Rabu, 24 Disember 2008

APABILA TPM BERJANJI MEMPERKUKUH NASIB BANGSA MELAYU DAN GAPENA MULA BERTARING


Ada dua perkara yang sama hampir sama dan mungkin juga tidak sehaluan nakhoda dalam bahtera berbeza; satu negara dan satu lagi persatuan penulis. Bahtera negara tentunya sekarang ini sedang dinakhodai oleh TPM (Dato' Seri Najib), manakala bahtera GAPENA dinakhodai Ketua Satunya iaitu Tan Sri Ismail Hussin.

Dua hari lepas, GAPENA membuat kenyataan di Kelantan dalam majlis anjuran PPK-PUSPA tentang ingin mencabar kerajaan yang selama ini melakukan perkara yang salah iaitu mencabul perlembagaan Perkara 152. Tahniah Tan Sri kerana berani bersuara setelah diasak daripada segenap penjuru oleh persatuan penulis lain. Semalam pula TPM memberikan tiga strategi dalam usaha memartabadkan bangsa Melayu. Ucapannya di Melaka itu boleh disimpulkan begini;

Tiga aspek itu, kata Timbalan Perdana Menteri, "... adalah perlu sentiasa memperkukuhkan pertalian hubungan dan bebas daripada kegiatan ekstrem seperti keganasan, selain perlu mengelak memperlekeh bahasa Melayu dan tidak mudah melupakan asal usul atau akar umbi. "

Saya melihat usaha mengelak memperlekeh bahasa Melayu itu apa sebenarnya? Adakah ingin memansuhkan PPSMI atau sekadar janji politik yang tawar meski bergula-gula. Sedarkan TPM akan maksud tidak memperlekeh bahasa Melayu? Adakah maksud memperlekeh itu sama dengan menjual maruah, mengadai maruah, menjual bahasa, melacuri bahasa atau maksud TPM hanya masih berada dilapisan makna luaran iaitu berada pada lapisan makna mempersenda bahasa Melayu. Jika tafsirannya begitu, maka tidak salah bahasa Melayu itu boleh dianaktirikan seperti hari ini.

'Memperlekeh' dalam Kamus Dewan edisi keempat (hlm.911) bermaksud sikap mengambil mudah, senang atau tidak berdaya, lemah. Sejauh mana istilah ini sesuai diguna pakai dalam maksud perkaitannya dengan maruah bangsa dan tanah air?

Persoalan bahasa dan bangsa bukan persoalan pinggiran atau remeh. Hari ini, berapa ramaikah menteri-menteri kerajaan yang tidak boleh berfikir dalam bahasa Melayu apabila diwawancara oleh wartawan. Jawapan spontan mereka adalah dalam bahasa Inggeris yang entah apa-apa dan memalukan itu macam 'menggantungkan kain kotor di muka pintu', iaitu perbuatan yang cerdik tetapi memberi malu kepada diri sendiri.

Apabila GAPENA dan TPM seakan-akan sedar kesilapan masa lalu ini, saya berharap juga tindakan pemansuhannya itu disegerakan. Dengan kata lain yang lebih tepat ialah SEGERA MENGUBURKAN PPSMI itu. Berdolak dalih atau takut dengan seseorang bukan persoalan hari ini. Kenapa kita perlu takut dengan seseorang atau sentiasa dibayangi seseorang? Siapakah manusia yang kita takuti itu sedangkan orang itu tiada lagi dalam kepimpinan negara? Menolak dan menidakkan pemikirannya tidak bermakna kita tidak menghormatinya. Malah, adalah lebih baik sekirannya kita sama-sama dapat membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh tokoh terdahulu.

Mudah-mudahan, dengan iringan doa restu orang Melayu yang berjumlah hampir 20 juta orang itu setelah ditolah orang Melayu yang separuh tiang (separuh dirinya Melayu separuh lagi dirinya lain-lain bangsa) maksudnya melayu yang lupa asal usul dan jati diri itu; impian untuk melihat maruah bahasa Melayu kembali ke darjatnya akan menjadi kenyataan.

SELAMAT MENGUBURKAN PPSMI, NEGARAKU.
Amin.


5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kuasailah bahasa lain selain bahasa Melayu, tetapi jangan pula sampai bahasa Melayu diketepi dan diperlekehkan. Ini yang tidak betul dan 'kerja bodoh'.

Isunya kerana bermasalah dalam ilmu, sikap dan usaha. Sikap ambil mudah dalam hal bahasa, tidak memandang bahasa dari sudut ilmu dan tidak ada usaha yang tekun dalam menukangi bahasa.

bahazain berkata...

Salam Sdr Sham
Gapena sudah bersuara. Gapena sudah memberi kata dua.Alhamdulillah.Sekarang kita semua perlu membantu Gapena dalam isu PPSMI. Lebih ramai menentang lebih berkesan dan semua pihak tak elok bertindak separuh jalan. Ajak kawan-kawan lain menghabiskan kerja. Berikhtiar dan bertawakal. Yakinkan kawan-kawan ini adalah sebahagian daripada jihad untuk membangunkan tamadun insan.

Tanpa Nama berkata...

BISP aku x da la. Sian la aku RM250 juga tu

ekspresi berkata...

wah banyak logo anti ppsmi nampak. haha. jom kita buat lencana/tag jual di sekolah2.

Azhar Salleh berkata...

Salam saudara Sham,
Perjuangan untuk mengembalikan maruah bahasa Melayu perlu diteruskan tanpa rasa gentar! Saya hairan melihat bangsa Melayu pada masa ini menjadi semakin pengecut! Anggaplah perjuangan ini suatu jihad kerana kita bukan sahaja mempertahankan bahasa Melayu, malahan saya percaya kita sedang mempertahankan maruah agama! Mana mungkin bangsa Melayu boleh berbangga jika bahasanya (yang diperturunkan oleh Allah!) sedang menuju ke arah kepincangan. Sedikit demi sedikit bahasa ini dipancung, diperlekeh dan dipersendakan oleh mereka yang tidak memahami hakikat kewujudan pelbagai bangsa dan bahasa manusia di muka bumi. Teruskan bersuara demi martabat bangsa, bahasa, dan agama. Ya, Allah, berikan kekuatan kepada kami untuk mengembalikan hak bahasa Melayu untuk bersuara!

Azhar Salleh
http://witra.blogspot.com