Khamis, 24 April 2008

SALAM DARI KEJAUHAN II ...

SAYA masih menganyam mimpi di negeri pergunungan angin.

Setiap kali menganyam mimpi ada banyak desakan naluri yang sukar untuk difahami. Malam tadi saya menerima panggilan telefon daripada seorang profesor yang juga akrab dan memaklumkan akan negara kehilangan seorang lagi nasionalis Melayu iaitu sdr Rustam Sani; anak kpd mantan pejuang kemerdekaan negara Ahmad Bostamam (al-fatihah utk rohnya).
Dalam perbualan melalui telefon bimbit; percakapan kami banyak berkisar tentang perjuangan politisan Melayu yang telah mula kehilangan jati diri bangsa dan maruah Melayu. Aku sekadar mendengar dan sesekali menganggukkan kepala meski dia tidak melihat. Profesor ini menghubungi aku dari tanah besar penguasa ekonomi dunia. Aku tidak terkejut kerana kami sering berhubungan setidak-tidaknya melalui sms.
Dalam salah satu bicaranya ialah dia menyatakan kekagumannya kepada Dr. Teo Kok Siong (UKM) yang berani bersuara tentang orang Melayu yang diberi kuasa mentadbir negara tetapi tidak faham istilah atau tepatnya konsep makna. Aku bersetuju dengan pendapat profesor itu dan mengangguk sekali lagi. Tentunya isu itu ialah tentang penjenamaan semula Bank Pertanian Malaysia kepada ARGO BANK. Lucu dan mengelikan sekali. Dr. Teo kata bahawa orang Melayu tidak faham maksud istilah 'argo' dan menafikan hak perkataan 'TANI' yang maksudnya lebih luas dan menjangkau bidang tugas yang global.
Aduh! Ini juga merupakan tamparan hebat kepada orang Melayu begitu juga kepada aku. Menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.
Nah, persoalan perofesor itu kepada aku ialah, apa yang kau orang buat? Menyokong tidak, menafikannnya pun tidak. "DAYUS dan BACUL!" sergah profesor itu dengan suara yang sedikit keras.
Inilah yang dikatakan perjuangan. Dan aku segera teringat juga tulisan seorang bekas diplomat Malaysia yang pernah bertugas di Amerika iaitu Datuk Muhammad Alias. Dalam tulisannya di Utusan Malaysia (23 April 2008) bertajuk Bahasa Melayu Bahasa Rakyat Malaysia beliau menyentuh bagaimana setiap bangsa dui dunia ini perlu ada bahasa sendiri kemudian mendaulatkannya. Bahasa Inggeris adalah bahasa sekundar (kedua terpenting) yang perlu kepada manusia yang terpencil sahaja. Maksud aku, BI ini penting kepada manusia yang ingin menatang langit Allah.
Aku cukup yakin bahawa tulisan Datuk Muhammad Alias itu tidak dibaca oleh para juak dan pencatur kepimpinan negara. Kalau mereka dengar daripada telinga orang lain pun mereka akan kata Datuk Muhammad ini cauvinis (melampau) dan anti tesis.
Sebenarnya, aku sudah mula letih dan jengkel aku pun dah mula terseksa. Di mana-mana di bumi kelahiran aku itu, pejuang bahasa seperti S.M. Zakir, Rahimidin Zahari, Marsli NO, M. Lutfi Ishak, Faisal Tehrani, atau yang lebih berusia seperti Dato' Baha Zain dan lain-lainnya itu mula 'disenyapkan' oleh agenda terancang.
Soalnya, perlukah aku bertanya kepada DBP, GAPENA, ABIM, PAS, PKR, DAP, GPMS, PEWARIS, PERIHATIN, MAJLIS PERSEKUTUAN TANAH MELAYU atau lain-lainnya tentang apakah tindakan tuan-tuan setelah UMNO memperkotak-katikkan bahasa rasmi Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan 152?
AKU SUDAH PUAS MENJADI MANUSIA YANG MENJERIT GUNUNG.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Sdr Shamsuddin,
Di mana anda sekarang? Saya berasa bangga kerana di mana pun anda berada
tetap tak lupa masalah bahasa kita. Ini adalah saat untuk terus memperkukuh perjuangan; kemenangan tidak mudah menjelang. Gembeleng semua tenaga muda untuk melawan secara intelektual. Kami yang senja dan masih ada nyawa ikan belum lagi mengalah.Justeru lebih seru menghujjah. Saya sudah masuk ke alamblog: bahazain.blogspot.com.Sampai jumpa lagi..BZ

sinaganaga berkata...

Ayuh, kita bom saja itu gunung, biar runtuh!