Sabtu, 19 Januari 2008

Salam 10 Muharam dan Hikayat Politikus Terompah

i
Maaf kerana lama tidak menjelma akibat pengodaman blog ini oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu, mulai tarikh ini, ingin saya maklumkan bahawa;

Sebarang cerita yang termaktub dalam blog 'Tanah Nurani' ini TIDAK berniat menyentuh mana-mana pihak atau melampaui susila Melayu. Saya hanya berseloroh untuk mendamaikan hati yang lara. Maaf seadanya daripada hujung rambut hingga hujung kaki. Kepada yang terasa hati, merasa hati, atau berasa hati; saya yang tidak berniat apa-apa itu mohon berbanyak-banyak kemaafan.

ii... sambungan Hikayat Politikus Terompah


Tok Pawang mengeluarkan bungkusan daripada ikatan kain pelikat cap Gajah. Terbeliak mata Dato' YB apabila melihat barang-barang yang ada di dalam kain itu. "Apa azimatnya barang-barang tu, Tok Pawang?"

Tok Pawang tidak segera menjawab. Dia merenung wajah YB dengan pandangan tajam dan mencurigakan. YB menelan air liuhnya dalam-dalam. Dia berapih pandang. Pandangannya dilemparkan jauh ke luar tingkap. Mungkin dia dapat melihat Onn dan Din Waja dan sedang mengumpat diri YB. Atau mungkin juga YB mengalihkan pandangannya daripada Tok Pawang kerana takut melanggar tulah. YB tahu pantang larang ketika berhadapan dengan Tok Pawang. Tetapi mungkin kerana tidak sabar, dia terlanggar pantang itu sebantar tadi.

"YB ni, mulut jangan bacul. Tengok sahaja apa yang akan saya lakukan. Jangan tegur atau menyampuk. Nanti yang empunya diri jadi tak sudi dengan kita. Parah dan teruk kita dibuatnya." Pintas Tok Pawang yang tidak memandang sedikitpun wajah YB. Dia tekun menguliti kerja-kerja rutinnya itu. Itulah kerjanya sejak dia berusia 18 tahun. Sehari demi sehari hingga tahun berganti tahun, kepakarannya sebagai Tok Pawang kian menjadi. Dan sejak akhir-akhir ini, dia menjadi rebutan YB pula. Empat tahun dulu YB Pandir yang sering berkunjung ke terataknya. Itu cerita empat tahun dulu, sekarang ini giliran YB Kadok pula. Esok lusa mungkin giliran YB Luncai agaknya. Tapi bagi Tok Pawang, siapa pun YB yang datang dan berdamping dengannya, dia akan pastikan YB itu mendapat kejayaannya. Bagi Tok Pawang, setiap pelanggan mesti dilayang dengan baik. Tok Pawang tidak pernah memilih pelanggan. Bagi dirinya, siapa yang datang bertemu dengan dirinya pasti akan dilayan dengan sebaik-baiknya. Dia benar-benar ingat pesan kedua ibu bapanya supaya jangan mengecewakan orang yang meminta bantuan. Atas dasar pesanan itu, Tok Pawang akan cuba sedaya mungkin membantu dan memenuhi kehendak pelanggannya.

"YB, ini tengkorak janda muda mati dibunuh. Balik nanti kena perasap dengan kemenyan. Sebaik-baiknya, sebelum diperasap, langir dulu dengan air limau nipis tiga biji setangkai."

Cahaya senja yang menyusup masuk di sulah-sulah dinding teratak Tok Pawang kelihatan kelam di dalam teratak. YB hanya memerhati lagak Tok Pawang sambil menjeling jam berjenama Bonia di tangan kirinya. Mungkin hati kecilnya berdetik bahawa malam hampir menjelang. YB menyembunyikan resah yang bersarang dalam hatinya.

"Elok sangatlah sebab malam ni malam Jumaat keliwon. Orang Jawa kata, malam ni seluruh penghuni alam ghaib akan turut bermesyuarat. Kalau YB dapat mulakan malam ni lagi baik. Jumaat keliwon diikuti dengan dua malam berturut-turut tu biasanya tak menyusahkan sangat kerja kita nanti. YB kena buat sendiri. Jangan suruh anak isteri. Takut nanti mereka kena tegur. YB tak apalah sebab saya dah pasang pendinding."

YB tak menjawab atau mengelus sepatah haram suara pun. Dia hanya memasang telinga, mendengar dan menanti apa-apa arahanan seterusnya.

sambung......

iii


Petang tadi, di bucu mamak dekat DBP; aku, Rahimidin dan Luqman Hakim menghabiskan sepincing petang berborak tentang kembara ke Phnom Penh-Saigon-Sg. Mekong. Kami teringatkan S.M. Zakir dan M.Saleeh Rahamad yang licik. Tapi paling menyedihkan ialah apabila M.Saleeh dan Amiruddin bersajak sambil sesekali menyanyi lagu-lagu jiwang dalam bas kerana tidak tahan melihat telatah S.M. Zakir yang licik macam ulat bulu naik daun. Aku, Rahimidin dan Saifulizan Yahya yang malas nak fikir lalu makan roti kering yang ada.



Tiada ulasan: