Isnin, 14 Januari 2008

Al-Kisah Politikus Terompah


BERMULA kisah ini ketika semua orang sedang berteka-teki akan hadirnya pilihanraya umum. Masing-masing punya kepakaran dan keajaiban tersendiri termasuk tok bomoh, tok dukun dan tok pawang. Hairan dan ajaibnya, sejak dua menjak ini semua politikus juga berlumba-lumba mencari ketiga-tiga manusia yang aku maksudkan tadi. Tujuannya hanya satu supaya mereka dapat mempertahankan kedudukan, kekebalan dan kekuasaan.

"Wah, di rumah tok bomoh tu ada kereta BMWlah. Kalau tak silap itu kereta Dato' Em. Empat tahun sudah aku pernah tengok kereta itu di rumah tok pawang. Tapi kenapalah kereta tu ada di rumah tok bomoh?" Onn memulakan bicara sambil anak matanya merenung wajah bulat Din Waja.

Din Waja yang sedang menghirup tek tarik di kedai Janda Saloma tersedak. Ada batuk-batuk kecil yang menyusul kemudian. Diletakkan gelas putih berjenama Pokai buatan China itu di meja plastik buatan Malaysia. Sambil merenung kereta BMW tu, dia mencelah, "biasalah tu. Itu tandanya pilihanraya dah nak hampir. Saat inilah tok bomoh nak buat duit. Rumah dia pun dah nak roboh. Dulu dia dijanjikan kalau parti Dato' Em menang, rumah tua akan bertukar wajah. Tapi dah 50 tahun, rumah tua tu masih macam tu juga. Entahlah."

Onn mengeluarkan rokok Dunhill Light biru dari poket seluarnya. Rokok itu dihempas ke meja. Dia merenung wajah Din Waja sambil merengus. "Bodoh betul tok bomoh tu."

"Laaa, sebab dia bodohlah dia jadi tok bomoh. Kalau dia pandai dah lama dia jadi menteri dan pakai kereta besar. Punya rumah besar dan kaya raya. Apalah kau ni. Kalau dia pandai juga ditambah lagi dia tahu ilmu-ilmu hitam, aku rasa dia lebih popular daripada Jamal Abdillah atau Bush." Din Waja memotong kata-kata Onn sebelum sempat Onn meluaskan bicaranya.


sambung ....


ii

Mendengar, membaca dan menonton berita sejak dua menjak ini menjadikan aku sedikit resah. Cerita kehilangan seorang anak kecil yang tidak berdosa. Cerita pembunuhan ahli politik. Cerita kelucahan menteri. Cerita kebodohan menetri. Cerita kehebatan dan keberanian menteri. Cerita orang sakit dan macam-macam lagi cerita yang dipaparkan itu menjadikan aku kian takut menetap di sebuah negara Islam bernama Malaysia. Ini tanah air aku. Aku dilahir dan dibesarkan di tanah air ini, tetapi anehnya aku dilayan seperti orang asing.

Ketika aku berada di luar negara, orang di sana kata bersyukur aku jadi rakyat Malaysia. Mereka puji negara ini. Mereka sanjung negara ini. Tetapi apakah yang sedang berlaku sebenarnya. Pembunuhan, kekejaman, kezaliman, penindasan dan kehuruharaan sedang bermaharajalela di Malaysia.

Aku cuba membaca kitab-kitab tua yang sarat dalam almari buku ayahku. Akhirnya aku temui sedikit jawapan. Dan mungkin ini jawapannya.

Apabila pemimpin itu merasakan dirinya hebat dan tidak mengakui apa yang termaktub di dalam kitab AL-Quran dan menolak apa-apa yang menjadi pegangan rasulnya (Nabi Muhammad SAW), maka terimalah ujian demi ujian sebagai lambang bala' yang Allah turunkan.

Aku melihat ke dalam diri dan bercongak-congak, apakah Allah sedang menguji umat Melayu kerana mereka mula menafikan hak Al-Quran dan hadis. Jika betullah perkara itu yang sedang berlaku, maka terimalah bala' yang Allah akan turunkan. Aku perturunkan ayat 36 daripada surah Al-Israa yang bermaksud;

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan pengelihatan serta hati semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

iii
Dunia dan tanah air aku ini sedang dicaturkan.

Tiada ulasan: