Ahad, 6 September 2009

MENCARI DIRI ii


SEHARIAN menyudahkan bacaan buku "Priayi Abangan" karya Sapardi Djoko Damono (Benteng: 2000) seakan membawa saya ke tanah leluhur gemulah kakek yang kali terakhir dapat saya kesani berada di Cipayung, Bogor. Saya pernahbertanya kepada Sapardi ketika mengikuti program MASTERA di Bogor pada tahun 2000. Sapardi menjelaskan bahawa Cipayung adalah tanah pesanteren atau tanah priyayi. Di situlah berhimpunnya para cendekiwan Islam suatu waktu dahulu. Itu cerita yang keluar daripada mulut Sapardi sendiri.

Dua hari lepas sewaktu mengemas buku yang mula diserang anai-anai, saya terjumpa kembali buku yang siap bertanda tangan pengarangnya. Saya yang sedang muntah dengan kerja-kerja PhD mengambil keputusan membaca buku ini hingga tamat ketika para priyayi sedang sibuk untuk khatam al-Quran dalam ramadan ini.

Saya sepeti masuk ke dalam dunia kejawen, dunia keraton, dunia jawa-klasik yang bertembung dengan sastera jawa-baru seterusnya mengakar sastera Indonesia umumnya. Menariknya buku ini ialah pada kajian yang cuba menemukan saya dengan pemikiran Pramodeya di dalam novelnya "Gadis Pantai". Apa-apapun saya cuba melihatnya dengan satu perkaitan lain iaitu, siapakah saya ini sebenarnya? Benarkah gemulah saya membawa diri ke Tanah Melayu kerana tidak mahu bersekongkol dengan kakeknya yang menyebelahi orang Belanda. Pergolakan dalaman antara adik-beradik gemulah saya itu menyebabkan kakek saya yang bergelar Salleh dan abangnya Abd Rohim itu memilih haluan sendiri.

Saya mencari galur dan susur cerita mengapa kakek saya membawa diri ke Tanah Melayu. Dahulu ada seorang bapa saudara saya tahu kisah-kisah itu dan sering bercerita kepada ayah saya. Tetapi kerana saya masih anak-anak dan gila main meriam buluh (pada malam ramadan) maka saya tidak begitu kisah dengan cerita sejarah lelulur itu.

Hari ini, terasa penting dalam usaha saya mengenali diri saya sendiri. Kesulitan menggali akar darah dan tanah gemulah itu seperti datang dan pergi bagai mimpi.

Hari raya bakal menjelang tidak lama lagi. Pulang ke kampung dengan acara "ngapora sedulur" (acara bermaafan dalam keluarga) adalah sesuatu yang dinanti-nantikan. Saat itu, saya dapat mendengar bagaimana emak dan bapa saudara bercakap bahasa 'Jawa halus' yang penuh tertib dan peraturan. Saya yang berstatus cicit terpaksa menunggu masa lama menanti giliran untuk bermaafan dengan satu-satunya embah bertaraf kiyai. Tahun lepas, selepas bersalaman dengan embah, dia memeggang ubun-ubun kepala saya sambil menyepuh doa. Saya tidak dapat menangkap sepenuhnya doa yang dilafazkan kerana bahasa Jawa halus itu tadi. Pernah saya bertanya kepada ayah saya, jawapan yang diberikan oleh ayah saya ialah, "kau kena baca kitab kawi kuning (judulnya seingat saya "Serat Upa Darja" hasil Mangkunagara IV). Kitab kuning ini adalah sebuah bacaan wajib para priyayi yang berkisah tentang almanak primbon, buku kebatinan, budi pekerti serta peraturan agama dan adat.

Begitulah dua hari suntuk saya menghabiskan masa membaca diri sendiri yang hilang di dalam sejarah keluarga priyayi. Saya akui, saya kini sudah jauh terpesong daripada tradisi dan falsafah priyayi ini.

Bila saya ingat-ingatkan semula, sekarang baru saya faham kenapa setiap kali bermulanya malam 20 ramadan, kiyai Salleh akan menyuruh kami mencari kelapa kering dan dijadikan bantal untuk tidur malamnya. Di dalam buku "Priayi Abangan" ini dijelaskan, para priyayi setiap malam ramadan bermula 20 ramadan akan tidur berbantalkan kelapa kering kerana setiap kali kepala bergolek mereka akan terjaga dan terus bersolat sunat. Amalan mereka setiap malam adalah tahajud, tasbih dan taubat.

Masya-Allah, saya sudah terlalu jauh berjalan tetapi sesat di dalam roh gemulah dan leluhur priyayi. Hamparan dosa-dosa seperti sebuah filem yang berputar dalam ingatan.

Pagi tadi saya menghubungi ayah saya di kampung. Saya berkisah tentang buku yang saya baca kepadanya. Mungkin dia tersenyum mendengar cerita saya atau juga mungkin dia seperti saya yang sedang merindui dunia priyayi yang telah hilang di dalam keluarganya. Ayah tak banyak berkata, cuma sebelum meletakkan telefon, katanya, "ojo lali gowo balik kitab neh (jangan lupa bawa balik bukunya)."

MENCARI DIRI ii

Malam membuka dadanya
aku selak setiap helaian
mencari bulan dan bintang
tetapi
kutemui matahari
lalu membakar wajahku.

Mujur,
sepincing angin dari salam Illahi
mulus dan damai
berbisik kepadaku
siramilah tanah leluluhmu yang tandus
kirimilah bekalan utusan mukjizat
untuk kau kenal hakikat dan makrifat.

Merenung insaf diri
aku hilang
di dalam bayang-bayang
bulan dan bintang
yang bergemerlapan di langit Tuhan.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori
Kuala Lumpur.

15 Ramadan 1430H.

Syukur juga sebab saya mula sedar diri dan perlu meneruskan pencarian diri. Terima kasih Ya Allah.

6 ulasan:

u-wartawan berkata...

kau sesat sbb darah jawa dicemari darah mamak.jgn marah, nanti batal posa...heheeee

Tanpa Nama berkata...

sdra Shamsudin...tolong betulkan istilah dalam rencana saudara..ada tersilap tulis tu..."kepala kering..." mungkin sdra nak kata "kelapa kering" tu...lain maknanya bila tidak dibetulkan. Sebab bila tidur atas kelapa kering cepat terbangun, boleh beribadat lagi, tak sempat nak tidur lama-lama...nanti kepala kering mana yang nak dicari nanti...mau parang panjang berjalan...

saleeh rahamad berkata...

haji sham kalau tidur atas kelapa kering pun tak sedar apa-apa. orang tinggalkan kat bilik dia nyenyak mimpi. tapi nasury lagilah pulak, apatah lagi kalau digandingkan dengan nazmi. orkestra dalam mimpi.

Sham al-Johori berkata...

Pak Dosen,
itu tandanya suci lagi menyucikan.

S.M. Zakir berkata...

Pak, itu 'ngapora sedulur' jangan disebut nanti indon-indon gampang demo mau perang kata Malaysia ciplak budaya gampangnya lagi...

ainunl.muaiyanah berkata...

cikgu din , saya sudah sudah membaca Gadis Pantai. Apabila membaca entri ini dan melihat ada kesinambungan dan pemikiran yang sama. Terasa mahumembaca buku Sapardi itu.

Entri ini mengingatkan diri saya yang lupa diri juga dan semakin jauh dari budaya Jawa yang mengalir dalam darah saya