Ahad, 29 Mac 2009

SANTAI DI PAGI MINGGU


I
Semalam, sepetang itu saya bermesyuarat di rumah PENA bersama-sama SM Zakir, Amiruddin, Lutfi, Ariff, Ijamala, Nazmi dan Wan Zaidah. Mesyuarat kami berkisar tentang Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (PPMM) yang bakal di adakan di Melaka pada 17-19 April 2009 ini. Hanya dengan beberapa kudrat dan kederat itu, kami mengambil keputusan untuk mengadakan PPMM ini secara bersederhana kerana masalah kewangan yang kurang mengizinkan.

Begitupun dengan usaha dan sumbangan idea rakan-rakan, insya-Allah PPMM ini akan berjaya mencetuskan gagasan dan impak yang diharapkan. Oleh itu, kepada penulis-penulis muda Malaysia yang berusia 40 tahun dan ke bawah, diharapkan dapat sudi hadir untuk menyatakan sokongan dan bermuzakarah dalam majlis ilmu sastera itu.

Saya yang telah menjangkau usia awal 40-an ini hanya bertindak sebagai penganjur sahaja. Andalah penulis muda yang perlu menjadi pengisi ruang kemudian memanfaatkannya.

Saya melihat daripada kaca mata luar bahawa penulis muda Malaysia hari ini kurang bersosialisasi dengan masyarakat. Maksud saya, penulis muda hari ini terlalu meletakkan eletis karya hingga tidak sanggup berkongsi idea dengan persatuan mahupun berbicara secara santai dengan teman-teman. Ini mungkin budaya baharu penulis muda Malaysia yang sebahagian besarnya terdiri daripada mahasiswa dan sedikit berkedudukan.

Persoalan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana hal yang sama pernah dilalui oleh kami (penulis-penulis veteren). Penulis-penulis atau sasterawan dahulu merupakan golongan elit yang berkhidmat sebagai guru, wartawan, peniaga, seniman, sarjana dan lain-lainnnya. Persoalannya, kenapa sasterawan itu punya masa untuk bersosialisasi dan bersantai sastera? Kesibukan dengan rutin bukan alasan kerana Allah memberikan kita akal untuk membahagikan-bahagikan masa. Hari ini, kesuaraman aktiviti sastera menjadi satu ketakutan yang membimbangkan. Di mana-mana majlis sastera hari ini kurang dihadiri oleh orang sastera apatah lagi penulis muda yang merasakan kehebatan mereka akan tercemar sekirannya pengalaman mereka perlu dikongsikan dengan masyarakat.

Saya yang sentiasa ditemani Rahimidin Zahari, SM Zakir dan beberapa nama kelompok penulis muda yang hakikatnya sedang menuju tua itu sering merasai kerisauan itu. Antara kami sering geger dengan sikap sesetengah penulis muda yang berprinsip demikian.

Mudah-mudahan dengan kehadiran PPMM ini (setelah lama tidak diadakan) akan dapat menyuburkan kembali stamina PPMM. Kesudian DBP, ASWARA, MAJLIS BANDARAYA MELAKA dan PENA berkerjasama menjayakan PPMM ini hanya Allah juga yang dapat membalasnya.

Saya mewakili rakan-rakan AJK PENA (penulis veteren) mengharapkan di tangan penulis muda inilah masa depan dan hala tuju sastera Malaysia berkembang secara sihat. Nafas dan kehidupan saya tidak tentu awal akhirnya. Seusia bergelumang dalam dunia sastera ini, saya kira mungkin sudah cukup bagi saya menyumbangkan puisi, cerpen dan esei yang tidak seberapanya itu. Saya sentiasa sedar kedudukan saya jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang jauh lebih hebat daripada saya. Oleh itu, dalam sia-sia usia menuju tua ini, saya sekadar berupaya menyelesaikan impian-impian yang mungkin tidak tercapai.

Kepada penulis-penulis muda Malaysia, berikanlah kerjasama yang sebaiknya untuk menjadi pengisi kepada warisan bangsa khususnya sastera Melayu. Bangkitalah daripada keterhinaan PPSMI dan nasib bahasa Melayu yang kian terpinggir oleh kemunafikan pemimpin umno. Di tangan dan daripada buah fikir andalah nasib bahasa dan sastera Melayu itu ditentutkan. Hanya andalah yang dapat memartabadkan semua kedaulatan sastera Melayu.

ii
Mujurlah cerpen Zaen Kasturi dan esei Lutfi tersiar di dalam Minggunan Malaysia hari ini. Jika tidak, muak dam loyo apalagi yang ingin saya jelasakan kerana sebagaian besar halaman akhbar itu membicarakan kisah umno. Malah akhbar itu seakan-akan dipenuhi warna darah (merah) seperti berita keganasan zionis menyerang Gaza. Rata-rata halaman diwarnakan dengan warna itu, hingga mata saya berpinar dan berkunang-kunang. Berita penentangan PPSMI daripada seorang YB hanya berada di ruang kiri dan bawah yang membawa petanda bahawa nasib bahasa Melayu akan terus dipinggirkan.

Bercakap tentang umno, jika ketia Pak Lah mengambil teraju negara, slogan Pak Lah ialah, 'Kerja bersama-sama saya'. Dan semalam, ketika Najib memulakan secara rasmi tugasnya sebagai presiden umno, dia berkata, 'jika kita tidak berubah, kita akan diubah. Jika kita tidak berubah, kita akan rebah.'

Lihatlah dua slogan yang jauh berbeza. Satu slogan yang berakal budi dan satu lagi slogan yang dipenuhi dengan semantik ego dan kerakusan. Slogan seperti ini merupakan wawasan yang menjadi benteng cara berfikir dan berkerja. Bayangkan, jika slogan yang menjurus kepada maksud takut untuk rebah itu difikirkan dengan konotasi yang lain. Oleh itu, bagi mengelakkan terus rebah makanya prinsip matlamat menghalakkan cara merupakan strategi cara berkerja yang paling baik.

Saya seperti mula terasa bahang yang bakal mengelilingi hidup saya.

Hujung minggu ini saya mula mencaturkan masa untuk memenuhi impian saya menonton F1. Inilah satu-satunya hobi saya yang sukar dibendung. Saya bukan peminat MU atau Liverpool tetapi saya peminat setia sukan permotoran F1.

Selamat menikmati Grand Prix Australia. Dan tiba-tiba saya teringatkan puisi ini yang sempat saya karangkan ketika berada di Melbourne lima tahun lalu.

Albert Park,
tasikmu yang membiru
saat salju menggigit tubuhku
masihkah kau ingat
aku berlari di dadamu
sambil mengejar
sisa-sisa maghrib
untuk mencari waktu
menemui Tuhan yang satu.

9 ulasan:

ekspresi berkata...

dunia penulisan...
kadang-kadang membuatkan hati terasa, jiwa terseksa, namun kadangkala terlalu bahagia.
dunia politik,
slogan saya:
selamat tinggal umno.

AbEsA berkata...

salam cikgu, semalam saya jumpa cikgu Halis Azhan, dengarnya nak sambung buat pHd dekat UPM.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,

Saya bersama 2 anak lelaki juga meminati F1, anak 7 tahun boleh kenal hampir semua pelumbanya... RASANYA 'TIDAK TERCEMAR DIRI' UNTUK MEMINATI DAN MENGIKUTI F1, tapi kecewa kerana 2 pelumba Ferrari gagal menamatkan perlumbaan sulung semalam (tanpa sebarang mata dikutip). RASANYA 'TIDAK TERCEMAR DIRI' MEMINATI FERRARI... hehehe...

lutfi berkata...

Salam.
Dah jadi veteran rupanya bapak ini. keh keh. Apapun, perjuangan tidak mengenal usia pak. Teruskan perjuangan ini.

D'Rimba berkata...

Saya juga ada cerita menarik amat hari ni. Saya dan sahabat bekerjasama juga abang saya menyiapkan satu borang penilaian dwibahasa Melayu dan Inggeris untuk program ekspo. Bahasa Melayu didahulukan dalam setiap patah perkataan baru diikuti Inggeris di bawahnya. Setelah diemelkan ke ahli jawatankuasa yang lain kebanyakan Melayu mentah-mentah menolak dan memadam bahasa Melayu dalam borang tersebut. Ternyata jatidiri muda mudi anak bangsa makin menipis dan tersihir dengan walang Barat yang kian menyusup masuk ke dalam hati anak bangsa. Jika kita sendiri tidak menghormati bahasa sendiri, janganlah mengharap bangsa lain akan menghormati kita sepenuh hati.

Apong berkata...

Uncle...Haziq nak jugak jadi penulis...hahaha

teratai berkata...

Sdra Shamsudin
Saya tak tau pun ada orang Tangkak yang menjadi penulis seperti saudara sampai saya terjumpa blog ini. Tahniah kerana menjadi penulis Johor n mengajar pula. Saya juga anak Tangkak yang bersekolah di SK(P) Bandar Tangkak n SMTM, tapi tidaklah boleh dikatakan penulis. Lihat tulisan saya di Dewan Sastera April 09 pg 54-55 psl Arena Wati.

Melihat Kesunyataan berkata...

Selamat bersidang di PPMM..semoga dapat menyuntik semangat.

Sham al-Johori berkata...

Teratai,
Saya bukan penulis tetapi penconteng mimpi. Saya si miskin yang mencari bekalan untuk pulang ke tanah nurani.

Mudah-mudahan saya boleh bertemu dgn saudara, seorang penulis hebat tanah air suatu hari nanti.

Terima kasih atas kunjungan.