Selasa, 24 Mac 2009

SATU, BERSATU DAN MENYATU



MATANGKAH KEDUA-DUA PARTI INI JIKA INGIN BERSATU? Di bawah agenda dan kepimpinan apakah penyatuan ini perlu dilakukan? Teras dan ciri-ciri apakah yang perlu menjadi panduan atau pegangan mereka?

Inilah yang perlu difikirkan pada saat MELAYU berada di dalam kekeliruan yang nanar. Pucuk pangkal perjuangan dan pengorbanan Melayu hari ini perlu kembali kepada nilai sepunya yang berjati diri dan berakal budi Melayu. Nah, sejauh mana gagasan ini difahami secara mutlak oleh kedua-dua parti yang ingin menyatu itu?

Hujung minggu lepas, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) telah meluluskan 10 resolusi dalam perhimpunan dan persidangan kemuncak Pribumi Negara yang berlangsung di ibu negara. Salah satu resolusi itu ialah penobatan semula Bahasa Melayu sebagai senjata utama dalam hubungannya dengan globalisasi. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini dan apa yang telah dirasmikan ialah 'Bahasa Malaysia'. Adakah Bahasa Melayu di Malaysia sejak 2006?

Perkasa juga tidak peka dalam hal-hal seperti ini. Akhirnya, perjuangan bahasa itu hanya tinggal impian kosong.

Orang-orang seperti Dato Ron sepatutnya menyedari hal ini. Agenda bahasa telah lama dibunuh oleh kerajaan di bawah kepimpinan dan tanggungjawab umno. Oleh itu, wajarkah PAS yang ingin mendaulatkan bahasa itu boleh duduk semeja atau sebendera jika prinsip-prinsip asas perjuangan tidak mempunyai arah tuju dan masa depan yang sama? Ini baru melibatkan hal-hal bahasa, belum lagi dalam hal kesyumulan Islam.

Bercakap tentang kesyumulan Islam pula, seusia saya 40-an ini, saya belum pernah melihat mana-mana tokoh politik umno yang menjadi imam di surau mahupun di masjid apatah lagi berkhutubah atau mengimamkan solat Jumaat. Jika adapun mungkin Pak Lah atau segelintir tokoh yang bukan tokoh utama macam Najib, Mahyuddin, Hishamuddin, Khairy, Mat Taib, atau lain-lainnya. Berbanding dengan tokoh PAS yang punya penampilan 'imam' dan 'pendakwah' itu. Saya melihat meskipun tokoh PAS tidak sepenuhnya syumul-Islam tetapi itu adalah lebih baik daripada tokoh umno yang langsung takut dengan tanggungjawab 'iman' atau 'pendakwah'. Maknanya, Melayu-Islam umno hanya layak bergelar pada Kad Pengenalan (kini Mykad) sahaja. Ini hanya fikiran dan pandangan umum saya.

Mulai hari ini (24 Mac 2009), umno akan mengadakan perhimpunan pilihanraya-dwitahunannya. Banyak cerita yang kita dengar dan baca tentang kemelut parti ini. Rasuah kian bermaharajalela dan tidak terbendung. Cantas-mencatas kian subur. Hasad-dengki tidak boleh dibunuh. Tuduh-menuduh dan menuding jari terus mengakar tunjang. Nah, mungkin ini hanya segelintir kemelut yang terbongkar. Kemelut dalaman yang hanya disedari oleh Lembaga Disiplin umno, PDRM dan SPRM masih tersembunyi dan mungkin akan terus dimusnahkan.

Saya teringat ketika saya bersama-sama seorang penulis yang juga kolomunis sebuah akhbar tabliot suatu waktu dahulu. Kami duduk bercerita tentang Samsiah Fakir. Kami akhirnya mengetahui cerita di balik cerita dengan bukti yang amat kukuh. Bayangkan, seorang serikandi negara akhirnya meninggalkan kita dengan cara dihina oleh tanggapan sejarah yang diputarbelitkan oleh umno. Inilah yang mendasari mentaliti titik-bengek umno.

Berbalik kepada hasrat penyatuan dua parti utama Melayu ini yang suatu waktu dahulu pernah bersatu dan berkerjasama. Jika Musyidul Am PAS iaitu Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pernah merasai kekecewaan dalam pengalaman itu, bagaimana pula dengan pengalaman Pak Lah yang mewakili umno? Adakah umno bahagia dengan pengalaman ketika bersatu itu?

Membaca tulisan-tulisan sejarahawan negara sebelum ini, seakan-akan memberikan jawapan siapa yang betul dan siapa yang salah. Perjuangan politik adalah tanggungjawab ikhlas bukannya kerana peribadi atau sesuatu niat jahat. Oleh itu, saya melihat sama ada hasrat untuk SATU, BERSATU dan MENYATU itu dilakukan; beberapa perkara perlu diambil kira.

Melayu hari ini seperti telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh jatuh dan ditewaskan oleh anasir luar. Melayu yang cerdik pandai dipasung fikirannya. Melayu yang berkudrat perjuangan dibunuh langkah persilatannya. Melayu yang bijak bermantera seloka dipotong lidahnya. Yang tinggal hanya Melayu yang pandai bertopeng-topengan.

Melayu hari ini tidak pernah belajar daripada sejarah. Mereka hanya menjadi seorang pembaca sejarah yang tidak pernah mengambil ikhtibar daripada sebuah tamadun bangsa Melayu yang hebat.

Saya mencari Melayu yang dulu seperi mana yang saya temui di dalam kitab Thabit al-Muktadin, Tuhfat Al-Nafis mahupun Butan al-Salatin.

3 ulasan:

SATIRA + KACAU berkata...

Salam Sdr SO: Kalau kita susuri, banyak lagi nama dan tokoh berjasa Melayu diburamkan oleh mereka. Dengan dan demi kepentingan kuasa peribadi.

Sebenarnya, pedulikah mereka nasib dan masa depan bangsa serta bahasa?

Mohon maaf kalau saya agak kasar bertanya.

Satira + Kacau

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,

Boleh BERSATU dan MENYATU! tetapi parti terbesar orang Melayu itu harus buang jauh-jauh sikap ego, riak, sombong, takbur, khianat, berkepentingan diri sendiri dan zalim terhadap orang Melayu yang berada di luar parti itu. Jika masih bersikap dan bertindak sebegitu... makanya parti terbesar orang Melayu ini akan hilang terus...!

D'Rimba berkata...

Hebat pandangan cikgu, itulah yang kita perlu cari dalam pemimpin itu sendiri. Perkara asas dan utama adalah amalan agamanya kukuh dan kental jelas difahami sepenuh hati. itulah kunci kejayaan untuk kita memacu acuan tersendiri berteraskan Islam sejati. Usahlah terpesona dengan acuan barat sana sini kelak kita yang lenyap nanti cakap Melayu pun ala-ala Inggeris muda mudi sekarang ni campur aduk bahasa kelas lagi.