Rabu, 31 Disember 2008

PPSMI: NAKHODA BANGSA YANG KELIRU

MEMBACA tajuk-tajuk utama akhbar Melayu hari ini, rata-ratanya mengemukakan cerita keputusan PMR semalam. Yang paling menyakitkan hati ialah beriya-iya menjelaskan keputusan subjek sains dan matematik yang diajar dalam BI itu. Keputusan yang menunjukkan kejayaan dan keupayaan pelajar luar bandar dan bandar berdaya saing dalam dunia global. Laporan daripada Pengarah Pelajaran Malaysia dengan angkuhnya menyatakan bahawa pelajar kita lebih hebat daripada pelajar di England dan Australia. Tahniah KPM.

Apakah selepas ini PPSMI ini akan diteruskan setelah berjaya melalui cabaran awal? Sekiranya itu yang berlaku, apakah kaedah yang akan diguna pakai? Bagaimana pula dengan pelaksanaannya? Adakah tindakan ini mengembirakan banyak pihak atau menambahkan lagi luka dan derita bangsa?

Mungkin ada yang melihat hal ini kecil, remeh atau demi persaingan global. Tetapi bagaimana ukurannya dalam hal-hal roh, maruah dan jati diri bangsa?

Nampaknya slogan 'Malaysia Boleh' yang dicanangkan oleh pemimpin negara rupa-rupanya TIDAK BOLEH dilaksanakan dalam bidang ilmu dan pendidikan negara di Malaysia. 'Malaysia Boleh' hanya slogan sesuai untuk bidang kebudayaan, sukan, politik dan ekonomi sahaja. Akhirnya impian kerajaan untuk melihat nasib Bahasa Melayu terus layu di persada ilmu termakhbul juga. Sayang seribu kali sayang.

Terima kasih kerajaan Malaysia dan terima kasih UMNO kerana berjaya melunaskan impian untuk menguburkan Bahasa Melayu. Selepas ini, jangan lupa untuk menutup segera Dewan Bahasa dan Pustaka. Tutup juga akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Selepas itu, jangan lupa pinda perlembagaan perkara 152 dan 153 sekali. Tukarkan mana-mana istilah dan perkataan yang ada istilah Melayu kepada istilah Yahudi atau Inggeris. Kalau boleh, tukarkan juga nama bangsa Melayu dalam kad pengenalan kepada bangsa Inggeris.

Bukankah itu yang kerajaan kita inginkan? Apabila kita sudah hilang kepercayaan kepada kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bermakna kerajaan juga tidak percaya kepada kekuatan bangsa Melayu.

Inilah balasan dan kepercayaan nakhoda bangsa yang kita pilih. Terima kasih nakhoda bangsa!

2 ulasan:

mendewa berkata...

Memang apa yang dihidangkan kepada umum hanyalah mainan untuk mempertahankan PPSMI. Hakikatnya kenapa % kelulusan BI masih merosot? Sewajarnya PPSMI dapat jg membantu memartabatkan BI yang dibanggakan itu. Syabas atas luahan berani tuan.

Zaid Akhtar berkata...

Begitulah adanya nasib Melayu,
Tuan Haji.
Malang sekali kerana memiliki nakhoda pandir yg susah nak diajar.

Yang memilihnya nak dibahasakan apa?