Selasa, 19 Oktober 2010

TAHNIAH SAHABATKU

(Saya, Rahimidin Zahari, Zaen Kasturi dan S.M Zakir)

TAHNIAH kepada dua orang sahabat saya yang baharu sahaja diumumkan oleh DBP sebagai penerima anugerah sastera. S.M Zakir membawa pulang gelaran Penulis Muda MASTERA sementara Zaen Kasturi meraih SEA Write Award.

Kedua-dua penulis ini saya kenali sejak zaman remaja sewaktu mula mengenal 'kalam dan kertas'. Zaen lebih awal kerana kami terdidik daripada Minggu Penulis Remaja. S.M Zakir pula agak lewat sedikit kerana dia anak sorang penulis tersohor dan sasterawan negara pula. Waktu itu, kami malu untuk berkawan dengan anak sasterawan negara. Jadinya saya takut untuk bermesra dengannya dulu. Saya menjadi rapat dengan S.M Zakir apabila kami ditemukan di rumah PENA dan terlibat juga dengan gagasan SPMG (Saketariat Penulis Muda Gapena). Saya yang dulu baik kini sedikit demi sedikit menjadi rosak sana sini apabila mula berkawan dengan mereka berdua (out of record: hehehehehehe).

Kedua-dua penulis ini mempunyai kelebihan tersendiri. Seperti yang saya nyatakan dalam akhbar Berita Harian beberapa hari sebelum ini, bahawa Zaen Kasturi adalah penyair yang sering mabuk dalam kata-kata tetapi terpenjara di dalam ruang besar dirinya. Dia selalu membongkar sebuah masa lalu dengan diksi alamiah. S.M Zakir pula saya lihat antara penulis yang sedang memasuki istana falsafah. Dia juga mempunyai kelebihan yang luar biasa kerana mampu merakam apa-apa juga yang dilihat, didengar dan dirasai tanpa mencatat. Hal ini terbukti di dalam cerpennya yang berjudul "Cerita kepada Teman-teman" (Dewan Sastera, Januari 2009). Pengalaman mengembara dengan S.M Zakir amat memeningkan kepala sebab dia lebih licik daripada Amiruddin Ali yang kononnya sudah licik itu (malah Amiruddin yang licik itu pun selalu menjadi mangsa ditinggalkan).

Kini kedua-dua rakan saya ini sudah bergelar. Potret di atas menjadi saksi keakraban kami. Saya berdoa selepas ini RahimidinZahari pula akan menyusuri jejak mereka berdua. Mudah-mudahan doa ini menjadi kenyataan kerana Rahimidin kini antara yang terbaik dan setanding dengan Faisal Tehrani.

Berbalik kepada Zaen Kasturi dan S.M Zakir, kedua-duanya mempunyai kelebihan yang hampir sama; bermula sebagai pemain bola sepak kemudian beralih kepada bidang penulisan (menghasilkan cerpen, novel, puisi, esei dll), boleh bermain alat muzik, bernyanyi dan menulis lirik lagu. Inilah keluarbiasaan yang sukar saya dan Rahimidin Zahari tandingi. Kami tak pandai menyanyi dan bermain gitar. Apatah lagi main bola sepak (penyokong SPURS sahaja). Malah kelainan paling ketara ialah S.M Zakir lebih bersifat 'brutal'.

Apa-apapun saya secara peribadi amat senang mengakrabi mereka. Bak kata pepatah minang, "tak simpan di dalam hati" itu makanya hingga ke hari ini kami saling berbicara.

Tahniah kepada sahabat saya S. M Zakir dan Zaen Kasturi (Zainal Palit). Selepas ini saya akan terus mendoakan sahabat saya Rahimidin Zahari untuk menyusul sebagai penerima anugerah seterusnya. Kepada kalian, apabila sudah berjaya, jangan lupa saya yang masih di bawah ini. Saya berharap juga mereka berdua akan meneruskan perjuangan sastera Melayu hingga berjaya merangkul anugerah Sasterawan Negara. Saya juga sedang menanti buah rindu (karya) mereka yang terbaharu. Khusus kepada Zaen Kasturi pula, keluarlah dari kota persembunyian dan dampingi kami di PENA.

Hari ini S.M Zakir menjadi tonggak kuat PENA sementara saya hanya tiang yang menyokong tetapi menanti rebah kerana tidak sekuat S.M Zakir . Dia Setiausaha Agung PENA sementara saya timbalannya. Kami sedang menyusun strategi untuk terus memartabatkan sastera Melayu. Dalam PENA, S.M Zakir dan bebarapa rakan lain seperti Mohammad Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali, Rahimidin Zahari, M. Lutfi Ishak. Dr. Hanafi Ibrahim, Ariff Mohamad dan lain-lain itu mempunyai buah fikir yang senada dan murni. Insya-Allah, akan kami teruskan perjuangan itu.

Kepada S.M Zakir dan Zaen Kasturi, kalian adalah sahabat yang memahami. Tahniah ikhlas daripada saya dan saya sedang merenung nasib yang jauh panggang daripada api. Moga keakraban kita kian direstui Allah SWT.

Amin.

6 ulasan:

Zaid Akhtar berkata...

Tahniah buat Tuan Zaen dan dan Tuan SM Zakir.

Tahniah juga buat Tuan Haji Sham kerana Spurs tidak lagi berkejaran di reban. :-)

S.M. Zakir berkata...

aji.. kalau tulisan ni dijadikan ucapan penghargaan kat pentas.. mati eden.. banyak rahsia pocah ni.. adui aji tu belum masuk cerito kat bandung lagi tu waduh bisa lari telanjang gue

ekspresi berkata...

tahniah untuk zaen dan zakir. hadiah2 ini sepatutnya mereka sudah dapat 10 tahun lalu.
masa untuk sham aljohori akan tiba juga nanti.

HAFIZ LATIFF berkata...

Assalamualaikum w.b.t.

Tahniah diucapkan kepada Abang Zaen Kasturi dan Abang SM Zakir. Semoga terus sukses dalam memartabatkan sastera tanah air.

Buat Abang Din, saya doakan agar suatu hari nanti, Abang Din juga bakal menerima anugerah-anugerah tersebut, insya-Allah. =)

Tanpa Nama berkata...

Tahniah untuk Abang Zaen Kasturi dan Abang Zakir atas anugerah ini. Didoakan Abang Rahimidin dan Abang Shamsudin juga akan menyusul.

Dan lebih dari itu, saya doakan persahabatan kalian berkekalan.

Hasmora berkata...

Salam tahniah buat dua sasterawan kebanggaan negara, perjalanan cerah menuju persada Sasterawan Negara insyaAllah.. Tuan Hj Shams dan Abg Im saya doakan berjaya kelak. Tapi apapun janji ikhlas dlm berjuang, kalau niat nak kejar penghargaan dan populariti duniadapat akhirat keciciran.. (ayat ustad cam ni la nk camana ya dak hehe)..

kalau Sdr Nas panggil saya Abang kan.. wow! berbunga tak gugur punya.. (gurau je..)

Salam rindu dari kejauhan, seberang laut cina selatan.