Rabu, 27 Julai 2011

TANAH SANG SAPURBA


SANG SAPURBA MAMAMERU

Berbekal Sejarah Melayu
aku datang kepadamu
dengan segugus kenangan gemulah
Wan Empuk Wan Malini
metos padi bertukar emas
waadat Demang Lebar Daun
dan rintih Sang Sapurba
berwalang ganti
membina maruah dan jadi diri
bangsa bernama Melayu.

Ini tanah Mahameru
terbangun daripada jerih swarnadwipa
asal akal kepada kata
asal sembah kepada adat
asal agama kepada iman
asal segala Melayu yang ada

Di dada Musi
antara Ampera dan Seguntang
puncak yang melangit
ada jamung takjub
terbakar di dadaku
dan keladi bunting
adalah perakam waktu
yang setia ke muara

Ratusan tahun usiamu Sang Sapurba
antara rumah rakit dan masjid agung
aku memilih ratib dan zikir
untuk kubawa pulang
ke negeri abadi.

SHAMSUDIN OTHMAN
Palembang

2 ulasan:

Naimah Muhad berkata...

Salam Abang Shamsudin. Apa khabar? Moga di bawah naunagan Ilahi.

Seperti biasa, saya kagum dengan puisi-puisi yang dilakarkan oleh guru saya ini . :)

Doakan saya juga!

~Fakhratu Naimah Muhad~ MPR `11

Hasmora berkata...

Assalamualaikum tuan haji, tolong edit tajuk tu tuan haji, Mamameru tu bukan Mahameru

:)