Isnin, 14 Mac 2011

LELAKI BERSAYAP SYUHADAH


LELAKI BERSAYAP SYUHADAH

Tuhan tadirkan dia bersayap kembar
Yang kiri mencecah laut dan
yang kanan mencecah langit.

Saat lelaki itu mengepakkan sayapnya;
tujuh gunung dan seluruh tujuh lautan menderam bergelora
sehebat kudrat angin dan kudrat tanah menyatu di dalam diri lelaki itu
dia terbang menyusur pelangi kemudian hilang di dalam kabut.

Tuhan takdirkan dia bersayap kembar
dan saat dia menyepi di dalam sayapnya
ada getir suara berdesir membawa khabar lalu menyapanya
“pulanglah ke negeri tradisi
dengan sebuah kenyataan bukan mimpi dan kepalsuan.”

Dia lelaki bersayap syuhadah
tafakurnya adalah takwa yang merawat seluruh kecewa
dia lelaki bersayap syuhadah
doanya adalah air mata yang meluruh dendam
dia lelaki bersayap syuhadah
zikirnya adalah taufan yang membadai tangisan
dia lelaki bersayap syuhadah
diamnya adalah taubat yang mencengkam janji.

Aku mendengar kau memanggil –manggil namaku
suaramu meniti di pucuk rimbun pohonan
sesekali menggegar dalam laungan gementar
aku dan lelaki bersayap syuhadah itu
masih duduk antara dua sujud
menghadap laut dengan tasbih berputaran di tangan
di hujung bibir hati kami
ada segenggam maaf yang masih tak tertunaikan.

Aku dan lelaki bersayap syuhadah itu memanjat sepohon 'isyq
meninggalkan tanah nurani
dengan seluruh ketakutan api cinta-Nya
dengan seluruh keinsafan ombak rindu-Nya.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori

Selasa, 1 Mac 2011

MADRASAH CINTA


MADRASAH CINTA

Masuklah cinta ke dalam kasihku
masuklah rindu ke dalam sayangku
masuklah masuklah masuklah
dengan salam ikhlas dan jujur
telah kubuka seluasnya pintu
untuk-Mu ya Rabb

Madrasah cinta ini kubina untuk-Mu
tiangnya iman berlantai syukur
dindingnya insaf beratap ikhlas
tingkapnya zikir berpintu taubat
bumbungnya takwa beratap sabar
masuklah cinta masuklah rindu
ke kalbuku
aku damba manis syahadah-Mu
aku idam dingin usap-Mu

Ya Rabb, demi malam apabila ia berlalu
akulah musafir setia melangkah
menunggu utus-Mu
tanpa jemu
dan dendam iri.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.