Selasa, 30 Jun 2009

DUA MESYUARAT YANG MENDESAK


Gambar: Di depan pintu masuk bangunan Hagia Sophia, Istanbul.

SEMALAM dan pagi tadi saya terlibat dalam dua mesyuarat yang saya kita penting untuk menentukan masa depan sastera Melayu.

Semalam di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) saya, Dato Baha Zain, En Saleeh Rahamad, S.M Zakir dan beberapa orang kuat ITNM termasuk pengerusinya En. Khir Ngadiron berbincang soal masa depan bidang terjemahan sastera Melayu ke BI mahupun bahasa-bahasa asing lain. Saya membaca pemikiran dan cara pengerusi ini berkerja. Dia laju berfikir dan menangkap situasi. Semua gerak-geri dapat difahami dengan murni. Dalam lawak dia membuat keputusan; dalam serius dia memberi cadangan. Begitulah En. Khir yang saya kenali. Sebelum ini, daripada cerita teman-teman dan melihat dirinya dari jauh, ada yang menyatakan dia tu serius. Tetapi setelah bermesyuarat seputar 2 jam 30 minit, dia seorang yang tulus dan berkarisma.

Saya akhirnya diminta untuk mengumpulkan sejumlah 25 puisi penulis muda Malaysia yang akan diterjemahkan ke BI. Puisi terjemahan ini perlu disiapkan segera untuk dilancarkan di Singapura pada 24 November 2009 sempena Festival Sastera Singapura.

Wah, ini tugas berat yang menuntut pemerhatian dan pengamatan saya. Saya berkira-kira di dalam hati bagaimana cara terbaik untuk memilih sejumlah penyair muda Malaysia yang boleh menggekalkan keunggulan puisi-puisi Melayu nusantara seperi mana tahun 70-an dan 80-an. Seperti yang kita sedia maklum period itu adaalah zaman terbaik penyair Malaysia mencipta nama dalam persada puisi nusantara. Saya terbayangkan nama-nama besar seperti Latif Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar, Mochtar Awang, T. Alias Taib, Suhaimi Hj Muhammad, Siti Zainon Ismail, Zaihasra dan lain-lainnya. Saya juga terbayangkan rakan-rakan sepenyair masa kini. Di manakah saya ketika ini? Sebariskah nama saya dengan mereka itu?

PAGI TADI, saya diundang oleh DBP untuk sama-sama hadir ke Dialog Bersama Ilmuan dan Karyawan. Program yang diadakah khas untuk menentukan hala tuju dan peranan DBP sebagai badan berwajib menjaga maruah bahasa dan sastera Melayu. Kehadiran yang menggalakkan itu dirancakkan dengan beberapa pandangan sarjana mahupun penulis. Pandangan Dato Hassan Ahmad, Dato Kemala, Prof Dr. A. Wahab Ali, Dr. Azizah, Dr. Noorfaridah Manaf, Dr. Hashim Ismail, En. Saleeh Rahamad, S.M. Zakir dan tidak lupa cikgu Awang Abdullah diharapkan dapat didengari dengan tulus ikhlas oleh warga DBP, khususnya KP yang baharu itu.

Sebenarnya daripada kedua-dua pertemuan itu, saya cuba membuat banding beza cara berfikir dua orang ketua itu, iaitu seorang mewakili ITNM dan seorang mewakili DBP. Perbezaan yang ketara ialah seorang masih muda dan tentu laju berkerja dengan idea yang sezaman, dan seorang lagi yang telah berusia malah berhadapan dengan birokrasi politik negara yang keterlaluan.

Kedua-dua organisasi ini mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan nasib sastera dan bahasa Melayu. Kedua-dua orang ketua ini juga tahu bahawa nasib warisan bangsa itu terletak di tangan mereka. Dan, kedua-dua orang ketua ini juga tahu bahawa jika mereka menentang politik negara bermakna mereka akan tersingkir. Begitulah beratnya kerja dan beban yang ditanggung mereka berdua.

Yang seronoknya, sebelum kami menamatkan pertemuan di ITNM, En. Khir berseloroh. Katanya, "jangan samakan ITNM dengan DBP. Kita akan berkerjasama dengan semua pihak untuk memastikan sastera negara terus ulung." Saya tersentuh mendengar ucapan ikhlasnya itu.

Saya pulang daripada kedua-dua majlis itu dengan beberapa persoalan. Dan, sehingga kini saya sedang memikirkan, apakah yang sudah terjadi kepada DASAR KESUSASTERAAN KEBANGSAAN?

Adakah dasar ini, atau berfungsikah dasar ini jika ada?

Sabtu, 27 Jun 2009

AIR MATA TERTUSUK DURI


SEMINGGU tidak menulis apa-apa di dalam blog sendiri yang kemudiannya menyusul sms daripada teman-teman. Sms berbunyi, 'hai, tak peka kepada bahasa ke? blog tu kalau tak kemas kini tutup aja!'

Saya tidak perlu marah-marah kerana saya pun bukannya pandai marah. Balik-balik senyum aja. Tapi, dalam hati siapa yang tahu?

Sejak akhir-akhir ini saya diburui tugas yang menjengkelkan; rutin yang melibatkan masa depan dalam kerjaya utama. Tak apalah, kita tinggalkan kerja-kerja yang tidak akan mengenal makna selesai itu.

Untuk menjawab sms rakan saya itu, saya perturunkan sajak "Air Mata Tertusuk Duri" yang belum pernah tersiar di mana-mana. Sajak ini saya karangkan saat air mata sudah tidak berair kerana menangisi nasib bahasa yang diperlakukan oleh juak-juak umno. Mudah-mudahan, sajak ini akan membawa kesan kepada berita yang bakal diumumkan oleh menteri pelajaran Malaysia merangkap TPM pada awal Julai 2009 ini tentang PPSMI.

AIR MATA TERTUSUK DURI
(apologia kepada Bahasa Melayuku)

tiada maknanya jernih air mata
yang membasah bumi
saat duri menusuk jantung

hening dan pilu
yang menyatu di dalam nurani
bertukar menjadi serumpun lalang
terbakar di dada malam

air mata adalah darah
yang menuliskan amarah dan dendam
di muka bendera bangsa

setelaga derita
basah di sejadah malam
setia menanti hari
terkuburnya pemimpin
berhati babi.

Shamsudin Othman
Kemboja-Saigon.

Oh ya, jam 8.25 di Berita TV9 malam tadi, mantan PM (Tun Mahahthir) berkata, "orang yang makan rasuah samalah macam orang makan daging babi."

Habis tu, orang yang mengadai maruah bahasa dan bangsanya tak sama macam babi ke? Heheheh, siapa yang babi sebenarnya? Dan sekarang, Rais Yatim dan seluruh rakyat Malaysia sibuk bercakap pasal babi. Selsema babi, gila babi, membabi buta, babi babi dan macam-macam lagi babi. Mudah-mudahan, Allah jauhkan kita semua daripada virus babi.

Saya teringatkan sajak Khalid Saleeh bertajuk "UMNO Baharu".

Rabu, 24 Jun 2009

KETERHARUAN YANG MENUSUK


PULANG dari tugas kerana kerja-kerja menyiapkan tesis agak lewat malam. Masuk ke rumah; sunyi dan sepi serta gelap (sangkaan isteri dan anak-anak sudah lena dibuai mimpi). Jam menunjukkan sekitar 12.05 malam. Saya ke arah suis lampu dengan langkah gerak hati terus menekan punat suis. Menyala sahaja lampu kalimatan, riuh dan jerit anak-anak "Selamat Hari Bapa" memecah sunyi malam. Anak yang kecil melompat untuk didakapi. Dengan senyum dan tawa mereka; di meja kecil tersedia beberapa kotak hadiah dan kek kecil. Kami makan bersama-sama hingga jam 12.30 malam.

Membuka hadiah-hadiah yang diberikan anak-anak; amat mengharukan. Ada sebatang pensil, ada sebuku pemadam dan kotak satu lagi ialah kertas putih A4 satu rim jenama Double A. Sehelai nota tertulis;

"Kalau ayah salah tulis dengan pencil ni, ayah guna pemadam adik. Kertas tu nanti ayah tulislah sajak banyak-banyak. Kami sayang ayah."

Ya Allah, saat itu ada keterharuan yang benar-benar menusuk. Rupa-rupanya dalam diam seluruh gerak-geri saya diperhatikan anak-anak.

Lalu hati kecil saya berdetik sendirian, "ayah terbaikkah saya ini untuk anak-anak yang sedang mendewasa?"

Dalam waktu itu juga, saya teringatkan kisah khasiat pinang muda yang dihikayatkan oleh Malim Ghozali PK kepada kami (saya, En. Saleeh Rahamad, S.M. Zakir, Dato Baha Zain dan Dr. Ahmad Razali ketika kami makan tengahari di warung Kancil semalam siangnya).

Sebelum tidur, saya sempat membayangkan ayah saya yang sedang bergelut dengan sakitnya. Moga ayah saya segera sembuh dalam rahmat dan hidayah Allah SWT. Amin.

SELAMAT HARI BAPA kepada sahabat-sahabat saya.

Selasa, 23 Jun 2009

HARGA SEBUAH KETULUSAN vs KERAJAAN PERPADUAN

Gambar: Dipetik daripada blog MSO

Malam tadi sekitar jam 12.05, seorang sahabat sms dan isi smsnya pendek tapi padat. 'Syukur, yang keruh telah dijernihkan.' Sebenarnya itulah jawapan yang saya tunggu-tunggu selepas bertanya kepadanya petang semalam. Pagi ini, saya segera membuka blog MSO kerana dia antara pemikir yang saya sering baca tulisannya. Saya petik 2 rangkap penuh tulisannya sebagai mengiyakan peristiwa yang saya nanti-nantikan sejak semalam.

Saya turut bersyukur dengan apa yang berlaku. Mudah-mudahan kemelut dalaman yang melanda (meski bukan ribut taufan) kembali damai dan tenang. Inilah ketulusan dalam perjuangan. Saling memaafi dan mengakui kesilapan. atas isu kerajaan perpaduan yang dimanipulasikan media UMNO menyebabkan jong PAS hampir karam. Allahamdulillah, jong sudah menjadi bahtera dan pelayaran di samudera akan kembali belayar. Alangkah baik juga sekirannya hal yang sama berlaku di dalam UMNO.

Sementelahan pula, Najib dalam ucapannya semalam turut menolak penubuhan kerajaan perpaduan. Ini bermakna apabila kedua-dua parti (BN dan PR) memutuskan tidak akan mewujudkan kerajaan perpaduan, makanya kiambang dan teratai tidak akan bertaut.

(Saya perturunkan dua rangkap daripada petikan blog MSO)

Sementara itu kira-kira jam 6:00 petang pula Pas telah menyelesaikan kemelut di dalam partinya mengenai salah faham mengenai unity government khususnya antara Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz dengan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa.

Satu kenyataan dikeluarkan oleh Nik Aziz yang menjelaskan bahawa isu unity government telah tidak berbangkit lagi. Isu berkenaan dikira tutup buku. Sehubungan itu beliau juga telah menarik balik bidasan pedih yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharudin sebelum ini. Penarikan balik itu menunjukkan Tok Guru itu bersedia mengaku salah atas apa-apa tindakan beliau yang dianggap kurang manis dan terlajak sebelum ini.

Isnin, 22 Jun 2009

SAAT MALAM MEMAKSA AKU MERENUNG SEPI


Gambar: Di depan menara tawanan perang kerajaan Rom, Kota Greek (Nov 2006)

SAAT MALAM MEMAKSA AKU MERENUNG SEPI

malam yang resah di langit Rom
bercakaran di dadaku
antara sepi yang jauh
dan sunyi yang dekat
tapi tidak ingin bersatu
meski ruang amat terbuka

merenung segugus cinta
yang berkecai di kaki dinihari
tiada siapa ingin memahami
masnawi rindu Hamzah Fansuri
rubai cinta Iqbal
puisi Giuliano de Sangallo
yang membelah kalbu malam
saat lidah waktu tegar menyusun kata

tapi kenapa
ketika igauku kembali tenang
dalam munajat dan zikir
kau hadir membawa seruling mimpi
menghembuskan
kalimat-kalimat berahi
ke telingaku
lalu ke fikirku

lewat malam yang kian melarut
hening pun tiba
mendamba doa dan taubat
lalu untuk kesekian kalinya
mimpi menjadi gelap
cinta menjadi ruyup
rindu menjadi sepi.


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori