Selasa, 30 Jun 2009

DUA MESYUARAT YANG MENDESAK


Gambar: Di depan pintu masuk bangunan Hagia Sophia, Istanbul.

SEMALAM dan pagi tadi saya terlibat dalam dua mesyuarat yang saya kita penting untuk menentukan masa depan sastera Melayu.

Semalam di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) saya, Dato Baha Zain, En Saleeh Rahamad, S.M Zakir dan beberapa orang kuat ITNM termasuk pengerusinya En. Khir Ngadiron berbincang soal masa depan bidang terjemahan sastera Melayu ke BI mahupun bahasa-bahasa asing lain. Saya membaca pemikiran dan cara pengerusi ini berkerja. Dia laju berfikir dan menangkap situasi. Semua gerak-geri dapat difahami dengan murni. Dalam lawak dia membuat keputusan; dalam serius dia memberi cadangan. Begitulah En. Khir yang saya kenali. Sebelum ini, daripada cerita teman-teman dan melihat dirinya dari jauh, ada yang menyatakan dia tu serius. Tetapi setelah bermesyuarat seputar 2 jam 30 minit, dia seorang yang tulus dan berkarisma.

Saya akhirnya diminta untuk mengumpulkan sejumlah 25 puisi penulis muda Malaysia yang akan diterjemahkan ke BI. Puisi terjemahan ini perlu disiapkan segera untuk dilancarkan di Singapura pada 24 November 2009 sempena Festival Sastera Singapura.

Wah, ini tugas berat yang menuntut pemerhatian dan pengamatan saya. Saya berkira-kira di dalam hati bagaimana cara terbaik untuk memilih sejumlah penyair muda Malaysia yang boleh menggekalkan keunggulan puisi-puisi Melayu nusantara seperi mana tahun 70-an dan 80-an. Seperti yang kita sedia maklum period itu adaalah zaman terbaik penyair Malaysia mencipta nama dalam persada puisi nusantara. Saya terbayangkan nama-nama besar seperti Latif Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar, Mochtar Awang, T. Alias Taib, Suhaimi Hj Muhammad, Siti Zainon Ismail, Zaihasra dan lain-lainnya. Saya juga terbayangkan rakan-rakan sepenyair masa kini. Di manakah saya ketika ini? Sebariskah nama saya dengan mereka itu?

PAGI TADI, saya diundang oleh DBP untuk sama-sama hadir ke Dialog Bersama Ilmuan dan Karyawan. Program yang diadakah khas untuk menentukan hala tuju dan peranan DBP sebagai badan berwajib menjaga maruah bahasa dan sastera Melayu. Kehadiran yang menggalakkan itu dirancakkan dengan beberapa pandangan sarjana mahupun penulis. Pandangan Dato Hassan Ahmad, Dato Kemala, Prof Dr. A. Wahab Ali, Dr. Azizah, Dr. Noorfaridah Manaf, Dr. Hashim Ismail, En. Saleeh Rahamad, S.M. Zakir dan tidak lupa cikgu Awang Abdullah diharapkan dapat didengari dengan tulus ikhlas oleh warga DBP, khususnya KP yang baharu itu.

Sebenarnya daripada kedua-dua pertemuan itu, saya cuba membuat banding beza cara berfikir dua orang ketua itu, iaitu seorang mewakili ITNM dan seorang mewakili DBP. Perbezaan yang ketara ialah seorang masih muda dan tentu laju berkerja dengan idea yang sezaman, dan seorang lagi yang telah berusia malah berhadapan dengan birokrasi politik negara yang keterlaluan.

Kedua-dua organisasi ini mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan nasib sastera dan bahasa Melayu. Kedua-dua orang ketua ini juga tahu bahawa nasib warisan bangsa itu terletak di tangan mereka. Dan, kedua-dua orang ketua ini juga tahu bahawa jika mereka menentang politik negara bermakna mereka akan tersingkir. Begitulah beratnya kerja dan beban yang ditanggung mereka berdua.

Yang seronoknya, sebelum kami menamatkan pertemuan di ITNM, En. Khir berseloroh. Katanya, "jangan samakan ITNM dengan DBP. Kita akan berkerjasama dengan semua pihak untuk memastikan sastera negara terus ulung." Saya tersentuh mendengar ucapan ikhlasnya itu.

Saya pulang daripada kedua-dua majlis itu dengan beberapa persoalan. Dan, sehingga kini saya sedang memikirkan, apakah yang sudah terjadi kepada DASAR KESUSASTERAAN KEBANGSAAN?

Adakah dasar ini, atau berfungsikah dasar ini jika ada?

3 ulasan:

zulkhair berkata...

Tiada seorang pun yang boleh dibuang dalam sektor awam berbanding sektor swasta melainkan distruktur kembali dan dibangunkan. Demikian menurut pakar dalam bidang tadbir urus organisasi perbandingan. He, he.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) berkata...

Adakah Dasar yang tuan maksudkan, kalau tidak ... perlu dicari di dasar laut?

Ttg En. Khir Ngadiron, saya kagum dgn beliau. Cara bekerja beliau bersemangat dan patut dicontohi. Pernah berurusan dengan beliau sewaktu sesi 'perkahwinan' ITNM dengan HSKU (kategori terjemahan)tahun lepas.

S.K berkata...

Salam,

Akan dilancarkan di Singapura sempena Festival Sastera Singapura (dikenali sebagai Singapore Writers' Festival = SWF) 09?

Suatu kesempatan yang baik!
Tiba-tiba SWF bahagian Bahasa Melayu tahun ni yang dengarnya seperti lesu saja bagi saya, menjadi menarikkkk sekali!!!

Saya nantikan! Dan akan war-warkan...

Wassalam.