Isnin, 7 Januari 2008

Sebuah Cerita Bernama 'Pendidikan'

Di hadapan Muzium Kezaliman Pol Pot, Phnom Penh, Kemboja.
(Tengkorak ini menyembunyikan duka dan derita sebuah kezaliman)

Rasanya, sudah lama aku tidak serius dalam penulisan di blog. Bukan apa-apa, tetapi atas nasihat Ketua Jabatan, makanya aku terpaksa menafikan gelora jiwa aku yang tidak waras (dari fahaman pemerintah) itu. Tapi, demi untuk meneruskan kehidupan, nampaknya aku terpaksa juga menulis supaya aku tidak menjadi manusia yang tidak waras dalam konteks realiti.

ii
Sejak kes Chua Soi Lek (mantan menteri kesihatan) memeranjakan pentadbiran kerajaan pusat kita terpaksa pula berhadapan dengan sistem pendidikan negara. Kes yang meruncing dari sudut luaran (kritikan terhadap yuran sekoah, ruang belajar yang tidak cukup, kemudahan yang rosak dan tidak berbaloi dikenakan yuran) sehingga masalah dalaman iaitu kehidupan guru dan pentadbiran sumber manusia di KPM itu sendiri.
Apakah kebejatan pemikiran menyebabkan hal-hal ini tidak dapat diselesaikan? Sedangkan usia kemerdekaan kita telah mencecah 5o tahun dan negara kita sering dipuji oleh dunia luar kerana kehebatan kepimpinanan, wawasan dan agenda negaranya.
Malam tadi dalam slot Berita RTM1, Prof Diraja Ungku Aziz memberikan sedikit pandangan yang amat baik dan bernas. Soalnya, adakah Pak Lah atau Hishamuddin mendengar buah fikiran bernas itu? Jika mendengarnya, aku harap mereka berdua perlu duduk semeja dengan pak Ungku Aziz dan jemput juga beberapa sarjana kawakan negara untuk membetulkan kelemahan atau kesilapan yang mula merosakkan sistem pendidikan negara.
Teguran terhadap sistem yang 'berorentasikan peperiksaan' perlu diambil tindakan segera, atau wajar disahut oleh jemaah KPM. Duit daripada peruntukan belanjawan yang disalurkan itu merupakan hasil duit rakyat. Oleh itu, apa salahnya jemaah KPM duduk semeja dengan semua parti yang ada di Malaysia ini untuk berdialog sebagai wadah pencetusan idea. Yang baik kita saring dan laksanakan. Yang tidak baik dan berbentuk hasutan kita tolak mentah-mentah. Bukankah, jemaah KPM itu ditakbir oleh para sarjana juga pemikir Phd, Master dan Ijazah Sarjana Muda. Gunakan fikiran yang dipelajari ketika berada di menara gading tempatan atau luar negara; buat perbandingan dan lakukan sesuatu.

iii
Di menara sempadan Kemboja-Vietnam
(Perjalanan menuju kota Saigon: mencari ...)

Sebelum ini, aku pernah berada di alam persekolah sebagai pendidik hampir 13 tahun. Mungkin aku bukan seorang guru terbaik, tetapi setidak-tidaknya aku bukan pelaksana peraturan KPM yang baik. Aku sering ingkar perintah kerana bagi aku konsep 'MENDIDIK' , 'MENGAJAR', 'BELAJAR' dan 'PENGAJARAN' adalah berbeza. Apa yang aku lakukan sepanjang aku menjadi guru ialah aku 'mendidik' anak-anak murid aku. Maknanya sesiapa yang pernah menjadi anak murid aku, mereka tidak pernah belajar mengikut sukatan pelajaran, penggunaan 100% buku teks dan modul rancangan pengajaran yang ditetapkan. Aku lebih suka mengajar bagaimana mereka boleh berfikir dan melatih kemahiran hidup dengan berbahasa Melayu. Aku mengajar mereka teras berbudaya, aku mengajar mereka teras beragama Islam dan aku mengajar mereka akar kepimpinan Melayu. Daripada teras dan akar itulah akhirnya sebahagian daripada mereka hari ini menjadi manusia bukan orang atau binatang.
Soalnya, apakah aku telah melanggar etika atau telah melakukan kesalahan? Mungkin dengan berfikiran begitu, aku tidak popular di kalangan rakan sejawat; Tetapi sekurang-kurangnya setiap kali hadirnya sambutan Hari Guru (16 Mei); akulah guru yang paling banyak menerima bunga, ucapan sms dan hadiah. Aku tidak minta itu semua.
iv
Hari ini, genap dua tahun aku berada di UPM. Aku bukan guru seperti dulu. Aku penentu nasib guru pula. Fikiran aku harus lebih berfokus. Adakah untuk melahirkan guru yang setiap 25 hari bulan menerima gaji atau setidak-tidaknya mengikuti jejak langkah aku? Jika ikut jejak aku sekali pun, beranikah mereka mengajar tanpa mengikut kehendak KPM?
Kita (rakyat dan manusia Melayu) perlu menyedari apakah sebenarnya makna 'DIDIKAN' itu. Didik ialah ilmu yang terima dan daripada ilmu itu seseorang itu boleh berfikir dan membuat keputusan yang mana baik atau buruk. Istilah dan makna perkataan ini berbeza sama sekali dengan maksud 'belajar'. Oleh itu, aku berharap agar, rakan-rakan aku di IPG, KPM dan di sekolah; sedarlah bahawa tanggungjawab mendidik bukannya mudah. Kadang-kadang kita perlu berani melanggar arus. Arus adalah ilmu yang memungkinkan kita berjaya jika betul alur dan tapaknya. Apa guna air yang mencukupi zat, vitamin dan apa-apanya itu jika tapak tempat mengalirnya air itu penuh dengan najis dan kekotoran.

Fikir-fikirkanlah..

v
Banyak duri perkara duri,
Duri mana duiri yang tajam;
Banyak budi perkara budi,
Budi yang mana dikenang orang?
Salam sebuah pengalaman yang lain.

1 ulasan:

Muhammad Abdulloh Suradi berkata...

Assalamualaikum. Saya menjemput saudara untuk mengunjungi blog sy, http://tamanulama.blogspot.com & http://puisi-uswah.blogspot.com

Selamat mengunjungi