Selasa, 18 Mac 2008

HARI INI BETAPA PERLUNYA KITA SEORANG SULTAN


SULTAN: BERAJA DI MATA BERTAKHTA DI HATI


Hari ini betapa terasa rindunya kita
kepada insan bernama sultan
setelah suatu waktu dahulu
kekebalannya dirampas
darjat dan takhtanya dihina
daulat dan maruahnya dikeji

Hari ini betapa kita memerlukan
seorang insan bernama sultan
untuk menjunjung perjuangan bangsa
yang celaru dan hilang punca
setelah gelombang rakyat
menjadi tsunami yang mengerikan

Hari ini betapa kita mengasihi
seorang insan bernama sultan
setelah Melayu kehilangan ketuanan
di bumi pusaka penuh bermaruah
tempat anak cucu mewarisi
tradisi dan ketamadunan

Hari ini betapa kita menyayangi
seorang insan bernama sultan
setelah ludah yang terlontar
jatuh ke muka sendiri
hingga hamis dan hanyirnya
melingkar diri

Hari ini betapa kita menghargai
seorang insan bernama sultan
setelah diri diperkotak-katik dipersenda
oleh pendatang yang menumpang berdagang
berkongsi kasih dan derita
membina sebuah negara bangsa

Hari ini betapa kita menyesali diri sediri
setelah membuang ketuanan sultan
dengan slogan
HIDUP MELAYU
HIDUP UMNO
HIDUP MALAYSIA


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya tertarik dgn blog saudara.Jutaan maaf kerana rangkaikan di blog saya tanpa keizinan.Semoga usaha murni dan perjuangan saudara sentiasa dirahmatiNya.ameen.

Tanpa Nama berkata...

Maafkan saya. Saya Nur Farah Deelah pelajar dari kolej mara banting. Saya memerlukan email saudara untuk mendapatkan pendapat saudara tentang definisi watak dan perwatakkan secara umumnya dalam sesebuah karya. Ini adalah bertujuan untuk tugasan saya dalam subjek Sastera.