Semenjak SPR ditubuhkan, kita berjaya menyaksikan banyak program berbentuk mengapu dan menindas telah diadakan. Hal ini bermakna SPR sentiasa peka dan menjadi ruang penyambung terhadap perjuangan yang bersifat kepolitikan, kebahasaan dan budaya berdaya saing secara demokrasi-penaklukan. Rasa tanggungjawab ini merupakan ikon kepada semangat dan inspirasi yang berpanjangan dalam usaha memartabatkan bangsa, budaya, bahasa kebangsaan, dan kepimpinan negara. Seiring dengan semangat nasionalisma tinggi ini makanya juga SPR perlu diiktiraf sebagai satu badan bebas yang professional.
Pilihan raya ke-12 ini diharapkan akan menjadi sandaran penting kepada tugas-tugas yang belum selesai dalam mengharungi cabaran akibat rempuhan globalisasi yang semakin menjadi-jadi. Saya melihat usaha seperti ini perlu diteruskan dan berkekalkan hingga ke peringkat akar umbi oleh generasi baharu yang punya kesungguhan dan iltizam tinggi.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang amat perihatin terhadap usaha memperkasa agama, bahasa, budaya dan 'bangsa malaysia' ini sebab bangsa Melayu sudah lama tidak relevan di tanah rumpun Melayu.
Wassalam.
Demikianlah ucapan saya pada malam tadi di hadapan isteri dan anak-anak di rumah. Mendengar sahaja ucapan itu, isteri dan anak-anak aku tiba-tiba berasa ada yang tidak kena di dalam perut, tekak dan mulut mereka. Rasa loya mula membuak-buak dari dalam perut emreka. Mereka mula gelisah dan aku berhenti sambil mula merasai kegelisahan isteri dan anak-anakku. mereka muntah! Muntah mereka bukan dibuat-buat tetapi tanpa dipaksa mereka MUNTAH SEMAHU-MAHUNYA. Mujurlah muntah itu tidak tersembur di muka aku.
Anak aku yang berusia 9 tahun (Darjah 3) itu paling aneh tindak balasnya. Tubuhnya yang keputih-putihan ala 'panasia' itu tiba-tiba menggiggil. Aku dapat merasakan perubahanan yang sedang berlaku pada diri anak ketiga aku itu. "Ayah, kenapa ayah tiba-tiba berubah? Ayah dah kena beli ke?" dia mengajukan dua soalan serentak kepada aku sambil berlari menuju tandas.
Diam menyelubungi ruang tamu seluas 15 kaki kali 30 kaki itu.
Aku tidak segera menjawab, tetapi soalan itu dijawab oleh anak sulungku yang sedikit sebanyak mempunyai darah pendekar moyangnya, Panglima Saleeh. Dia bakal menduduki PMR bulan oktober ni. Dia yang hobinya membaca novel-novel Harry Potter tu menjawab untuk mewakili aku agaknya. "Itulah hebatnya ayah kita, dia dilahirkan sebagai sang sandiwara untuk membetulkan kelemahan yang berlaku. Kita kena bersyukur kerana ayah kita sering mengajar kita cara terbaik untuk memilih jalan lurus dan jalan kebenaran yang telah dipesongkan."
Aku merenung wajah anak sulungku. Jiwa aku tersentak dan bercongak-congak memikirkan, "anak akukah itu?". Mudah-mudahan suatu hari nanti dia boleh menjadi pengganti moyangnya atau setidak-tidaknya menggantikan tempat aku. Isteriku mengukir senyum, bangun dan menuju ke tv kemudian menghidupkannya. Isteri itu membetulkan duduk kemuidan menonton siaran Berita Perdana.
Anak-anakku yang lain bergeras meninggalkan aku dan mengelilingi ibunya. Mereka begitu tekun menonton dan menonton siaran berita.
Aku memerhatikan gerak-geri isteri dan anak-anakku. Mereka sebenarnya tidak tahu yang mereka tonton itu bukannya berita tetapi drama dan pembohongan. Yang isteriku tonton itu sebenarnya bukan Berita Perdana tetapi drama yang dilakonkan oleh para juak untuk terus mendustai rakyat.
Anak ketiga aku yang ke tandas tadi mengambil duduk di sebelah isteriku kerana dia sedikit manja dan penakut. Beberapa minit menonton, dia tiba-tiba dia bersuara, "Gila babi betul, bila masa pula menteri tu datang rumah nenek dan bagi duit. Tanah nenek dirampas lagi adalah. Bodoh nak mampus. Kecil-kecil tak nak mati; dah besar dah jadi menteri nak susahkan orang pula."
"Syuhadah, jangan cakap macam tu, tak baik. Allah melarang kita menuduh orang tanpa bukti dan usul periksa. Banyak-banyak bersabar. Itulah abang, ajar anak yang bukan-bukan." Ngomelan isteriku yang diam sejak tadi.
"Umi, ni. Syuhadah bukan tuduh tapi minggu lepas nenek kata tanah di belakang rumah nenek dirampas kerajaan tanpa pampasan. Nenek kata kerajaan nak bagi duit tetapi dah masuk 10 tahun masih tak ada apa-apa. Itukan bukti dan menipu namanya." Syuhadah anakku bersuara sambil cuba mempertahankan pendapatnya.
Isteriku memandang wajahku sambil menggiling kepala. Aku buat tidak nampak sambil meneruskan pembacaan buku 'Menjadi Kekasih Allah' karya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan