Isnin, 23 November 2009

SEUSAI PPN KE-3



PERHIMPUNAN PENYAIR NUSANTARA KE-3 baru sahaja usai. Saya mewakili dan merangkap tenaga kerja PENA ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penaja khususnya DBP, JKKN, ITNM, Menara KL dan para peserta yang telah menjayakan program PENA ini. Syukur kehadrat Illahi kerana dengan kurniaanNya maka program yang penuh bermakna ini berjalan dengan jayanya seperti mana yang dijadualkan.

Kecatatan yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Atas kelemahan diri ini, dan PENA khususnya, saya mewakil rakan-rakan kerja mohon maaf banyak-banyak. Anggaplah kelemahan itu sebagai satu pengajaran yang kita sama-sama cuba perbaiki.

Insya-Allah, kita akan bertemu di Brunei Darusalam pada tahun depan dengan wajah, gagasan dan impian yang baharu.

ii
Ada sesuatu yang benar-benar menyentuh hati saya ketika mendengar ucapan 'ucap utama' Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Lontaran idea beliau yang ingin melihat pemerkasaan warisan Melayu seharusnya tidak terhenti itu perlu disahut secara berani oleh semua pihak. Sejak itu, saya mula memikirkan bahawa siapakah yang bakal menjadi kesinambungan itu selepas saya dan rakan-rakan menjadi tua dan tidak berdaya? Jika hari sabtu itu, Prof Muhammad hampir menitiskan air mata pada usianya 68 tahun (2009), bagaimana dengan nasib warisan Melayu pada usia saya 68 tahun nanti? Jika pada waktu ini pun, nasib Bahasa Melayu seperti 'mentimun dengan durian', bagaimana pula pada tahun 2034 nanti? Adakah pada tahun itu, saya masih dipinjamkan nyawa?

Luahan rasa Prof. Muhammad penuh sembolik dan amat trajis. Luka daripada lubuk hatinya yang mendarah setelah melalui kembara intelektual dalam mencari makna warisan Melayu yang abadi seakan-akan tidak tertahankan. Dia merayu, dia berharap dan dia bernostalgia. Di dalam rayuan, di dalam harapan dan di dalam nostalgia itu dia membenamkan pisau cabaran kepada generasi hari ini. Tikaman idea itulah yang sedang mengganggu mimpi dan jaga saya.

Iya, bagaimana untuk melahirkan karya besar sehebat Iqbal atau Rumi yang berjaya mengangkat karya Islam? Akankah lahir seorang penyair Melayu yang boleh mengatasi kehebatan Shakespeare, Tagore, Dan Brown mahupun Usman Awang selepas ini?

Saya tidak mempunyai kekuatan sedemikian rupa. Karya saya masih seperti langit dengan bumi; harumnya sebusuk najis berbanding harum kemboja. Oleh itu, saya meletakkan harapan yang amat tinggi dan sentiasa berdoa agar bangsa Melayu akan berjaya melahirkan seorang Iqbal atau Rumi yang mampu berkarya di dalam Bahasa Melayu dan mengangkat warisan bangsa dan tamadun fikirnya. Saya akan sentiasa berdoa ke arah itu.

iii
Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja yang telah menjayakan PPN ke-3 ini. Bertemu lagi kita tahun depan di negara Brunei Darussalam.

Salam puisi. TERIMA KASIH DBP, JKKN, ITNM, MENARA KL, dan PENA.


4 ulasan:

SYAFIQ ZULAKIFLI berkata...

Cikgu Shamsuddin,

Tiba-tiba saya mendakwa bahawa saya harus bertanggungjawab di dalam membawa suara dunia bahasa dan sastera ke pentas yang lebih gemilang.

Namun, jika polemik sastera Islam, sastera pop Islam, sastera serius, sastera popular, dan pelbagai jenis sastera masih lagi duduk membeku dalam kantungnya, barangkali niat itu perlu digantungkan.

Zulfazlan Jumrah berkata...

Tuan,
saya rasa orang kita sendiri perlu mengangkat tokoh dan karya kita dahulu. Kalaulah antara kita sendiri saling bertelagah, sampai bila-bila pun durian tetap akan henyak mentimun.

Melihat Kesunyataan berkata...

Shamsudin,
Tahniah atas kejayaan tuan dan kerabat PENA menganjurkan pertemuan yang berskala besar ini.

JHaZKiTaRo berkata...

Salam dari kota Dublin, Ireland. Blog hopping. Sudi2lah kiranya melawat blog hamba. :)