mengajak Hamer ke Pasar Klewer dan Kraton Solo. Ah, terlalu banyak yang aku saksikan kesan peninggalakan kehebatan kerajaan Surakarta. Aku cuba mengimbau kembali cerita-cerita masa lalu gemulah atuk tentang kakek dan pamannya yang tewas di tangan Belanda. Aku yang dapat menyaksikan sebahagian daripada duka lara gemulah itu mungkin akan ceritakan kepada rakan-rakan tentang peristiwa leluhur itu.

Pagi-pagi hari keduanya, aku bergerak meninggalakan Solo menuju Kediri. Sepanjang perjalanan aku seolah-olah berada di kampung halaman dua puluh tahun lalu. Suasana sawah padi yang menguning, kebung jagung dan pisang, hutan belantara semuanya itu mengungkapkan sejarah kanak-kanak dan remajaku.

Ah, semuanya itu amat mendekatkan meski aku terpaksa bersendirian. Empat hari menghirup udara tanah Surakarta mengajar aku menjadi lebih berhati-hati dan memilih. Selepas membentangkan kertas kerja, aku dikerumuni penyair-penyair muda Indonesia yang mula menghulurkan kartu nama dan salam perkenalan.

Menariknya, apabila kiayi Zawawi Imron sempat melukis wajahku. Aku syukur kerana dia memilih aku daripada kelompok teman-teman penyair/ seniman/ teman yang lain.

Soalnya kenapa aku? Sajak kembara ini masih dalam penukangan.

Salam.