Khamis, 23 April 2009

SEKEMBALI MENONTON FESTIVAL DRAMA 10 MINIT


SEKALUNG tahniah saya tujukan kepada tenaga produksi Festival Drama 10 Minit anjuran Bahagian Pengembangan Sastera, DBP, khususnya kepada sdr A. Wahab Hamzah dan rakan-rakan. Inilah satu pengalaman menonton teater yang paling menarik setelah hampir tiga bulan saya tidak menjejakkan kaki masuk panggung menonton teater/ drama. Mungkin dengan rutin kerja atau juga kerana skrip yang kurang menarik makanya saya tidak berkesempatan menonton sebelum ini.

Pementasana malam tadi pun berpunca daripada sms SM Zakir yang beriya-iya mengajak saya menonton kerana katanya seorang penyair sufi akan berlakon bersama-sama seorang gadis manis dalam asuhan. Tapi, bukan kerana pelawaan itu juga. Saya sebenarnya telah lama merancang untuk menontonnya kerana idea festival ini tercetus di DBP ketika saya dan A. Wahab Hamzah serta rakan-rakan karyawan DBP lain duduk bersembang. Ketika itu, saya baharu sahaja pulang dari Australia; sewaktu berjumpa dengan rakan-rakan DBP itu, saya menceritakan pegalaman menonton teater mini 10 minit di dataran terbuka berhampiran Opera Hall di Sedney. Pementasan yang terbuka dan terlalu 'bebas' itu berjaya meruntun hati . Saya canangkan idea itu kepada mereka.

Syukur, idea itu diterima kemudiannya diperkemas dengan lebih terancang. Bermula malam tadi hingga 25 April 2009, datanglah ke Stor Teater DBP untuk menyaksikan drama-drama 10 minit itu.

Berbalik kepada rakan penyair saya tadi. Terbukti bahawa dia bukan sahaja hebat bermain dengan kata-kata, memilih diksi yang memukau tetapi dia juga hebat di pentas panggung. Dengan hanya bersenglet pagoda putih, bersemotar, berkait batik, berkaki ayam, duduk dan sesekali berdiri dengan wayang kulit 'pokok beringin' dan 'Hanuman Kera Putih' di tangan kanannya; dia benar-benar seorang dalang 'moden yang tradisional'. Bermula dengan mentera buka panggung dia bercerita tentang bagaimana dia mendapat 'ijazah' sebagai dalang. Tetapi yang paling mencemburukan ialah, tiba-tiba muncul seorang anak gadis (dalam pembikinan) datang menyebah untuk menjadi anak muridnya. Di situlah bermulanya babak dan episod yang mencabar iman (rakan-rakan yang menonton menjadi cemburu yang amat sangat). Interaksi sinis-jenaka-serius dan nasihat, silih bertingkah ruang. Pujuk rayunya memukau; petah bicaranya tegas; susun lenggoknya kemas teratur dalam sedikit debaran yang tersasar (tersasar mungkin disebabkan dia dapat merasai bahawa rakan-rakannya yang mula tergoda dan cemburu). Meski pentas terang sepanjang 10 minit itu, tetapi itu adalah plot realisis dalam konsep keseluruhan dalam kesatuan 'problematik' warisan wayang kulit.

Disebabkan tok dalang itu adalah seorang penyair sufi, makanya dia tidak mengambil kesempatan menyentuh walau sepincing anginpun tubuh gadis itu. Dan hingga ke akhir cerita, gadis itu terus 'suci lagi menyucikan' di dalam pembikinan hingga lampu digelapkan dan kemudian dengarlah tepukan yang amat bergemuruh.

Tok dalang itu ialah Rahimidin Zahari seorang sahabat juga pewaris wang kulit yang hari-hari sunyinya adalah keresahan, marah, rindu dan sayang akan dunia yang dipilihnya.

Tahniah dan ingatlah bahawa lakon dan pentas tidak sepuas menukang puisi. Ikhlas daripada saya, sahabatku.

Menyentuh drama-drama lain pula iaitu drama 'Mico Yo-yo', 'Kotak Hari Jadi', 'Amir Amar', 'Kencing Peluh', 'Peristiwa Malam Itu'. 'Isteriku Tiada Susu', 'Apabila Ilham Menjelma' dan 'Dalang' adalah satu pengalaman yang tidak kurang menariknya. Pementasan yang banyak disertai oleh mahasiswa IPT seperti ASWARA, UiTM dan UKM memberikan petanda yang baik bahawa Stor Teater DBP perlu diberi ruang dan peluang yang secukupnya oleh kerajaan.

Pementasan sebegini tidak menuntut kos besar. Manfaat daripada pementasan ini dilihat dapat mewarnasuburkan dunia drama dan teater tanah air. Jika tidak percaya tanyalah kepada Zakaria Ariffin, Victor A. Pogadaev, Ismail Kasan, SM Zakir, Mohd Saleeh Rahamad, Mansor Puteh, dan lain-lainnya. Tentu jawapan yang bakal kita dengari ialah, "teruskan usaha murni ini. Kami sokong 100%."

Satu sahaja yang saya ingin cadangkan kepada pegawai DBP yang terlibat. Fikirkanlah bagaimana cara terbaik untuk 'membesarkan Stor Teater DBP' itu? Berikan sedikit keselesaan kepada penonton yang dahagakan pementasan murahan seperti ini tetapi impaknya lebih bermakna.

Selasa, 21 April 2009

PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL KE-2, 2009


Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-2, 2009 (PPMN 2009) bertemakan “Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran” dijadualkan pada:

Tarikh : 22 hingga 24 MEI 2009

Tempat : Puteri Resort, Ater Keroh, Melaka

PPMN 2009 ini adalah untuk mengintrospeksi perjuangan penulis muda hari ini setelah negara melalui cabaran 50 tahun mengekalkan kemerdekaan negara. Selain daripada pembentangan kertas kerja, PPMN 2009 ini membuka ruang diskusi penulis muda mapan dan baru.

Borang pendaftaran hendaklah tiba ke meja urus setia sebelum 10 Mei 2009.

Pertanyaan dan keterangan lanjut, sila hubungi Saifullizan Yahaya (03-21482480 - saif@dbp.gov.my), Wan Zaida Hj. Wan Yussof (013-6915266 – nuhamelissa@yahoo.com), atau Muhammad Lufti Ishak (013-2650876).

Ahad, 19 April 2009

Mencari Perbezaan dan Persamaan



SEBELUM ini saya sudah menyentuh ONE MALAYSIA/ 1MALAYSIA (UMNO) dan MALAYSIAN MALAYSIAN (DAP). Entri ini akan melihat pula gagasan PAS iaitu PAS UNTUK SEMUA (PAS FOR ALL).

Sekadar mencari perbezaan dan persamaan antara 1Malaysia/ Malaysian Malaysian/ PAS untuk Semua; cuba kita fikirkan bersama-sama sambil berteka-teki siapa ikut siapa?

Nah, di manakah titik persamaan dan perbezaannya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia ini? Masing-masing parti ada pandangan dan perenungan sendiri. Tetapi, secara mudah dan umumnya ialah masing-masing parti inginkan satu kesepakatan dan kemuhibahan, keamanan dan kedamaian, kesejahteraan dan kesatuan.

Ini semua adalah gagasan muluk yang merdu di telinga dan indah di mata. Bagaimana dengan penerimaan keikhlasan di lubuk hati? Bolehkah dalam masyarakat pelbagai kaum itu mereka mengorbankan prinsip bangsa dan bahasa ibunda semata-mata untuk merealisasikan konsep 'kesatuan' itu?

Tentunya dalam perkiraan yang ditelan pahit dibuang sayang itu, banyak prinsip terpaksa dikorbankan. Bagi orang Melayu bagaimana dengan prinsip 'Ketuanan Melayu'? Bagi orang Cina, bagaimana dengan prinsip 'Yang dan Ying'; dan bagi orang Tamil pula, bagaimana dengan prinsip 'kasta'nya?

UMNO dan DAP telah mengemukakan cadangan yang memihak kepada bangsa dan ras. Manakala PAS hanya dengan gagagsan ISLAM adalah pengikat kepada perpaduan dan kesatuan itu dengan alasan bahawa di syurga nanti tiada orang Melayu-Cina-Tamil mahupun orang putih. Yang ada di akhirat nanti ialah manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah dan manusia yang berkiblatkan berhala (baca selain yang mengEsakan Allah SWT).

Saya hanya inginkan kita merenung akan kata-kata SN Shahnon Ahmad yang disiarkan di dalam sebuah terbitan tabliot popular tanah air. Katanya,

Buat apa dipinda perlembagaan jikalau hati masih bergelumang dengan aktiviti korup, daya kerja masih lemah, fikiran masih tumpul dan dangkal, perasaan masih asyik gelisah dan keluh kesah.

Buat apa dipinda perlembagaan jikalau penyakit sebegini masih banyak daki dan karatnya?

Siasah:Bilangan 0145, 23-29 Rabiul Awal 1430 (19-25 April 2009)

Tanpa menyentuh mana-mana pihak dan parti, saya sekadar merasai akan nasib yang seperti ditipu oleh permainan slogan yang merdu di telinga dan indah di mata. Sesekali saya perlu merenung ke dalam diri sendiri sambil meluangkan sedikit masa untuk berfikir akan keikhlasan dan kejujuran slogan-slogan muluk ini.

Sebagai rakyat yang bertuankan UMNO dan mempunyai sedikit kebebasan bersuara tentunya saya punya hak untuk membuat banding beza sambil berteka-teki akan slogan-slogan muluk ini.

Khamis, 16 April 2009

'SUMPAH MELAYU' DAN SATU MALAYSIA



'SUMPAH MELAYU' yang saya petik di atas merupakan agenda Allahyarham Dato' Onn Jaafar. Ketika menatap kembali slogan indah ini, saya terpanggil untuk membanding beza antara slogan SATU MALAYSIA idea PM ke-6 dan 'MALAYSIAN MALAYSIAN' gagasan DAP yang menjadi serpihan parti hingga ini berjaya menerajui kepimpinan Singapura hari ini (rujuk sejarah penubuhan DAP).

Ketiga-tiga gagasan ini dilihat cuba mencorakkan kehebatan masing-masing; tetapi jika diperhalusi apakah perbezaan dan persamaanya? Saya tidak berniat untuk menulis panjang di dalam blog ini kerana kesuntukan masa dan beban rutin kerja. Sekadar membuka minda kita, cuba perhalusi secara tersirat kemudian carilah persamaan dan perbezaannya.

Saya mungkin salah atau terlalu dangkal berfikir. Sekurang-kurangnya saya membuka ruang dan tanggapan kepada masyarakat untuk merenung kembali gagasan itu.

Dari pihak saya, saya sentiasa berteka-teki, kenapa pemimpin-pemimpin ulung negara sebelum ini tidak menerima pakai sepenuhnya gagasan SUMPAH MELAYU Datuk Onn itu? Adakah sumpah itu hanya sebuah sumpah yang sekadar ingin mengaburkan mata rakyat atau sumpah yang seperti seekor sumpah-sumpah (baca boleh bertukar-tukar warna dalam keadaan tertentu).

Hari ini slogan SATU MALAYSIA mula meniti bibir rakyat. Apakah perbezaannya dengan gagasan DAP yang berjuang untuk menubuhkan negara bergelar MALAYSIAN MALAYSIA?

Saya akur bahawa dalam masyarakat yang berbilang kaum, semua tindakan dan percaturan perlu adil dan seimbang. Saya juga faham bahawa menjaga hati semua pihak tidak semudah yang dikatakan. Dalam hal ini, saya lebih suka menjadi seorang perenung daripada menjadi seorang pemikir.

Kata seorang sahabat saya yang kini menjawat jawatan penting di negeri kayangan. Katanya, "lebih baik melihat bulan mengambang daripada melihat dacing yang sengit sebelah."

Setiap malam. saya melihat langit itu dan berharap agar purnama segeralah muncul.

Rabu, 15 April 2009

SATU MALAYSIA



IDEA dan slogan SATU MALAYSIA amat muluk didengar dan dilafazkan. Idea yang lahir daripada pemikiran dan gagasan PM ke-6 dilihat cuba menentaskan ilham ke arah perpaduan, kerjasama dan keakraban. Saya akur dengan idea yang amat sinifikan dalam suasana yang sungguh tidak menentu ini. Saya akur tidak bermakna saya menyokong atau membantah. Saya akur kerana itu adalah idea pemimpin nombor wahid negara. Saya menentang pula kerana idea ini dibimbangi akan memusnahkan ideologi mahupun prinsip 'peribumi/ bumiputra'.

Persoalan yang perlu diyakinkan pada hari ini setelah 52 tahun usia kemerdekaan tanah air ialah, mengapa selama itu kita merdeka, masih ada bangsa cina dan tamil yang masih tidak boleh menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya? Bertambah hairan pula ialah, mengapa mereka boleh menguasai bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka dengan begitu cemerlang sekali?

52 tahun bukan satu jangka waktu yang singkat. Jika 52 tahun itu manusia, tentunya ketika usia ini, mereka sedang berkira-kira untuk menamatkan perkhidmatan di dalam sektor kerajaan dengan sedikit kemewahan yang berjaya dikumpulkan (baca; kerja kerajaan tidak akan menjadikan seseorang itu kaya kecuali makan rasuah).

Sepatutnya, apa yang sedang kita nikmati sekarang ini ialah rakyat Malaysia berada di dalam satu bumbung yang rata-ratanya boleh bercakap Melayu di mana-mana sahaja. Ambil contoh Indonesia, rakyatnya yang berbilang bangsa itu kini sanggup mengguna pakai nama 'keindonesiaan' atas prinsip Pancasila, 'SATU BAHASA SATU NEGARA'. Inilah yang dinamakan pengorbanan kepada negara.

Saya berharap agar impian SATU MALAYSIA ini akan menjadi satu kenyataan murni dengan mematuhi prinsip Rukun Negara dan bukan atas prinsip perut, nafsu dan kepala lutut.

Jumaat, 10 April 2009

SEPERTIGA MALAM DI MADINAH PARK


SEPERTIGA MALAM DI MADINAH PARK

Tika usia dihunjung mimpi
sebuah masa lalu menjadi igau ngeri

Cerita silam silih ganti di dada malam
antara segunung dosa dan sebutir pahala
yang terhampar dalam kembara manusiawi.

Barangkali inilah yang teruja
saat menjejak tanah nabawi
dingin yang menggigit tulang
seperti semalu yang menusuk jantung iman
embun yang basah di hujung rambut
seperti zam-zam penawar dahaga.

Sepertiga malam di Madinah Park
gemerlap langit menjadi teman muhasabah
gemersik tahmid menjadi tiang insaf
dan aku lelaki di penghujung ini
tegar membawa seberkas janji
beriktikaf di rumah taubat
sambil membilang derai air mata
yang tumpah di lubuk maknawi.

Rabb,
kembaraku terasa jauh yang amat
meski batu dan udara syuhadah
meski pasir dan air aulia
amat dekat di kalbu
dan tergapai tangan.

Di sini aku mencari makna diriku
sang pencuri waktu yang kehilangan detik
lelaki penakut di medan jihad
juga sang penipu yang kematian bicara.

Sepertiga malam di Madinah Park
yang kulihat adalah malam penuh cahaya
meski tak berbintang dan bulan
sinarnya tak pernah kusam
malah gemerlapan selama-lamanya.

Ya Muhammad junjungan al-amin,
jika tuan bulan akulah pungguknya
jika tuan bintang akulah langitnya
jika tuan mawar akulah durinya.

Shamsudin Othman
Masjid Nabawi,
Madinah Park.

Selasa, 7 April 2009

MENUKANG MALAM

MENUKANG MALAM

Atas kudrat-Mu yang tak terucap
oleh lidah hati dan nafas nurani
aku memasuki malam dengan taubat
kemudian meniduri-Mu dengan penuh nafsu
berahi zikir yang tak tertahankan.

Lewat membilang muhasabah
antara rakaat tahajud dan tasbih
lolos cahaya yang kucari
tiba-tiba hilang dalam gelita malam.

Seusai witir dan salam
aku membuka jendela hari
merenung langit
dengan seluruh cinta
menangkap sepi
dengan seluruh rindu
sambil menadah segugus janji
yang membasah di ubun-ubun imanku.

Saat ini,
akulah penukang malam
memaku awan dengan insaf
mengikat tiang dengan tali imani.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Jumaat, 3 April 2009

TERIMA KASIH PAK LAH DAN SELAMAT DATANG SAF BARU KERAJAAN MALAYSIA




TERIMA KASIH PAK LAH DAN SELAMAT DATANG SAF BARU KERAJAAN MALAYSIA

Hari ini Jumaat: 3 April 2009. Sejarah Malaysia mencatatkan kisah baru. Seorang pergi secara terhormat dan penggantinya mengambil tampuk kuasa juga secara terhormat. Pak Lah meninggalkan kita sebagai sejarah masa lalu dengan legasi yang baik. Najib datang membuka lembaran masa depan dengan agenda yang terlalu awal untuk ditebak.

Apa-apapun, tahniah untuk mereka berdua.

Kita tutup cerita Pak Lah sebab selepas ini dia akan menuju negeri sunyi berbulan madu. Ada lebih baik kita berfikir tentang PM Malaysia ke 6 yang bakal menakhodai kapal yang sedang dilanda ribut (baca bukan taufan) tetapi sedang teroleng-oleng kencang di lautan hidup.

Sementara kita menanti perubahan drastik yang bakal dilakukannya, ada baiknya saya ingin mencadangkan kepada Najib beberapa perkara yang mungkin remeh pada perkiraan politiknya tetapi tidak remeh di mata rakyat. Permintaan saya ialah;

1. Kembalikan istilah Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu.
2. Hapus atau hentikan PPSMI.
3. Menjadi imam sebanyak mungkin di mana-mana masjid/ surau yang dikunjungi.

Yang lain-lain itu, saya kira Najib lebih faham dan maklmum.

Selamat bergelar Menteri Perdana Dato' Najib dan terima kasih Pak Lah.

Khamis, 2 April 2009

APABILA SAJAK SAYA DITERJEMAH DAN DITERBITKAN DALAM JURNAL KREATIF TORTURE & TRIUMPH



Tajuk Jurnal: TORTURE & TRIUMPH
Terbit : 2001
ISBN : 1-891470-37-X
ISNN : 1068-5154
Penerbit : Freedom & Strength Press, USA
Harga : $US25.92
Halaman : 400 muka surat

Buka sahaja email daripada seorang teman yang belajar di Amerika amat memeranjatkan. Katanya, sajak saya telah diterjemah dan dimuatkan di dalam jurnal kreatif 'Torture & Triumph'. Syukur dan tanpa terlintas difikiran bahawa sajak saya juga rupa-rupanya diperhatikan dan dibaca orang luar.

Saya yang tidak mengetahui apa-apa. Saya hanya mampu menguntum senyum meski saya sendiri tidak pernah melihat jurnal itu sebelum ini. Mungkin ini pengiktirafan dunia terhadap puisi saya. Setelah berusaha menjelajah ke dunia webside jurnal itu, akhirnya saya dapat mengesan sajak saya itu.

Jurnal ini merupakan jurnal yang diterbitkan setahun sekali berdasarkan tema tertentu. Kebetulan pada tahun 1999, sajak saya yang berkisah tentang pengalaman sebenar merasai banjir besar di Hatyai (kemudiannya diterbitkan di Berita Minggu: 2000) itu menjadi pilihan mereka. Daripada kata pengantar editornya bahawa, karya yang menjadi pilihan itu dipilih berdasarkan tema bencana alam kerana penerbitannya pada tahun itu telah ditaja oleh UNESCO. Saya sendiri tidak pasti adakah penerbit jurnal itu menghubungi Berita Harian untuk mendapatkan hak penerbitan sajak saya itu.

Saya turunkan sepenuhnya sajak saya yang tersiar pada halaman 194 di dalam jurnal itu.

SEWAKTU BANJIR MENDESAH
(When the flood sigh)

Sewaktu banjir mendesah
aku tak sempat memaut tangamu
lewat air tak berperikemanusiaan
segala cinta yang kita semai
terpokah berderai tak berhaluan
pohon kasih kehilangan akar
lalu
sewaktu hujan mendesah beginilah
aku kehilangan segala-galanya
-lemas dan mengerikan.

(When the flood sigh
i don’t have a change to grab your hand
through the water which have no mercy
every love we’ve made
crashing down with no destination
the love tree looses its roots
then
when the rain sigh here it is
i lost everything)


SHAMSUDIN OTHMAN
Hatyai, Thailand

Saya berdoa agar jurnal ini akan sampai ke tangan saya suatu hari nanti.

TAHAP 'KEBOLEHBACAAN' DALAM KEPIMPINAN PARTI



Dua minggu lagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan bermula. Sama-samalah kita berkunjung ke sana sambil membeli sebanyak mana buku supaya kita menjadi manusia berilmu.

Untuk menjadi manusia (baca bukan orang), kita perlu punya ilmu di dalam akal dan kepala (baca bukan kepala lutut). Islam meletakkan kemuliaan manusia ialah melalui perkiraan ilmu. Dan sudah tentu ilmu yang baik dan bermanfaat itu adalah iman. Iman dan ilmu adalah satu kesatuan dalam keseluruhan tindak tanduk manusia. Maknanya, manusia yang beriman adalah manusia yang berilmu; dan manusia yang berilmu adalah juga manusia yang beriman.

Ilmu, iman dan membaca merupakan konotasi maujud dalam makna istilah 'iqra'. Bercakap tentang 'iqra' dalam ilmu pendidikan khususnya akan menghubungkan pula dengan konsep 'kebolehbacaan'. Konsep ini merupakan satu konsep yang mengukur sejauh mana seseorang pembaca itu dapat menguasai bahan bacaan yang dibacanya. Dalam makna yang lebih mudah ialah menguji tahap penguasaan kefahaman pembaca. Jika pembaca dapat mengambil ikhtibar terhadap bahan atau teks, itu bermakna tahap 'kebolehbacaan' manusia itu tinggi.

Hari ini, sejauh mana pemimpin politik tanah air khususnya umno menguasai tahap 'kebolehbacaan' Al-Quran dan Hadis? Kenapa saya memilih UMNO tidak PAS, PKR atau DAP? Sebabnya mudah iaitu UMNO kini menerajui negara. Oleh itu, ada lebih baik merekalah yang perlu memahami konsep 'kebolehbacaan' ini terlebih dahulu. Dalam perkiraan mudah saya begini; sebagai sebuah negara Islam (baca ikut perlembagaan bukan pelaksanaan) tentunya adalah wajib ilmu dan sistem pemerintahan itu berteraskan Al-Quran dan Hadis. Inilah yang diharap-harapkan dalam kita membina sebuah gagasan baru yang berorentasikan muzakarah dan bai'ah.

50 tahun berlalu, sejarah Islam di Malaysia yang berkembang dalam ruang yang terpisah-pisah iaitu politik lain; agama lain (baca sekular liberalisme) dilihat sukar dibendung malah kian menjadi-jadi secara terkawal dan terancang. Jika ditanya bagaimana boleh berlaku? Jawapan yang mudah kerana rakyat di negara kita pelbagai kaum dan pemimpin yang memerintah perlu berfikiran seperti 'tarik ramput dalam tepung; rambut tak putus dan tepung tidak terbongkar'.

Nah, pandangan yang baik jika dibahaskan dengan akaliah! Tetapi sejauh mana mereka sanggup berdiskusi dengan akaliah? Yang pernah berlaku ialah diskusi dengan emosi dan nafsu amarah.

Lalu, kenapa dan apa pula kaitannya yang timbul dalam isu akaliah dan nafsu amarah ini? Semua ini berpunca daripada konsep 'kebolehbacaan' tadi. Manusia yang berdaya fikir rasinoal, positif dan terbuka sentiasa membuka ruang ilmu dan iman bercambah dan subur. Sementara yang mempunyai tahap 'kebolehbacaan' rendah sudah tentu menutup kesuburan ilmu untuk berkembang malah membuka ruang nafsu amarah seluas-luasnya.

Siapakah yang dikatakan sempit atau berdaya rendah tahap 'kebolehbacaan'nya itu? Bukan itu sahaja, manusia yang beriman dan berilmu adalah manusia yang boleh menjadi imam ketika solat.

Bertanyalah kepada diri kita sendiri, sudah bersediakah kita untuk mengimamkan solat rakan-rakan atau penyokong atau rakyat seluruhnya? Dalam konteks yang lebih luas, imam ialah pemimpin. Dan untuk menjadi seorang imam (pemimpin) yang baik tentunya imam itu juga perlu mempunyai penguasaan tahap 'kebolehbacaan' yang tinggi.

Oleh itu, di Malaysia, imam (pemimpin) adalah Melayu. Melayu adalah Islam. Islam tentunya bergantung kepada mukjizat rasulullah iaitu Al-Quran dan Hadis. Makanya terjawablah kekusutan kita selama ini jika diselusuri persoalan kenapa Islam di Malaysia hanya layak digelar Islam ada hari (baca bukan Hadhari). Dan, dengan cahaya yang sudah terang lagi bersuluh, inilah yang dinamakan kecelaruan di dalam kekusutan.

Selamat berkunjung ke Pesta Buku Kuala Lumpur untuk mencari dan menambah tahap 'kebolehbacaan' kita. Saya dan rakan-rakan penulis lain turut berkira-kira juga untuk ke Pesta Buku Jakarta Jun ini dan ke Pesta Buku Frankfurt, German.

Mudah-mudahan Allah makbulkan doa ini demi makna 'kebolehbacaan' untuk membetulkan diri saya sendiri.