Selasa, 22 April 2008

SALAM DARI KEJAUHAN...

MOGA SEMUANYA SIHAT SEJAHTERA

Lewat beberapa waktu kini, aku kian meluat melihat kenyataan demi kenyataan para pencatur tanah airku yang terus dikaluti sekular, nepotisme, marxisme dan kejahilan patriotisme. Aku tidak dapat bayangkan apa akan terjadi kepada nasib anak-anak aku sesudah ini. Adakah mereka boleh berbangga menjadi orang Melayu atau mereka malu untuk mengaku mereka orang Melayu? Aku tidak dapat bayangkan apa akan berlaku 10/20/30 tahun akan datang; sekirannya prinsip mencaturkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu negara ini terlaksana dengan sokongan padu juak-juak kronisme pencatur ini.
Aku tidak boleh mengharapkan kepada sebuah pertubuhan gabungan badan penulis terbesar tanah airku kerana perjuangan mereka terhadap membela nasib bahasa Melayu dan bangsa Melayu khususnya penulis Melayu telah berkubur. Perjuangan mereka hari ini lebih kepada agenda politik dan seperti menjadi duri dalam gading kepada penulis. Mungkin perkiraan pencatur badan itu betyul daripada hukum matematika iaitu apabila berjaya membela nasib orang Melayu maka secara tidak langsung nasib bahasa Melayu juga akan terbela. TETAPI apakah mereka sedar bahawa selama ini tindak tanduk mereka yang lebih suka menyepi dan membisu apabila nasib bahasa Melayu diperkotak-katikan oleh pencatur politik tanah air. Di manakah mereka pada saat-saat genting isu bahasa melanda nasib bahasa Melayu?
Aku tidak mengharapkan pertolongan tangan-tangan ghaib untuk mengubah keadaan ini. TETAPI yang aku perlukan ialah keseluruhan jiwa dan roh Melayu itu kembali bersemi dan menghijau subur dalam seluruh nuansa fikir orang Melayu.
Aku tidak perlukan tutut kata yang muluk-muluk kemudian ditaburkan ke pentas media mahupun minda Melayu yang terus kalut akibat tsunami PRU-12. TETAPI cukuplah dengan mentaati perlembagaan yang mereka ciptakan sendiri. Perlembagaan Tanah Melayu, Perkara 152 dan Perkara 3 (rujuk perlembagaan parti terkuat Melayu) jangan sesekali dilaknanti dan dikencingkan sesuka hati.
Aku tidak ingin melihat janji-janji demi janji ditaburkan. TETAPI dalam waktu yang sama, mereka berusaha membunuh kebitaraan satu generasi Melayu. Aku selalu berharap agar para pencatur dan juak-juak ini turun padang dan pergi ke sekolah untuk sama-sama belajar kemudian menilai sendiri apa yang sedang berlaku di sekolah rendah atau menengah hari ini. Turun padang itu maksudnya ialah para juak dan pencatur ini perlu duduk di sekolah melihat dengan mata sendiri, mendengar dengan telinga sendiri, membaca dengan mulut sendiri dan menghayati dengan hati sendiri bukannya menerima laporan demi laporan kemudian mengangguk ketika menatap baca laporan yang batil itu. Bukannya mendengar dengan telinga orang lain, bukannya membaca dengan mulut orang lain, bukannya melihat dengan mata orang lain juga menghayati dengan hati orang lain. Anggota yang dipinjamkan itu hakikatnya tidak sama dan keputusannya tidak mencapai aras kepuasan sendiri. Sekiranya hal seperti ini dapat dilakukan dengan telus, ikhlas dan amanah sudah tentu para juak dan pencatur itu akan menitiskan air mata. Ini tidak, yang berlaku sebaliknya apabila bukan air mata yang menitis tetapi semuanya itu terus menjadi agenda gelak-tawa mereka.
Sekian tika aku menyepikan diri kerana aku sedih melihat Akta Pendidikan 1996 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1996 (pindaan), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan kemudian Akta Lembaga Akredikasi Negara 1996 telah dilacuri secara perlahan-lahan oleh para juak dan pencatur ini.
Bercakap tentang melacurkan akta-akta itu, siapakah yang paling layak disalahkan? Adakah orang macam aku yang tiada sebarang kuasa atau orang yang macam mana? Tentunya jawapan yang pasti ialah orang yang menentukan dasar itu dilaksanakan. Tanpa menuding kepada seseorang ada baiknya kita merenung ke dalam diri kita sendiri, WAJARKAH NASIB BAHASA MELAYU DILAKUKAN SEDEMIKIAN SETELAH KITA MENGECAPI NIKMAT 50 TAHUN MERDEKA? Jika dahula kita amat takut dengan kuasa penjajahan Inggeris. TETAPI mengapa kini kita terhegeh-hegeh, beriya-iya menobatkan bangsa yang pernah mencipta onar kepada nasib bangsa kita? Tidak boleh hidupkah kita tanpa penjajahan minda ini? Atau akan matikah kita jika kita mencipta nuansa fikir yang asli daripada patriotisme Melayu?
Kita perlu belajar daripada Andalus yang bertahan dan hebat ketamadunannya selama 700 tahun tetapi kemudianya musnah oleh kelicikan barat melalui strategi;
1. melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya
2. menghantar arak dan rokok secara percuma
3. menghalalkan muzik dan menari
4. mengirimkan ulamak palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan demi perpecahan.
Kelicikan daripada strategi inilah akhirnya menyebabkan golongan muda mula leka dan kehilangan jati diri patriotisma. Andalus hancur dan kehebatannya hanya tercatat dalam satu sejarah Islam yang menyedihkan.
Rentetan daripada itu, adakah kita sanggup melihat kehebatan bangsa Melayu yang melangkaui usia 1400 tahun itu musnah sedikit demi sedikit. Akhirnya, kita juga akan menjadi bangsa Melayu yang tercatat dalam sejarah bangsa yang menyedihkan.
Nah, hari ini, adakah kita sekadar melihat, mendengar dan membaca sahaja nasib Melayu itu?

Tiada ulasan: