Rabu, 4 April 2007

MENCARI KEKASIH

i
Malam semalam aku dengan beberapa orang rakan minum di Hajaris Bistro, Bandar Sri Permaisuri. Topik sembang panjang kami tentang 'ISTERI'. Menariknya, salah seorang daripada rakan aku itu meluahkan perasaan hatinya. Katanya, "cukuplah usia aku ni kena marah. Dulu kecil-kecil dimarahi emak bapak, di sekolah dimarahi guru, dah kahwin kena marah dengan isteri pula." Aku tak banyak beri respon tetapi senyum kambing aja melihat keluhannya. Malam itu, aku, Zainuddin, Wak Suhaidi, Onn, Jeff, Ehsan, Shukri, dan Kimi berfikir panjang tentang salah seorang daripada kami itu.
"Tak ada penyakit cari penyakit," selorohku sambil disulam ketawa kecil.
"Aku cari kekasihlah. Kau apa tahu, dan kau kau belum diuji lagi." kata sahabatku yang celaru mimpi masa depannya.

Entahlah, mungkin dunia ini kian kecil untuk manusia sepertinya. Mencari kekasih tak boleh disamakan seperti mencari buah mangga. Kadang-kadang seorang lelaki perlu memikirkan lebih daripada itu. Kekasih adalah kehidupan yang bercakap tentang cinta dan rindu. Jadi, cuba bayangkan kalau kita telah diserang angau cinta atau rindu itu. Yang busuk dikatakan baik, yang hapak dikatakan wangi, yang hodoh dikatakan cantik, yang miskin dikatakan kaya, yang lemah dikatakan kuat dan yang tua rasa seperti muda. Itulah cinta kata Khalil Gibran dalam bukunya Bicara Tentang Cinta.

ii
Malam tadi aku sempat tulis sajak. Lega rasanya apabila dapat menulis sajak setelah beberapa waktu terhukum oleh hal-hal rutin perguruan. Aku mula rasa romantis kembali; lalu aku tulislah sajak ini.

PERCAKAPAN KEPADA SEORANG KEKASIH IV

Aku melukis diriku sendiri

sebuah rumah lengkap

tersergam indah di puncak gunung

bumbung bersalut awan

lantai berlata jeram dingin

terasa bahagia diulit damai.

Kini seluruhnya akan kuwakafkan

kubuka pintu rindu dan jendela cinta untukmu

masuklah dengan seluruh jiwa

dan carilah apa yang kusembunyikan

mudah-mudahan akan kau temui

apa yang kauingini selama ini.

Dan di malam dingin begini

di tepi jeram yang syahdu

hanya aku bertiga

aku, Rakib dan Atib

saling bercakaran membilang sepi

hingga sunyi kolam mataku

bertakung air mata

kemudian basah di bawah suram cahaya.

Saat itu,

Tuhanku adalah sejambangan mawar

yang berdakapan dan tak mungkin berpisah

sedang aku adalah durinya yang resah dibasahi gerimis.

Kekasihku,

aku adalah sebuah rumah yang sepi

bertandang dan masuklah

ambillah apa yang kauingini

daripada apa yang aku sembunyikan selama ini.

SHAMSUDIN OTHMAN

Madrasah Sham al-Johori,

Kuala Lumpur.

iii
Aku tujukan sajak ini kepada seorang kekasih yang tidak pernah ingin mengerti bahawa dia sebenarnya tidak pernah mati dalam hatiku. Aku selalu berharap, agar dia dapat belajar daripada masa lalu yang tidak pernah berdusta itu.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam ziarah..sudah khatam taman percakapan=)

mohamad kholid berkata...

ada kawan aku kata - "aku bukan takut bini tetapi bini yang tak takut aku..."
he.. he.. he..

Nazhatulshima N berkata...

Singgah seketika, menanti khabar 'puisi' kiriman. Saudara sibuk rupanya. Bila kesempatan, saya mohon komennya. Terima kasih.