Isnin, 25 Ogos 2008

SUMPAH, SESUMPAH DAN SI TENGGANG

Anak-anak berdoa supaya tidak menjadi sumpahan Allah

ENTRI kali ini akan bercakap soal sumpah. Menurut Kamus Dewan (hlm. 1541), istilah sumpah bermaksud 1. pengakuan yang dibuat (dengan bersaksikan Tuhan atau sesuatu yang dianggap suci) untuk menguatkan apa yang dikatakan dll; 2. pengakuan bahawa apa yang dikatakan itu benar (berani melakukan sesuatu dan berani menderita sesuatu jika pengakuannya itu tidak benar); 3. kata-kata yang mengutuk (maki hamun dll); 4. janji yang teguh untuk melakukan sesuatu ikrar.

Sementara itu, sesumpah atau sumpah-sumpah bermaksud binatang kecil yang seakan-akan cicak, kulitnya berwarna hijau dan boleh bertukar warna mengikut keadaan sekeliling. Masyarakat pantai timur memanggilnya 'pokko'.

Mana kala, Si Tenggang pula ialah manusia yang menjadi batu akibat sumpahan ibunya kerana menderhaka.

Saya pilih entri ini kerana sejak dua menjak ini, masyarakat Melayu-Islam di Malaysia sudah beralih arah kepada pemikiran dangkal yang memilih pilihan terakhir untuk mempertahankan diri. Pilihan terakhir itu ialah bersumpah. Saya tidak mempertikaikan kebenaran dan keberanian bersumpah itu. Yang saya hairan ialah, kenapa budaya bersumpah ini menjadi popular di Malaysia? Anehnya juga, seorang demi seorang tampil bersumpah. Mereka khususnya golongan tertentu mula mengiktiraf budaya ini. Apakah mereka semua ini faham konsep bersumpah? Entahlah...

Saya teringat kisah waktu kecil-kecil dulu, apabila ada orang menuduh saya berbuat salah; lalu saya segera angkat tangan dan bersumpah mengatakan yang saya tidak melakukannya. Saya pun menyebut, "demi Allah, saya tak buat." Lepas itu, semua kawan-kawan ketawakan saya sambil mengejek, "lepas ni dia jadi batu, macam Si Tenggang." Saya ketawa sendirian apabila mengenang kembali kisah lampau itu. Dan kerana pasti sebab saya tidak melakukannya, maka saya tidak menjadi batu. Kalau tidak saya akan menjadi sesumpah yang boleh bertukar-tukar; sekejap jadi manusia sekejap jadi batu sekarang ini.

Kalaulah keadaan itu benar-benar berlaku, sudah pasti manusia moden hari ini tidak berani bersumpah. Tentunnya jika pengalaman bersumpah kemudian menjadi batu itu adalah kenyataan, saya yakin orang Melayu-Islam tidak berani melakukannya.

Hari ini, mereka menjadi berani kerana sumpahan dulu tidak menjadi kenyataan. Dan kalaupun menjadi kenyataan macam cerita Si Tenggang; itu semua adalah metos atau dogengan belaka. Semuanya itu adalah cerita hikayat yang perlu unsur tokok-tambah sebagai asam garam sebuah hikayat. Inilah mentaliti orang Melayu yang lebih berfokus kepada khayalan tanpa cuba mengambil ikhtibar daripada sebuah sejarah dan ketamadunan bangsa.

Saya pada hakikatnya tidak berpihak kepada mana-mana parti atau pertubuhan. Saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan dan guru-guru yang banyak membantu supaya sentiasa menggunakan akal bukan nafsu. Nasihat mereka ini masih kuat dalam ingatan. Cuma kadang-kadang saya berfikir sendiri untuk apa sumpah itu? Adakah sumpah itu sebagai helah bela diri yang mutlak? Adakah sumpah itu satu budaya Melayu-Islam? Adakah sumpah itu satu ikut-ikutan? Adakah sumpah itu wajib atau sunat hukumnya? Atau, adakah sumpah itu kerana kita ingin mencabar kuasa Allah? Kalaulah dengan bersumpah itu, kita ingin mencabar kuasa Allah, makanya jawablah pertanyaan sejauh manakah kuatnya iman kita?

Mungkin kita ingin melihat kebenaran. Tetapi, sejauh mana kita dapat menikmati kebenaran jika amalan kita terhadap Islam itu tidak menyeluruh. Kita mengamalkan Islam yang separuh-separuh iaitu sekerat Islam sekerat sekular. Jika ini yang menjadi amalan kita, bermakna sumpah yang kita lihat hari ini adalah sumpah yang mencabar kuasa Allah.

Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi saya sedih apabila mufti dan tokoh ulamak diheret bersama-sama ke kancah politik kotor negara. Ulama, imam, dan mufti seakan-akan boleh dicucuk hidung dan menjadi saksi kepada perbuatan mencabar kuasa Allah demi sebuah kebenaran duniawi.

Saya merenung ke dalam diri dan mengimbau sejarah silam. Waktu kecil saya, saya selalu bersumpah. Waktu kecil saya, saya sentiasa bermain sumpah-sumpah (pokko/sesumpah). Waktu kecil saya, saya selalu membaca dan mendengar kisah Si Tenggang.

Hari ini, sesaat usia menjangkau 40-an, saya mendengar dan melihat kembali kisah itu berulang. Cumanya, sehingga hari ini, saya belum melihat ada manusia yang menjadi batu akibat sumpahan. Mungkin, esok lusa, dengan kuasa Allah; ada manusia yang akan bertukar menjadi batu untuk membuktikan bahawa kisah Si Tenggang bukan lagi kisah dongeng. Dan selepas itu, orang Melayu Islam akan sedar bertapa hebatnya kuasa sumpah itu.

Marilah kita kembali kepada prinsip Rukum Islam dan Rukun Iman supaya kita sentiasa berada pada landasan iman yang syumul. Kita telah banyak melakukan dosa kepada diri, masyarakat, agama dan Allah. Sebanyak manakah keampunan kita itu diterima oleh Allah?

Pertanyaan sebeginilah yang kadang-kadang tiada dalam diri kita.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Abang din, selain sumpah Si tenggang, abang din kena tambah juga sumpah P. Ramlee dalam madu 3 - sumpah wallah - tapi...

:)

mohamad kholid berkata...

pesuruh jaya sumpah dah tak ada income sekarang - orang pergi sumpah kat mesjid dah...

Rahimin Idris berkata...

salam,

saya juga berasa pelik dengan keberanian manusia sekarang yang tidak kena pada tempatnya.
kebetulan saya juga ada menulis pasal si tenggang atau malim kundang di blog baru saya semalam.

Melihat Kesunyataan berkata...

Din,
kesan sumpah Saiful telah pun jelas apabila Tuhan memberi kemenangan majaroti besar kepada Anwar. Cara Tuhan berikan jawapannya bermacam-macam. kadang-kadang diri yang bersumpah terlepas, tetapi terkena kepada saudara mara yang terdekat, kadang-kadang dalam bentuk bala yang menimpa seluruh masyarakat. Saya pernah mendengar ceramah seorang ustaz yang menyatakan 'sumpah' ialah satu cara terakhir bila kita tidak dapat menyelesaikannya melalui perundangan atau bukti. sumpah juga dibolehkan bila nyawa kita diancam dan diugut, misalnya dengan terhunusnya pisau dileher kita, ketika itulah baru boleh kita bersumpah.

Tanpa Nama berkata...

mungkin zaman sekarang jadi batu atau jadi katak sudah tidak relevan lagi. berdasarkan pengalaman saya, ada sahabat yg berbohong semasa mengangkat sumpah di mahkamah telah diturunkan bala dengan serta-merta iaitu mendapat penyakit sehingga lumpuh tidak dapat berjalan lagi. Mungkin kebetulan, wallahualam.