Rabu, 13 Februari 2008

Maka Bubarlah Parlimen



Sekitar jam 12.35 tangah hari 13 Feb 2008, maka bubarlah parlimen sebuah negara bergelar negara Islam hadhari. Saat ini aku sudah tidak punya kerajaan lagi. Dan, saat ini jugalah orang yang rasa diri mereka hebat dan gila kuasa akan menunjukkan sikap mereka yang sebenar. Aku teringat kisah empat tahun lalu, apabila media tidak berlaku adil kepada rakyat negara itu. Para pengusaha media pun sendiri tidak tahu bahawa apabila parlimen dibubarkan maka dengan sendirinya mereka tidak boleh memihak kepada mana-mana parti.


Oleh itu, kalau blog ini dibaca oleh ketua pengarang mana-mana media, tolong berlaku adil memberikan ruang dan waktu yang sebaik-baiknya kepada semua parti yang ingin mencuba nasib dalam pilihanraya. Kerajaan BN, PAS, Keadilan atau apa sekalipun namanya perlu diberi ruang untuk tampil menyampaikan manifesto mereka. Ingat, inilah amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.


Jangan jadi binatang yang boleh dicucuk hidung kemudian ditarik, diseret ke mana-mana. Jagalah hidung itu sebaik-baiknya bukan memberi laluan supaya hidung itu diperlakuan sewenang-wenangnya.


Selamat menjadi manusia yang lebih bijak daripada binatang. Pilihan dan undian di tangan anda. Dan, ini bukan undian memilih artis kesayangan melalui SMS tetapi undian untuk menentukan nasib AGAMA, BANGSA dan TANAH AIR.
Empat tahun sekali, kita diberi peluang membuat pilihan. Berfikirlah secara bijaksana dengan kudrat hukum Al-Quran dan hadis (sunnah). Pilihan daripada kebijaksanaan itu wajar dijelmakan bukan bersembunyi di balik bayang-bayang.
Kuasa dan Gila Kuasa
ada orang berkuasa tapi gila kuasa
ada orang berkuasa tapi tak gila kuasa
ada orang berkuasa tapi kadang-kadang gila kuasa
ada orang berkuasa tapi tak pernah gila kuasa
ada orang gila kuasa tapi tak pernah berkuasa
ada orang gila kuasa tapi tak punya kuasa
ada orang gila kuasa tapi tak sedar diri tak berkuasa
ada orang gila kuasa tapi tak hendak berkuasa
ada orang gila kuasa tapi tak tahu ada kuasa
ada orang gila kuasa tapi diperalat oleh orang tak ada kuasa
ada orang gila kuasa tapi berlagak tak punya kuasa
ada orang gila kuasa tapi sedar memang perlu gila kuasa
ada orang gila kuasa tapi tak sedar diri gila kuasa.
di negeriku
ada orang tak punya kuasa
tapi sering memikirkan kebodohan
orang gila kuasa.
pesan ayahku,
orang gila kuasa lebih teruk daripada
orang kalah judi dan kaki betina.
pesan ayahku,
orang gila kuasa lebih zalim daripada
pembunuh dan lanun.
pesan ayahku,
orang gila kuasa lebih pelahap daripada
binatang dan hantu raya.
dan pesan ayahku lagi,
orang gila kuasa
jangan dijadikan kawan
kerana dia tak kenal makna kawan atau lawan.
Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: