

Gambar: Dua batang meriam buluh yang dalam proses test power. Gambar atas, buluh yang baru siap disiang. Gambar kedua, percubaan sama ada boleh berfungsi atau tidak.
SALAM 11 RAMADHAN
EMPAT hari berada di kampung halaman, bersahur dan berbuka kemudian bertarawikh bersama-sama keluarga dan rakan-rakan benar-benar mengundang kenangan silam. Secara kebetulan cuti kali ini, rakan-rakan sewaktu anak-anak turut balik kampung. Apa lagi, selepas tarawikh, kami bersembang panjang dan merancang membuat meriam tanah daripada buluh.
Petang Jumaat, saya masuk ke hutan di belakang rumah nenek mencari buluh. Pulang hampir senja, saya dan anak buah tadi berjaya membawa pulang tiga batang buluh sepanjang enam kaki. Buluh sekitar bergaris pusat 6 inci, saya letakkan di bawah rumah nenek. Selepas berbuka (nasi ambeng) dan solat maghrib berjemaah, saya bergegas ke bawah rumah. Malam itu lepas tarawikh, saya bercakap kepada Dajak (kini pegawai Waran 1 TUDM), Malik (kini pegawai Khas di cawangan jenayah Johor), dan Jeff (bekas pemain sepak takraw Malaysia dan kini jurulatih takraw Johor sepenuh masa), bahawa saya sudah memilik tiga batang meriam buluh. Tunggu nak diletupkan sahaja. Mereka terperanjat dan seperti tidak percaya.
Hari sabtu, saya pergi kedai Ah Kaw pembekal karbait sejak zaman dulu lagi. Kedai papannya masih macam dulu dan Ah Kawpun dah tua sekitar 80 tahun. Tapi ketika membeli karbait itu, dia masih mengenali saya dan memuji keluarga saya yang katanya keturunan baik-baik. Saya menelan pujian itu dan tidak mengambil peduli kata-katanya kerana dah terbayang karbait dan meriam buluh yang bakal meletup. Harga karbait pun dah mahal; dulu 35 sen sekilo, sekarang dah mencecah RM2.70 sekilo. Ah, harga tak penting!
Pulang ke rumah dengan sarat barang mentah termasuk bahan-bahan laksa johor (untuk juadah berbuka), saya segera membelek-belek buluh. Di dalam hati saya terdetik sangat-sangat indah bermian meriam buluh. Buluh yang siap diikat dengan tiub basikal (langkah keselamatan), saya sapukan minyak masak supaya lembut dan kalis air.
Meriam buluh yang sudah siap itu saya tanam di belakang rumah nenek. Tak sabar nak tunggu maghrib. Beberapa minit sebelum berbuka, saya membawa segelas air dan sepinggang laksa johor ke belakang rumah. Dengan sebuah pelita minyak tanah, karbait dan sebaldi air; semuannya sudah siap tersedia. Saya melihat jam di tangan. Seminit lagi waktu berbuka. Dalam waktu yang singkat, karbait sudah saya masukkan ke dalam buluh. Muncung meriam itu saya sumbat dengan daun-daun dan ranting pokok. Asap mula keluar daripada lubang sumbu meriam. Mendangar sahaja azan maghrib bergema, saya terus mencucuh lubang sumbu dengan api. Masya-Allah, dema dan bunyi meriam tanah itu diluar dugaan saya. Kuat dan bergegar. Benar-benar memeranjatkan. (Dalam hati ada perasaan bangga dan seronok yang amat sangat). Fuh, puas rasanya sambil menghabiskan laksa dan meneguk kopi o. "Malam ni lepas tarawikh, aku sambung lagi. Baru Dajak, Malik dan Jeff tahu," detik hati kecil saya.
Saya balik ke rumah dan bersiap-siap untuk solat maghrib. Emak dan abah tidak cakap apa-apa, mereka buat tak kisah aja. Selepas solat, ada orang beri salam. Anak saya segera membuka pintu. Dengar suaranya sahaja saya sudah dapat mengagak yang datang itu ialah Pak Mat Terong (nama gelaran, jiran ayahku).
"Ayah, ada pak cik nak jumpa ayah," beritahu anak saya. Saya segera meninggalkan sejadah dan ke muka pintu. "Oh, pak Mat, apa khabar? Ada hajat apa?"
"Sapa yang main meriam tadi? Anak aku Ani tu baru lkepas bersalin. Masihdalam pantang. Dia terkejut. Cucu aku dari tadi asyik menangis. Tak berhenti-henti. Kau ni pun satu, dah jadi cikgu tapi perangai tak berubah-ubah. Lain kali itu, tanyalah orang tua sikit. Dah aku nak balik. Malam ni, aku tak nak dengar bunyi meriam tu lagi. Kalau kau berani, kau buatlah." Pak Mat Terong meninggalkan anjung rumah.
"Ha, dah puas hati awak?" herdik isteri saya. "Ajak lagi anak-anak yang bukan-bukan."
Lepas solat tarawikh,saya cerita kepada MAlik, Jeff dan Dajak. Dia orang ketawakan saya.
Pagi Ahad, saya membelek-belek meriam tanah. Ketika termenung memikirkan nasib dan kenangan, tiba-tiba terdengar suara Pak Mat Terong yang menjerit daripada belakang rumahnya. "Dah tualah cikgu. Tak ingat mati tu!"
Saya tersenyum sambil melambai-lambai tangan tanda minta maaf.
Isnin petang, sampai sahaja di Kuala Lumpur, anak ketiga (darjah 4) bertanya, "ayah, kita main meriam nak? Meriam ayah tu powerlah."
Saya tidak menjawab apa-apa. Di dalam hati berdetik, "best juga kalau main meriam buluh di rumah PENA. Boleh ajak teman-teman penyair sekali. Lepas tu lawan, bunyi meriam siapa paling power."
Jom. main meriam.