Isnin, 16 April 2007

KUCHING, SARAWAK, AMINHAD YANG AKU KENALI DAN SEBUAH MASA DEPAN

I.
Syukur, dengan limpah dan hidayahnya, aku bisa kembali melakarkan sesuatu di dalam blog ini. Seminggu berkelana di Kuching, Sarawak banyak menemukan aku dengan rakan-rakan yang banyak mengali pengalaman di daerah pedalaman. Mereka terpaksa mengharung pelbagai suka duka P&P. Mereka berjaya membaca gerak riak sungai, mereka berjaya menterjemah suara mergastua, mereka berupaya memahami bahasa suku-sukuan dan pelbagai pengalaman yang tak aku terfikirkan.
Seminggu di Sarawak bersama-sama guru kreatif aku iaitu cikgu Aminhad banyak mengajar aku erti kehidupan sebenar. Dia mengajar aku makan umai (sejenis makanan sarawak), cara menggunakan gambir sarawak, cara mengenal hulu parang dan cara menjampi buaya. Fuhh! Padanlan cerpen, novel dan sajaknya hebat; sebab dia boleh memahami bahasa binatang dan bahasa alam.
Ada sesuatu penyakit cikgu Aminhad yang perlu kita semua ketahui; iaitu, dia punya empat talipon bimbit. Satu khas untuk rakan-rakan penulis, satu untuk isteri, satu untuk anak-anak dan satu lagi untuk urusan-urusan 'kekayaan'. Malah lebih hebat lagi apabila dia tidak boleh berpisah dengan kamera. Habis setiap sudut alam yang aneh-aneh dirakamkan. Katanya "nanti bila nak tulis cerpen, gambar-gambar inilah yang akan menjadi bahan bantu," katanya sambil merenung sungai Sarawak pukul 1.30 pagi di Waterfront.

ii
Kepada rakan-rakan yang menghantar karya untuk dikongsikan pengalaman proses kreatifnya; saya minta maaf banyak-banyak sebab kekangan masa menyebabkan saya hanya sempat membaca dan tidak sempat untuk mengedit. Beban tugas dan kerja-kerja sekolah kian melambak. Apatah lagi tugasan luar oleh MBKM, PPK dan LPM. Kadang-kadang balik rumah macam pergi melancong pulak. Entahlah, ini semua cabaran kehidupan yang perlu saya lalui dengan tabah.
Insyallah, saya (aku) akan segera membalas semua kiriman itu supaya proses kreatif itu dapat berjalan seperti biasa.

iii
Minggu depan aku akan ke Terengganu dan awal Mei pula aku akan ke Kundasan, Sabah. Ini kerja yang bakal menyusul. Nah! Tentunya kerenah-kerenah manusia yang bakal aku lalui itu akan menjadikan aku lebih dewasa.

iv
Semalam sajak "Percakapan Kepada Seorang Kekasih vi" aku tersiar di Berita Minggu. Membacanya berkali-kali; aku menjadi takut dan terasa hampir kepada kematian. Kalaulah Tuhan (ALLAH) benar-benar ingin menjemput aku pulang ke negeri abadi, izinkan aku bermohon agar kepulangan aku itu penuh dengan restu ayahbonda, anak isteri, saudara mara, rakan-rakan dan kekasih. Mungkin takdir yang tidak boleh aku baca itu mampu mengirimkan petanda dan tanda kepadaku supaya sentiasa beringat-ingat.
Kepada kalian, aku tidak pernah mendustai janji kita.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam ukhuwah,
Terima kasih kerana melawati blog saya yang tidak sepertinya. Dengan blog kita terasa dekat antara satu sama lain. Amin juga perlu ada blog. Saya juga teruja dengan bilangan telefon bimbitnya. Semasa ke Langkawi Disember lepas, salah satu telefonnya tercicir dalam kapal terbang. Akan tetapi nasibnya baik kerana dia dapat kembali telefon tersebut. Mungkin sebab itu dia sayang sangat dengan telefon bimbitnya.
Saya sedang mencari-cari, apakah yang patut saya sampaikan dalam ceramah di UKM nanti untuk anak-anak murid tuan.