Khamis, 1 April 2010

SELEPAS BENGKEL 'PROSES KREATIF' DI UKM

KETIKA di UKM semalam, saya bercerita tentang proses kreatif saya atas tajuk "Catatan 'Dosa' Seorang Pengutip Cinta dan Rindu Ilahi". Di depan sekitar 20 orang audien, saya mengenang kembali perjalanan saya sebagai seorang pencatat kata-kata yang bermula tahun 1986. Maknanya kini usia saya sebagai seorang penulis ialah 24 tahun. Tentunya banyak yang saya lalui untuk mengenali diri sendiri sebagai seorang penulis. Mungkin secara kebetulan, tajuk yang saya cipta secara 'main-main' pada awalnya itu adalah satu kebenaran yang terungkap daripada pengakuan itu.

Kepada Dr. Mawar Shafie, terima kasih banyak-banyak atas kesudian mengundang saya untuk membuat pengakuan itu. Itu semua adalah catatan orang berdosa kerana tidak pernah memahami konsep dwifungsi kejadian manusia iaitu pertama 'khalifah' dan keduanya 'pendakwah'. Terima kasih sekali lagi sebab menghulurkan buah tangan paling berharga bertajuk "Novel Intertekstual Melayu".

Dalam perjalanan pulang, saya terfikir, "berdosakah aku bergelar penyair?" Saya turunkan juga sebuah sajak yang menjadi penghabisan ayat dalam makalah yang saya tulis itu. Maaf kerana sajak ini tidak berjudul.

Jika telah kau padam namaku

dari akal fikir dan kalbumu

padamkan ia dengan lentera imani

abunya kau taburkan ke laut

supaya boleh menyusur arus gelombang.

Jika kau ikhlas memadam namaku

dari hati nuranimu

itu tandanya

semua akan berakhir

dan aku sudah dimiliki

oleh yang MahaAbadi

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.

1 ulasan:

Norziati Mohd Rosman berkata...

Sedikit terkejut mendengar perkataan 'syirik'. Bahaya juga jika pemilihan diksi disalah tafsir. Lama juga saya memikirkannya, khuatir jika terjadi perkara serupa pada diri.

Terima kasih diatas perkongsian. Sangat-sangat saya hargai