Rabu, 25 April 2007

sebuah pekan bernama Ijok dan cerita lain

i
Sebuah Pekan Bernama Ijok

Aku tuliskan kisah sebuah pekan yang amat aneh pembangunannya. Kisah ini berlaku di sebuah negeri di bawah angin. Ijok gelarannya. Pekan yang tidak pernah bergelar ini dahulunya adalah sebuah rimba yang dipenuhi kancil dan pelanduk. Aneh yang pertama ialah pekan ini diketuai oleh seekor gagak meski pekan ini dihuni oleh kancil dan peladuk. Aneh yang kedua ialah sang gagak tidak pintar untuk membangunkan rimba raya yang luas itu. Dan aneh yang ketiga ialah sejak akhir-akhir ini habis semua keindahan rimba dinodai untuk pembangunan. Paling mengecewakan ialah sang gagak hanya mengangguk sahaja setiap kali gagah, harimau, serigala, babi, anjing dan buaya datang menodai keindahan rimba raya itu.
"Wah, hidup kita akan segera bertukar wajah," kata sang kancil kepada pelanduk ketika melihat gagah dan kuncu-kuncunya menguasai pemikiran sang gagak.
"Inilah pembangunan namanya. Kita mesti menjadi bangsa yang maju seperti Amerika. Kau tengok sahaja kehidupan sang arnab dan sang musang. Bukankah mereka senang kini." Jawab sang pelanduk sambil melontarkan senyum kambingnya.
"Senang kepala otak kau." Pintas sang kancil.
Maka sejak hari itu, sang kancil, pelanduk dan sang gagak hanya melihat rimba tempat mereka bercucuk tanam, bermain dan berhibur bertukar menjadi pekan bernama Ijok.
ii
dan cerita lain
Pesta buku Malaysia akan diadakan pada 17-6 Mei di PWTC, KL. Datanglah beramai-ramai untuk berhibur dengan buku. Bergolok-bergadai untuk buku lebih baik daripada bergolok-bergadai untuk hal-hal duniawi seperti beli kereta baharu atau berbini baharu.
Tetapi, kalau semuanya dah beli; buku dah beli, kereta dah beli, rumah dah beli, kalau nak beli orang rumah baharu apa salahnya. Kemampuan dan keadilan telah diakui, teruskan niat yang suci itu. Aminnn.
iii
Kepada DYMM Sultan Mirzan; SELAMAT MENJADI SEORANG SULTAN YANG BERTAQWA DAN BERIMAN DENGAN KEBENARAN YANG ESA. AMIN.

Ahad, 22 April 2007

Calon YB

i
Mingguan Malaysia hari ini (22 April 2007) menyiarkan cerpen Allayarham Faizal Fadzil) bertajuk 'Calon YB'. Aku tidak begitu terperanjat kerana sebulan sebelum sahabatku itu kembali menemui Tuhan dia sempat bersembang panjang dengan aku di Rumah PENA pada malam Baca Puisi 'Penulis dan Perjuangan' anjuran kerjasama Utusan Melayu sempena ura-ura pengabungan Utusan-NST.
Malam itu, ceritanya panjang tentang sejarah nasibnya yang dipermainkan oleh pihak tertentu yang hidup dengan moto 'dacing'. Sesekali perbualan kami berkisar tentang MPR dan kenangan sebagai penulis muda. Malah lebih daripada itu, dia sempat berkisah tentang kehidupannya di Amerika (sewaktu menjadi mahasiswa sains politik). Dan yang paling menyenangkan aku ialah apabila dia menjelaskan, "aku dah siapkan 2 cerpen terbaharu. Kau bacalah nanti."
Aku gembira kerana dia mula menulis kreatif kembali. Malah aku mengenalinya pun bermula di DBP sewaktu menjadi anak angkat DBP dalam program MPR. Waktu itu dia sebilik dengan Ahmad Patria dan Hizairi Othman; rakan-rakan lain seperti Rahimidin Zahari, Zamri Muhamad, Roslan Ngah (Ralan Kazan), Amaruzati Nor Rahim, Lili Haslina Nasir, Siti Hawa Hashim, Arfah Ahmad, dan lain-lainnya agak malu-malu kerana kami bukan anak sasterawan seperti mereka (Patria dan Hizairi).
Rupa-rupanya, 2 cerpen itu adalah cerpen terakhirnya. Aku sedang menanti cerpennya yang satu lagi itu.

Hari ini, kami (warga MPR) telah kehilangan Faizal dan Hizairi. Faizal telah kembali ke alam keabadian sementara Hizairi sehingga kini gagal kami jejaki. Nah, selepas ini giliran siapa pula? Kalau giliran aku yang paling hampir mengiring mereka, aku mohon maaf banyak-banyak. Kematian pasti berlaku dan tidak boleh ditunda meskipun sesaat. Kalau pun bukan aku, kita semua kena bersedia untuk menuju ke negeri abadi.

ii
Kepada Zaid Akhtar, kenapa tegur ana' yang nak menulis novel? Teguran itu, menyebabkan aku kehilangan idea. Hehehehe.

Jumaat, 20 April 2007

i.
Hari ini aku sempat membaca kitab al Hakam. Terasa seronok setiap kali beralih lembaran demi lembaran. Ada sesuatu yang segar mengalir ke dalam diri. Mungkin inilah yang dinamakan 'zouk'. Malah masih terasa segarnya ketika aku menulis dalam blog ini.

ii
Semalam ketika sendirian makan di McD, Pasar Seni; aku didatangi seorang jejaka yang memberikan majalah Al- Hikmah secara percuma. Sambil meneguk dan mengunyah juadah; tumpuan aku terarah kepada tulisan 'Surat Daripada Fatimah'. Aku ringkaskan cerita itu dalam blog ini. Kisahnya begini....

Fatimah ini merupakan seorang banduan wanita yang ditahan di penjara Abu Gharib. Dia ditahan kerana dituduh menyembunyikan abang dan adiknya. Apa yang menyedihkan kehidupan Fatimah ini ialah, di penjara itu dia menjadi mangsa pemuas nafsu tentera Amerika. Dia dan banduan wanita diperkosa sebanyak sembilan kali sehari atau lebih. Malah lebih teruk apabila diperkosa secara beramai-ramai. Dalam suratnya (yang berjaya diseludup ke luar) dia menulis;

Saya katakan, rahim-rahim kami telah terisi dengan janin akibat perkosaan yang dilakukan keturunan kera dan babi itu. Mereka menodai tubuh kami, meludahi muka kami dan merobek-robek Al-Quran untuk digantungkan ke leher-leher kami yang telanjang tanpa seurat benang.

Ya Allah, inilah cerita yang benar-benar menyayat hati. Aku tidak dapat bayangkan kalaulah Fatimah itu bangsa Melayu dan Iraq itu Malaysia. Kezaliman amerika sebenarnya sudah tidak boleh dimaafkan. Amerika sebenarnya adalah Yahudi atau babi yang bertopengkan wajah manusia.

Bolehkah kita memaafkan dan berkerjasama dengannya?

Anehnya, kerajaan UMNO beriya-iya ingin bersekongkol dan menjadikan bangsa ini rakan perdagangan.

Persoalan seterusnya ialah, tidak boleh hidupkah kita tanpa yahudi amerika itu?
iii
Aku tak sempat nak sambung novel sebab waktu tidak mengizinkan.

Khamis, 19 April 2007

TENTANG NOR AINI (CAHAYA MATAKU)

i
Begitulah, beberapa malam terakhir sejak pulang dari tanah bumi Kenyalang, ingatan aku sering tidak karuan. Ingatan demi ingatan terhadap seorang manusia sering bergentayang dalam diri. Seluruhnya menjadi resah. Lalu apa yang bernirmala di kamus fikir aku ialah, berdosakah aku kepadamu? Puas aku membelek-belek lembaran diri dan potret masa lalu. Album-album kehidupan 20 tahun lalu aku ulang tatap untuk kesian kalinya. Kali yang entah ke berapa aku sendiri sukar memberikan jawapannya. Yang pasti, mengulit album itu seperti menjadi kewajipan sejak akhir-akhir ini.
Di jendela waktu yang kian ruyup oleh hujan, aku masih merenung jauh sambil berkira-kira tentang hati dan perasaan sendiri. Sesekali nyanyian M. Nasir 'Keroncong untuk Ana' terngiang-ngian di telinga. Sesekali juga, jeritan dan lolongan perasaan menyentak-nyentak sukma. Kedua-duanya kadang-kadang bercakaran sesama sendiri.

.... tunggu lanjutannya?
ii
Itu draf novel aku yang ke berapa? Doakan novel ini menjadi kenyataan selepas novel 'Mujarat'.

Isnin, 16 April 2007

http://glateh.blogspot.com

i
Saya baharu sahaja melayari blog seorang penulis yang saya kagumi, iaitu Ghazali Lateh.
Wah, blog dan pengkisahannya hebat sekali!
ii
Teruskan dan selamat menjadi warga blog untuk memungkinkan impian realiti, kepercayaan dan proses kreatif terus mengalir.
iii
Kadang-kadang kita perlu menjadi manusia yang tak perlu ramai kawan kerana sukarnya memahami kerenah manusia. Biar kita ada sedikit kawan tetapi tidak menyusahkan. Kata cikgu Amin, "kita kena pilih kawan sebab takut jumpa kawan yang makan kawan." Dengan selamba saya pun menyampuk, "sebab apa cikgu Amin pilih kawan macam buaya? Pilihlah macam saya ke atau macam Ghazali Lateh ke?" Sambil ketawa dia menjawab, "sebab aku nak buaya darat. Kau buaya tak ada gigi." Ketawa kamipun memecah sunyi malam kamar 639 Holiday Inn, Kuching.Selamat menziarahi dan melayari dunia blog.
iv
Aku, Amin dan Ghazali kian mengenali hati budi masing-masing. Moga kami akan menjadi rakan juga saudara yang mengakrabkan.
Amin tetapi bukan cikgu Aminhad. hehehehe

KUCHING, SARAWAK, AMINHAD YANG AKU KENALI DAN SEBUAH MASA DEPAN

I.
Syukur, dengan limpah dan hidayahnya, aku bisa kembali melakarkan sesuatu di dalam blog ini. Seminggu berkelana di Kuching, Sarawak banyak menemukan aku dengan rakan-rakan yang banyak mengali pengalaman di daerah pedalaman. Mereka terpaksa mengharung pelbagai suka duka P&P. Mereka berjaya membaca gerak riak sungai, mereka berjaya menterjemah suara mergastua, mereka berupaya memahami bahasa suku-sukuan dan pelbagai pengalaman yang tak aku terfikirkan.
Seminggu di Sarawak bersama-sama guru kreatif aku iaitu cikgu Aminhad banyak mengajar aku erti kehidupan sebenar. Dia mengajar aku makan umai (sejenis makanan sarawak), cara menggunakan gambir sarawak, cara mengenal hulu parang dan cara menjampi buaya. Fuhh! Padanlan cerpen, novel dan sajaknya hebat; sebab dia boleh memahami bahasa binatang dan bahasa alam.
Ada sesuatu penyakit cikgu Aminhad yang perlu kita semua ketahui; iaitu, dia punya empat talipon bimbit. Satu khas untuk rakan-rakan penulis, satu untuk isteri, satu untuk anak-anak dan satu lagi untuk urusan-urusan 'kekayaan'. Malah lebih hebat lagi apabila dia tidak boleh berpisah dengan kamera. Habis setiap sudut alam yang aneh-aneh dirakamkan. Katanya "nanti bila nak tulis cerpen, gambar-gambar inilah yang akan menjadi bahan bantu," katanya sambil merenung sungai Sarawak pukul 1.30 pagi di Waterfront.

ii
Kepada rakan-rakan yang menghantar karya untuk dikongsikan pengalaman proses kreatifnya; saya minta maaf banyak-banyak sebab kekangan masa menyebabkan saya hanya sempat membaca dan tidak sempat untuk mengedit. Beban tugas dan kerja-kerja sekolah kian melambak. Apatah lagi tugasan luar oleh MBKM, PPK dan LPM. Kadang-kadang balik rumah macam pergi melancong pulak. Entahlah, ini semua cabaran kehidupan yang perlu saya lalui dengan tabah.
Insyallah, saya (aku) akan segera membalas semua kiriman itu supaya proses kreatif itu dapat berjalan seperti biasa.

iii
Minggu depan aku akan ke Terengganu dan awal Mei pula aku akan ke Kundasan, Sabah. Ini kerja yang bakal menyusul. Nah! Tentunya kerenah-kerenah manusia yang bakal aku lalui itu akan menjadikan aku lebih dewasa.

iv
Semalam sajak "Percakapan Kepada Seorang Kekasih vi" aku tersiar di Berita Minggu. Membacanya berkali-kali; aku menjadi takut dan terasa hampir kepada kematian. Kalaulah Tuhan (ALLAH) benar-benar ingin menjemput aku pulang ke negeri abadi, izinkan aku bermohon agar kepulangan aku itu penuh dengan restu ayahbonda, anak isteri, saudara mara, rakan-rakan dan kekasih. Mungkin takdir yang tidak boleh aku baca itu mampu mengirimkan petanda dan tanda kepadaku supaya sentiasa beringat-ingat.
Kepada kalian, aku tidak pernah mendustai janji kita.

Rabu, 4 April 2007

MENCARI KEKASIH

i
Malam semalam aku dengan beberapa orang rakan minum di Hajaris Bistro, Bandar Sri Permaisuri. Topik sembang panjang kami tentang 'ISTERI'. Menariknya, salah seorang daripada rakan aku itu meluahkan perasaan hatinya. Katanya, "cukuplah usia aku ni kena marah. Dulu kecil-kecil dimarahi emak bapak, di sekolah dimarahi guru, dah kahwin kena marah dengan isteri pula." Aku tak banyak beri respon tetapi senyum kambing aja melihat keluhannya. Malam itu, aku, Zainuddin, Wak Suhaidi, Onn, Jeff, Ehsan, Shukri, dan Kimi berfikir panjang tentang salah seorang daripada kami itu.
"Tak ada penyakit cari penyakit," selorohku sambil disulam ketawa kecil.
"Aku cari kekasihlah. Kau apa tahu, dan kau kau belum diuji lagi." kata sahabatku yang celaru mimpi masa depannya.

Entahlah, mungkin dunia ini kian kecil untuk manusia sepertinya. Mencari kekasih tak boleh disamakan seperti mencari buah mangga. Kadang-kadang seorang lelaki perlu memikirkan lebih daripada itu. Kekasih adalah kehidupan yang bercakap tentang cinta dan rindu. Jadi, cuba bayangkan kalau kita telah diserang angau cinta atau rindu itu. Yang busuk dikatakan baik, yang hapak dikatakan wangi, yang hodoh dikatakan cantik, yang miskin dikatakan kaya, yang lemah dikatakan kuat dan yang tua rasa seperti muda. Itulah cinta kata Khalil Gibran dalam bukunya Bicara Tentang Cinta.

ii
Malam tadi aku sempat tulis sajak. Lega rasanya apabila dapat menulis sajak setelah beberapa waktu terhukum oleh hal-hal rutin perguruan. Aku mula rasa romantis kembali; lalu aku tulislah sajak ini.

PERCAKAPAN KEPADA SEORANG KEKASIH IV

Aku melukis diriku sendiri

sebuah rumah lengkap

tersergam indah di puncak gunung

bumbung bersalut awan

lantai berlata jeram dingin

terasa bahagia diulit damai.

Kini seluruhnya akan kuwakafkan

kubuka pintu rindu dan jendela cinta untukmu

masuklah dengan seluruh jiwa

dan carilah apa yang kusembunyikan

mudah-mudahan akan kau temui

apa yang kauingini selama ini.

Dan di malam dingin begini

di tepi jeram yang syahdu

hanya aku bertiga

aku, Rakib dan Atib

saling bercakaran membilang sepi

hingga sunyi kolam mataku

bertakung air mata

kemudian basah di bawah suram cahaya.

Saat itu,

Tuhanku adalah sejambangan mawar

yang berdakapan dan tak mungkin berpisah

sedang aku adalah durinya yang resah dibasahi gerimis.

Kekasihku,

aku adalah sebuah rumah yang sepi

bertandang dan masuklah

ambillah apa yang kauingini

daripada apa yang aku sembunyikan selama ini.

SHAMSUDIN OTHMAN

Madrasah Sham al-Johori,

Kuala Lumpur.

iii
Aku tujukan sajak ini kepada seorang kekasih yang tidak pernah ingin mengerti bahawa dia sebenarnya tidak pernah mati dalam hatiku. Aku selalu berharap, agar dia dapat belajar daripada masa lalu yang tidak pernah berdusta itu.