Isnin, 2 Ogos 2010

HARI PAHLAWAN DAN HARI LAHIR

Buat pertama kalinya sambutan Hari Pahlawan tahun ini, tidak ada acara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara. Pujian kebawah DYMM Tuanku Mizan, kerana memahami konsep kurafat terhadap penghormatan kepada patung.. DAULAT TUANKU (3X). Semoga Allah berkati pemerintahaan Tuanku.

ii
Tarikh sambutan Hari Pahlawan juga merupakan tarikh yang sama dengan hari lahir saya. Oleh itu, secara tidak langsung, saya turut tersenarai sebagai insan terpilih yang diraikan setiap tahun sebagai mengingati pahlawan negara. Saya berdoa supaya saya tidak mati di hujung senjata api atau hujung senjata berbisa. Biarlah saya mati kerana bisanya pena atau kalam Tuhan.

Bercerita tentang ulang tahun kelahiran adalah sesuatu yang kadang-kadang menakutkan. Usia yang beranjak ke tua sedangkan bekalan amal dan iman masih sedikit juga rapuh. Merenung ke dalam diri, bermuhasabah pada malam tanggal kelahiran benar-benar menginsafkan. Sudahkan saya bersedia untuk berhadapan dengan detik kematian yang pasti? Inilah persoalan yang bersarang dalam benak.

SAJAK KEPADA HARI LAHIRKU

Kepada hari kelahiran
setiap tahun aku kauraikan
tanpa mengutus pesan
atau ingatan kalam Tuhan.

Di hujung cinta-Mu
aku mencari bekas
harum yang aku tinggalkan
kenangan yang aku ukirkan
seperti al-Ghazali meninggalkan Ihya Ulumuddin
juga Iqbal meninggalkan Asrari Khudi
atau Rumi meninggalkan rubaiyat cinta
tetapi aku hanya meninggalkan taman percakapan
dan tanah nurani yang kering di pertimbangan waktu.

Selamat ulang tahun Shamsudin,
segenggam padi di tanganmu taburkan ke bendang
suatu hari ia akan menguning, dan
fahamilah sifat azali
rukuk setangkai padi.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

2 ulasan:

azieazah berkata...

Salam.

Selamat Ulangtahun Kelahiran. Moga terus sejahtera berbahagia.

*Kita tidak pernah bertegur sapa, tapi sekali sekala bertembung di Rumah PENA.

Cuma Ahad lalu, tertembung Saudara bsersama keluarga singgah Mencendol di Leman Dawi, tak sempat nak tegur, sudah pergi..

NASSURY IBRAHIM berkata...

Mati ketika menulis pun tak elok juga. Biar mati ketika solat.