Selasa, 31 Mac 2009

MEMBACA HAQA'IQ TASAWUF

PERTAMANYA saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Rahimidin Zahari atas ikhsannya memberikan saya tiga buah buku sebagai buah tangan dari Kelantan. Buku Haqa'iq Tasawuf Jilid I dan II karya Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah serta kitab bertajuk Usuluddin tulisan Mohammad Mokhtar selamat saya tatap sebagai bacaan pertama malam tadi. Saya menekuni ketiga-tiga kitab ini sebab sekarang ini saya amat memerlukan pengisian rohani yang kian kosong akibat daripada selalu marah-marahkan umno. Keduanya, bahan bacaan ini sedikit sebanyak dapat membantu penulisan PhD saya yang sedang merangkak-rangkak ini.

Kitab Haqa'iq Tasawuf lebih banyak berkisar hal-hal mujahadah dan penyucian jiwa. Membacanya seakan dapat membimbing saya ke arah mengimarahkan zahir dan batin. Sesekali terasa bekalan ke negeri abadi amat kurang dan sedikit hingga tidak mencukupi. Syukurlah kerana kitab-kitab tua yang sukar dimiliki ini mampu memberikan peringatan kepada saya.


Percakapan kepada Diriku

Apakah maknanya segugus rindu yang mekar di kalbu
jika sekawan merpati tak bisa menghisap madunya?

Antara khutbah jumaat yang silih berganti
aku menagih penawar sakti dari cinta-Mu.

Seusia menjejak imani diri yang merungkai sepi
ada pedih berpanjangan yang tak berbebat maaf.

Semuanya adalah azali yang datang dan pergi
jauh meninggalkan aku dalam tasawuf dan sufi.

Shamsudin Othman
Madrasah sham al-Johori

Ahad, 29 Mac 2009

SANTAI DI PAGI MINGGU


I
Semalam, sepetang itu saya bermesyuarat di rumah PENA bersama-sama SM Zakir, Amiruddin, Lutfi, Ariff, Ijamala, Nazmi dan Wan Zaidah. Mesyuarat kami berkisar tentang Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (PPMM) yang bakal di adakan di Melaka pada 17-19 April 2009 ini. Hanya dengan beberapa kudrat dan kederat itu, kami mengambil keputusan untuk mengadakan PPMM ini secara bersederhana kerana masalah kewangan yang kurang mengizinkan.

Begitupun dengan usaha dan sumbangan idea rakan-rakan, insya-Allah PPMM ini akan berjaya mencetuskan gagasan dan impak yang diharapkan. Oleh itu, kepada penulis-penulis muda Malaysia yang berusia 40 tahun dan ke bawah, diharapkan dapat sudi hadir untuk menyatakan sokongan dan bermuzakarah dalam majlis ilmu sastera itu.

Saya yang telah menjangkau usia awal 40-an ini hanya bertindak sebagai penganjur sahaja. Andalah penulis muda yang perlu menjadi pengisi ruang kemudian memanfaatkannya.

Saya melihat daripada kaca mata luar bahawa penulis muda Malaysia hari ini kurang bersosialisasi dengan masyarakat. Maksud saya, penulis muda hari ini terlalu meletakkan eletis karya hingga tidak sanggup berkongsi idea dengan persatuan mahupun berbicara secara santai dengan teman-teman. Ini mungkin budaya baharu penulis muda Malaysia yang sebahagian besarnya terdiri daripada mahasiswa dan sedikit berkedudukan.

Persoalan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana hal yang sama pernah dilalui oleh kami (penulis-penulis veteren). Penulis-penulis atau sasterawan dahulu merupakan golongan elit yang berkhidmat sebagai guru, wartawan, peniaga, seniman, sarjana dan lain-lainnnya. Persoalannya, kenapa sasterawan itu punya masa untuk bersosialisasi dan bersantai sastera? Kesibukan dengan rutin bukan alasan kerana Allah memberikan kita akal untuk membahagikan-bahagikan masa. Hari ini, kesuaraman aktiviti sastera menjadi satu ketakutan yang membimbangkan. Di mana-mana majlis sastera hari ini kurang dihadiri oleh orang sastera apatah lagi penulis muda yang merasakan kehebatan mereka akan tercemar sekirannya pengalaman mereka perlu dikongsikan dengan masyarakat.

Saya yang sentiasa ditemani Rahimidin Zahari, SM Zakir dan beberapa nama kelompok penulis muda yang hakikatnya sedang menuju tua itu sering merasai kerisauan itu. Antara kami sering geger dengan sikap sesetengah penulis muda yang berprinsip demikian.

Mudah-mudahan dengan kehadiran PPMM ini (setelah lama tidak diadakan) akan dapat menyuburkan kembali stamina PPMM. Kesudian DBP, ASWARA, MAJLIS BANDARAYA MELAKA dan PENA berkerjasama menjayakan PPMM ini hanya Allah juga yang dapat membalasnya.

Saya mewakili rakan-rakan AJK PENA (penulis veteren) mengharapkan di tangan penulis muda inilah masa depan dan hala tuju sastera Malaysia berkembang secara sihat. Nafas dan kehidupan saya tidak tentu awal akhirnya. Seusia bergelumang dalam dunia sastera ini, saya kira mungkin sudah cukup bagi saya menyumbangkan puisi, cerpen dan esei yang tidak seberapanya itu. Saya sentiasa sedar kedudukan saya jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang jauh lebih hebat daripada saya. Oleh itu, dalam sia-sia usia menuju tua ini, saya sekadar berupaya menyelesaikan impian-impian yang mungkin tidak tercapai.

Kepada penulis-penulis muda Malaysia, berikanlah kerjasama yang sebaiknya untuk menjadi pengisi kepada warisan bangsa khususnya sastera Melayu. Bangkitalah daripada keterhinaan PPSMI dan nasib bahasa Melayu yang kian terpinggir oleh kemunafikan pemimpin umno. Di tangan dan daripada buah fikir andalah nasib bahasa dan sastera Melayu itu ditentutkan. Hanya andalah yang dapat memartabadkan semua kedaulatan sastera Melayu.

ii
Mujurlah cerpen Zaen Kasturi dan esei Lutfi tersiar di dalam Minggunan Malaysia hari ini. Jika tidak, muak dam loyo apalagi yang ingin saya jelasakan kerana sebagaian besar halaman akhbar itu membicarakan kisah umno. Malah akhbar itu seakan-akan dipenuhi warna darah (merah) seperti berita keganasan zionis menyerang Gaza. Rata-rata halaman diwarnakan dengan warna itu, hingga mata saya berpinar dan berkunang-kunang. Berita penentangan PPSMI daripada seorang YB hanya berada di ruang kiri dan bawah yang membawa petanda bahawa nasib bahasa Melayu akan terus dipinggirkan.

Bercakap tentang umno, jika ketia Pak Lah mengambil teraju negara, slogan Pak Lah ialah, 'Kerja bersama-sama saya'. Dan semalam, ketika Najib memulakan secara rasmi tugasnya sebagai presiden umno, dia berkata, 'jika kita tidak berubah, kita akan diubah. Jika kita tidak berubah, kita akan rebah.'

Lihatlah dua slogan yang jauh berbeza. Satu slogan yang berakal budi dan satu lagi slogan yang dipenuhi dengan semantik ego dan kerakusan. Slogan seperti ini merupakan wawasan yang menjadi benteng cara berfikir dan berkerja. Bayangkan, jika slogan yang menjurus kepada maksud takut untuk rebah itu difikirkan dengan konotasi yang lain. Oleh itu, bagi mengelakkan terus rebah makanya prinsip matlamat menghalakkan cara merupakan strategi cara berkerja yang paling baik.

Saya seperti mula terasa bahang yang bakal mengelilingi hidup saya.

Hujung minggu ini saya mula mencaturkan masa untuk memenuhi impian saya menonton F1. Inilah satu-satunya hobi saya yang sukar dibendung. Saya bukan peminat MU atau Liverpool tetapi saya peminat setia sukan permotoran F1.

Selamat menikmati Grand Prix Australia. Dan tiba-tiba saya teringatkan puisi ini yang sempat saya karangkan ketika berada di Melbourne lima tahun lalu.

Albert Park,
tasikmu yang membiru
saat salju menggigit tubuhku
masihkah kau ingat
aku berlari di dadamu
sambil mengejar
sisa-sisa maghrib
untuk mencari waktu
menemui Tuhan yang satu.

Jumaat, 27 Mac 2009

SIAPAKAH PETUALANG DI DALAM UMNO DAN PPSMI


GEMPAR dan menarik sekali siasah Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Gempar kerana banyak keputusan yang berpihak kepada muka baharu. Sudah tentu, dengan harapan yang maha tinggi (baca: bukan setanding kudrat Allah) ini, mereka berusaha keluar daripada kebejatan yang tercipta sekian lama.

Tahniah kepada umno dan takziah kepada yang gagal mengekalkan kuasa termasuk kepada Pak Lah yang terpaksa menyerahkan kuasa (baca: buka atas kerelaan). Senario baharu ini adalah bayangan-bayangan kemungkinan nasib walang akan berterusan. Kenapa aku bercakap demikian? Hal ini kerana, malam tadi seorang teman yang berjaya memenangi kerusi dalam pertandingan semalam yang juga pernah aku ceritakan dulu menghubungi aku melalui setiausahanya. Pertanyaan setiausaha itu mudah dan ringkas dan boleh dijawab serta merta tanpa memerlukan masa untuk berfikir. Tanya setiausaha rakan aku itu begini;

"Boss saya tanya sekali lagi, nak atau tidak? Dia dah menang."

Bukankah jawapannya amat mudah iaitu semudah mengatakan ya atau tidak. Tetapi aku tetap memerlukan masa yang amat panjang dan hingga waktu ini aku masih belum memberikan jawapan ya atau tidak itu.

Pagi tadi, selepas jam 9 ada sms masuk ke dalam talian telefon bimbit. Dengan nombor dan nama yang aku benar-benar pasti dan kenali itu, segera aku baca pesanannya. Dia menulis begini;

Kebijaksanaan kau tu, jangan dibodohkan oleh petualang bangsa dan negara. Sayang, aku lihat kau ni dah macam memikul biawak hidup. Aku bukan apa, hanya umno aja yang boleh membela nasib bangsa dan agama.

Aku tanpa berfikir panjang, membalasnya dengan frasa yang pendek sahaja.

Macam mana dengan nasib bahasa Melayu dan apa pertaruhan PPSMI?


SMS aku dibalas segera; nasib bangsa termasuk bahasa. Aku janji untuk perbetulkannya.

Wah, janji yang menarik semanis menanam tebu di tepi bibir. Aku tidak membalas sms rakan aku itu hingga sekarang kerana aku teringatkan janjinya kepada orang kampung aku yang masih tidak ditunaikan. Pernah dia berjanji untuk menaiktarafkan surau di kampung aku; tetapi hingga kini surau di kampung aku masih macam dahulu. Sama dengan pembinaan hasil titik peluh orang kampung dan derma ikhlas daripada orang ramai termasuk PAS pusat. Janji itu sudah ditaburkan lebih kurang tujuh tahun lalu. Aku terkenangkan wajah ayah yang beriya-iya meminta aku dan adik-beradik berpakat untuk menyumbangkan pembesar suara sempena sambutan ramadhan lima tahun lalu.

Itulah janji politik umno yang berlaku di kampung aku, di selatan tanah air tempat lahirnya umno dan negeri yang paling ramai melahirkan pemimpin umno termasuk pelaknat bahasa iaitu ketua pemudanya yang kini berjaya merangkul kedudukan lebih tinggi dalam MT.

Berbalik kepada petualang di dalam umno. Kenapa mereka menjerit di dalam dewan yang mewah itu bahawa 'petualang itu' adalah orang luar daripada umno? Aku sedar siapa yang mereka maksudkan iaitu wirawan AI. Baiklah, jika dia petualang umno, apa susah-susah sangat. Dia seorang dan keahlian umno mencecah 2 juta orang. Tak kanlah 2 juta orang tak boleh menangkis serangan seorang manusia biasa yang tidak punya kuasa dan kedudukan?

Kesempitan fikiran dan takut dengan bayang-bayang merupakan petualang di dalam diri sendiri yang membusung di dalam umno. Aku bukan menyokong wirawan itu tetapi aku melihat dengan mata seni aku bahawa umno masih takutkan igauan masa lalu. Penyakit dan kesakitan yang bernanah di dalam umno masih belum mampu disembuhkan. Dan penyait yang paling teruk ialah melihat kesalahan dan kelemahan orang lain.

Jika umno tidak lemah atau tidak berpenyakit, kenapa mereka nanar teruk sejak dua menjak ini? Kenapa rakyat kian loya dan mabuk melihat umno? Adakah jawapan itu ada dan perlu dicari daripada kelemahan orang lain atau jawapan itu hanya boleh dijawab sendiri daripada sifat bermuhasabah diri.

UMNO pada hakikatnya berada di dalam kepompong 'liberalisme neokolonis'. Keterikatan dan kesuburan fahaman inilah menyebabkan mereka tidak berani keluar daripada 'kemewahan zon selesa'. Prinsip 'elit-mandor-tuan-boss' kian menjadi-jadi hingga bayangan fitnah terhadap lelocong 'nak kaya masuk umno' tidak boleh lari daripada jolokan itu.

Aku tidak mahu berhujah panjang kerana waktu dan rutin yang mendesak. Apa yang perlu difikirkan ialah bagaimana di tangan MT umno yang baharu ini, mereka dapat mengembalikan maruah bangsa dan bahasa Melayu yang sekan-akan terhakis. Mungkin terlalu awal untuk membuat andaian juga tebakan. Tetapi, jika aku menanti terlalu lama, makanya kian lama jugalah keputusan perlu diambil untuk menyelesaikan kemelut PPSMI.

PPSMI bukan agenda mengubah mentaliti atau kepandaian orang Melayu; tetapi agenda yang tersirat untuk melenyapkan prinsip kepercayaan dan kekuatan sebuah tamadun bangsa Melayu setanding dengan kuasa Barat.

Selamat bersara secara terpaksa Pak Lah dan selamat menaiki podium umno, Najib. Moga sang ratu akan tersenyum seperti penguin mendapat salji. Aku akan setia menantikan kemelut PPSMI berakhir dengan senyuman dan telah bersedia juga dengan tanggisan.

Selamat bersidang warga dewan dan selamat kembali ke dewan pemikiran penjajah.

Rabu, 25 Mac 2009

GERAK DI MANAKAH DIKAU?




GERAK adalah akronim kepada Gerakan Anti-Korupsi, atau dalam bahasa ibunda kita disebut gerakan menentang rasuah. Gerak ditubuhkan oleh sdr Ezam dan kemudiannya diserahkan kepada anak didiknya iaitu Mohd Nazree. Komitment persatuan ini tidak boleh dinafikan hebatnya kerana dikatakan mempunyai hubungan yang amat rapat dengan SPRM (suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Oleh sebab keintiman dan keakraban itu, makanya setiap gerak-geri ahli-ahli politik negara tidak kira kerajaan mahupun pembangkang dapat diduga lakonan mereka.

Kerana hebatnya Gerak makan Khalid Ibrahim (MB Selangor diseret ke mahkamah), malah ramai lagi yang bakal diadili ke mahkamah keadilan. Itulah gambaran kehebatan Gerak.

Persoalannya di manakah Gerak saat Ali Rustam, Khairi, atau yang lain-lain dalam umno yang telah disahkan sabit dalam kesalahan rasuah itu? Ke mana menghilangnya Gerak? Adakah Gerak telah dibatalkan pendaftarannya oleh ROS (Pejabat Pertubuhan Pendaftar)? Adakah Gerak telah kehilangan taring atau Gerak telah diadili dalam mahkamahnya sendiri?

Saya bertanya kepada diri saya sendiri; adilkah gerakan persatuan ini yang bertindak memilih bulu dan sekufu? Saya tidak marah jika pertubuhan ini berlaku adil kepada semua pihak.

Nah, di manakah Gerak ketika umno sedang rancak melobi pemimpin dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini? Jika Khalid Ibrahim dijatuhkan hukuman rasuah kerana memberikan lembu korban untuk 46 buah masjid; bagaimana dengan pemimpin umno yang mengadakan jamuan makan malam bagi meraikan ahli-ahlinya dengan nilai hampir jutaan itu?

Fuhh, kaya dan banyaknya duit umno dalam usaha meraikan ahlinya. Berapakah agaknya duit umno hari ini dalam usianya 54 tahun dengan ahli yang mencecah 10 juta orang itu? Bayangkan jika RM10 X 10 000 000. Makanya jawapan itu ialah RM100 000 000 dan dikali pula dengan 54 (tahun). Ya Allah, kayanya umno.

Soalnya siapa yang kaya raya hari ini? Penyokong umno tegar macam ayah dan ibu saya di kampung masih hidup dalam keadaan yang sederhana; tetapi rumah wakil rakyat tempat saya yang memerintah atas tiket umno, masya-Allah; rumahnya seperti mahligai, keretanya mewah dan besar hingga boleh masuk kambing sekandang, halaman rumahnya luas macam sebuah taman inderaloka. Kami, orang kampung takut melintas atau berkunjung ke rumahnya kerana takut dituduh pencuri atau peminta sedekah.

Pernah pada suatu hari, saya cuba menghubungi rakan yang punya kenalan baik dalam Gerak untuk melawat dan berkunjung ke rumah wakil rakyat kampung saya itu. Dan jawapan yang telah saya duga sejak dari dulu, kini dan selama-lamanya ialah, "mereka kebal dan tiada kes. Buang masa sahaja melayan kerenah kau tu."

Saya tidak tersinggung mendengar jawapan kenalan saya itu kerana saya tahu bahawa sistem mahkamah di Malaysia ini unik dan isitimewa. Di Malaysia ini sebenarnya ada lima jenis mahkamah, iaitu;

i. mahkamah umno
ii. mahkamah syariah
iii. mahkamah sivil
iv. mahkamah adat istiadat
v. ISA

Tentunya daripada hairiki itu, mahkamah umnolah yang paling istimewa kerana mahkamah ini tiada di negara maju, negara dunia pertama, negara dunia kedua mahupun di negara dunia ketiga yang lain.

Oleh itu, mudah-mudahan Gerak dapat kembali kepada prinsip penubuhannya.

Selasa, 24 Mac 2009

SATU, BERSATU DAN MENYATU



MATANGKAH KEDUA-DUA PARTI INI JIKA INGIN BERSATU? Di bawah agenda dan kepimpinan apakah penyatuan ini perlu dilakukan? Teras dan ciri-ciri apakah yang perlu menjadi panduan atau pegangan mereka?

Inilah yang perlu difikirkan pada saat MELAYU berada di dalam kekeliruan yang nanar. Pucuk pangkal perjuangan dan pengorbanan Melayu hari ini perlu kembali kepada nilai sepunya yang berjati diri dan berakal budi Melayu. Nah, sejauh mana gagasan ini difahami secara mutlak oleh kedua-dua parti yang ingin menyatu itu?

Hujung minggu lepas, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) telah meluluskan 10 resolusi dalam perhimpunan dan persidangan kemuncak Pribumi Negara yang berlangsung di ibu negara. Salah satu resolusi itu ialah penobatan semula Bahasa Melayu sebagai senjata utama dalam hubungannya dengan globalisasi. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini dan apa yang telah dirasmikan ialah 'Bahasa Malaysia'. Adakah Bahasa Melayu di Malaysia sejak 2006?

Perkasa juga tidak peka dalam hal-hal seperti ini. Akhirnya, perjuangan bahasa itu hanya tinggal impian kosong.

Orang-orang seperti Dato Ron sepatutnya menyedari hal ini. Agenda bahasa telah lama dibunuh oleh kerajaan di bawah kepimpinan dan tanggungjawab umno. Oleh itu, wajarkah PAS yang ingin mendaulatkan bahasa itu boleh duduk semeja atau sebendera jika prinsip-prinsip asas perjuangan tidak mempunyai arah tuju dan masa depan yang sama? Ini baru melibatkan hal-hal bahasa, belum lagi dalam hal kesyumulan Islam.

Bercakap tentang kesyumulan Islam pula, seusia saya 40-an ini, saya belum pernah melihat mana-mana tokoh politik umno yang menjadi imam di surau mahupun di masjid apatah lagi berkhutubah atau mengimamkan solat Jumaat. Jika adapun mungkin Pak Lah atau segelintir tokoh yang bukan tokoh utama macam Najib, Mahyuddin, Hishamuddin, Khairy, Mat Taib, atau lain-lainnya. Berbanding dengan tokoh PAS yang punya penampilan 'imam' dan 'pendakwah' itu. Saya melihat meskipun tokoh PAS tidak sepenuhnya syumul-Islam tetapi itu adalah lebih baik daripada tokoh umno yang langsung takut dengan tanggungjawab 'iman' atau 'pendakwah'. Maknanya, Melayu-Islam umno hanya layak bergelar pada Kad Pengenalan (kini Mykad) sahaja. Ini hanya fikiran dan pandangan umum saya.

Mulai hari ini (24 Mac 2009), umno akan mengadakan perhimpunan pilihanraya-dwitahunannya. Banyak cerita yang kita dengar dan baca tentang kemelut parti ini. Rasuah kian bermaharajalela dan tidak terbendung. Cantas-mencatas kian subur. Hasad-dengki tidak boleh dibunuh. Tuduh-menuduh dan menuding jari terus mengakar tunjang. Nah, mungkin ini hanya segelintir kemelut yang terbongkar. Kemelut dalaman yang hanya disedari oleh Lembaga Disiplin umno, PDRM dan SPRM masih tersembunyi dan mungkin akan terus dimusnahkan.

Saya teringat ketika saya bersama-sama seorang penulis yang juga kolomunis sebuah akhbar tabliot suatu waktu dahulu. Kami duduk bercerita tentang Samsiah Fakir. Kami akhirnya mengetahui cerita di balik cerita dengan bukti yang amat kukuh. Bayangkan, seorang serikandi negara akhirnya meninggalkan kita dengan cara dihina oleh tanggapan sejarah yang diputarbelitkan oleh umno. Inilah yang mendasari mentaliti titik-bengek umno.

Berbalik kepada hasrat penyatuan dua parti utama Melayu ini yang suatu waktu dahulu pernah bersatu dan berkerjasama. Jika Musyidul Am PAS iaitu Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pernah merasai kekecewaan dalam pengalaman itu, bagaimana pula dengan pengalaman Pak Lah yang mewakili umno? Adakah umno bahagia dengan pengalaman ketika bersatu itu?

Membaca tulisan-tulisan sejarahawan negara sebelum ini, seakan-akan memberikan jawapan siapa yang betul dan siapa yang salah. Perjuangan politik adalah tanggungjawab ikhlas bukannya kerana peribadi atau sesuatu niat jahat. Oleh itu, saya melihat sama ada hasrat untuk SATU, BERSATU dan MENYATU itu dilakukan; beberapa perkara perlu diambil kira.

Melayu hari ini seperti telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh jatuh dan ditewaskan oleh anasir luar. Melayu yang cerdik pandai dipasung fikirannya. Melayu yang berkudrat perjuangan dibunuh langkah persilatannya. Melayu yang bijak bermantera seloka dipotong lidahnya. Yang tinggal hanya Melayu yang pandai bertopeng-topengan.

Melayu hari ini tidak pernah belajar daripada sejarah. Mereka hanya menjadi seorang pembaca sejarah yang tidak pernah mengambil ikhtibar daripada sebuah tamadun bangsa Melayu yang hebat.

Saya mencari Melayu yang dulu seperi mana yang saya temui di dalam kitab Thabit al-Muktadin, Tuhfat Al-Nafis mahupun Butan al-Salatin.