Sabtu, 16 Oktober 2010

POLITIK ILMU VS POLITIK KUASA


APABILA seorang sahabat menulis perihal politik ilmu dan politik kuasa, saya terasa ada sesuatu yang menarik dalam tulisannya. Kejelasan pendirian itu seharusnya ditebaki dengan kebenaran yang tidak berbelah bahagi. Itulah hakikat yang perlu kita sedari dan itulah yang sering saya gegerkan di dalam puisi-puisi saya selama ini.

Lima tahun dahulu sewaktu saya bergelar guru sekolah, hal-hal ini masih samar-samar dan kurang jelas dalam hidup saya. Tetapi, setelah melangkah dan bertugas di bumbung bernama menara gading, saya mula melihat kecerahannya bahawa hal-hal yang bersangkutan dengan politik ilmu itu adalah setanding dengan politik kuasa malah kadang-kadang lebih teruk daripada itu.

Budaya kerja politik ilmu yang tidak mengenal batas sempatan kreativiti itu pada hakikatnya telah menghalalkan banyak cara, kaedah, pendekatan dan teknik akademia untuk menobatkan sesuatu waima pembohongan dan pendustaan teori dan gagasan. Hal ini menyebabkan budaya berfikir manusia khususnya budaya berfikir intelektual (? - itupun jika boleh digelar intelek) Melayu adalah seperti pemikiran 'melukut di tepi gantang'; penjilat kepada konsep pencerahan ilmu barat; secara membabi buta kemudian mengiktirafnya sendiri sebagai kuasa pemikiran logos dan etos.

Politik ilmu adalah jalur-jalur racun yang kini sedang meresap dan mewabak di dalam dunia akademia Melayu. Sama ada disedari atau tidak; atau sengaja dilakukan dengan tujuan persaingan mengejar status bertaraf antarabangsa, dunia akademia yang mendokong kuasa politik ilmu itu sedang berhadapan dengan 'pusara' budaya ilmu dan fikir akal budi.

Peranan politik kuasa yang mendokong gagasan politik ilmu palsu itu sebenarnya berpunca daripada penguasa politik dayus yang tidak memahami konsep ilmu seperti yang digagaskan oleh Syed Naquib, Hossein, Khaldum, Ghazali mahupun kembali kepada teras asal ilmu, iaitu al-Quran dan hadis. Tanpa berpihak tetapi tegas berprinsip, politik ilmu yang sedang menular dalam masyarakat 1Malaysia hari ini perlu dibendung supaya ketidakjujuran itu dapat dihentikan. Tidak dinafikan, kita juga masih memerlukan manusia dan gagasan ilmu yang sedang diusahakan oleh segelintir manusia. Mudah-mudahan usaha murni yang sedang digagaskan oleh ramai lagi manusia yang sedar akan hakikat ilmu ini tidak terjerumus ke dalam kancah politik ilmu yang diperkatakan ini.

Seorang sahabat saya yang lain, di dalam blognya juga menulis tentang tajuk 'idealogi telah mati' secara sedarnya juga membongkar pandangannya terhadap idealogi kiri, idealogi kanan atau idealogi palsu yang akarnya tergantung dan tidak berjejak di bumi nyata. Gesaan ini bertujuan supaya kita sama-sama memanfaat fitrah akal yang dikurniakan Allah SWT secara baik dan bersusila. Kembali kepada pendirian ini, makanya kita akan dapat menikmati kesan perkembangan ilmu yang sihat dan jujur.

Politik ilmu perlu dalam idea sebuah ketamadunan bangsa; tetapi yang salah ialah politik ilmu itu tewas dalam tangan politik kuasa yang tamak dan tidak beretika. Politik ilmu adalah medan terbaik bagi sesuatu bangsa itu menetaskan gagasan seterusnya mencaturkan budaya ilmu yang subur. Politik ilmu perlu dalam konteks mencuri ruang untuk melonjatkan pemikiran bangsa. Politik ilmu penting dalam merancang strategi penyebaran logos dan etos bangsa, dan politik ilmu juga amat diperlukan dalam pengisian kurikulum bangsa. Tetapi yang salahnya ialah politik ilmu yang menipu segali gus menjadi bahan pencacai, sendaan dan cercaan masyarakat luar yang menguasai ilmu plagiat atau penciplakan.

Sejarah kreativiti manusia tidak boleh melangkaui ayat 82 surah Yassin, iaitu yang berakhir dengan frasa "Kunfayakun". Frasa ini amat jelas memberitahu kita bahawa kuasa penciptaan ilmu Allah SWT adalah melangkaui politik ilmu manusia. Hal ini bermakna, pemikiran manusia yang terbatas itu ada had ego dan sombongnya. Peringatan terhadap jangan mendabik dada dan menganggap orang lain tidak mengetahui adalah satu kejahilan akademik yang perlu dihentikan.

Inilah yang dimaksudkan oleh dua orang rakan saya bahawa politik ilmu dan idealogi yang mati akibat terbawa-bawa oleh arus politik ilmu dan politik kuasa. Akhirnya, politik ilmu dan idealogi menjadi mabuk dalam dunia materialistik hari ini.

Tiada ulasan: