i
Entahlah saya sendiri tidak ketahuan kenapa saya sukar berfikir dan menulis tiga atau empat hari ini sejak saya melepaskan kemarahan saya kepada GAPENA. Mungkin Allah ingin memberikan peringatannya kepada saya bahawa itulah balasannya jika kita tidak berterima kasih kepada guru. Apabila saya fikirkan kembali memang ada betulnya sebab sebahagian besar pemimpin GAPENA adalah pensyarah di UM; makanya juga mereka itu adalah bekas guru saya.
Walau bagaimanapun, saya juga punya prinsip yang perlu dipertahankan. Itu tidak bermakna saya menderhaka kepada guru-guru saya yang terlalu banyak membentuk peribadi saya. Saya selalu berterima kasih dan menghormati kebitaraan mereka sebagai guru, tetapi saya tidak sanggup berhadapan dengan tanggapan bahawa guru saya adalah manusia yang sanggup mengadai maruah bahasa dan bangsa. Maafkan saya, tuan guru.
ii
Rasulullah s.a.w, dalam urusan memohon perlindungan daripada hal keduniaan ini, sering menganjurkan kita berdoa sebagai mana doa di bawah:
"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada empat perkara iaitu, hati yang tidak khusyuk , doa yang tidak didengar, jiwa yang tak puas, dan ilmu yang tak bermanfaat. Dan aku berlindung kepadaMu daripada golongan mereka yang empat macam itu." (At-Tirmidzi dari Ibnu Umar).
Doa ini saya temui dalam buku 'Akidah dan Suluk dalam Tasawuf: Antara Keaslian dan Penyelewengan' tulisan Dr. Abd Al-Fattah Ahmad al-Fawi daripada Universiti al-Qahirah. Oleh itu, saya perlu menjadi seorang yang mandiri dan perlu dijauhkan daripada empat golongan manusia tersebut supaya saya boleh menjadi manusia yang diterima Allah pada akhirnya.
Saya melihat antara sebab kenapa pemimpin kita hari ini saling bercakaran dan bernafsu duniawi yang rakus kerana mereka masih tidak menemui 'hati yang khusyuk' dan 'jiwa yang puas'. Kegagalan itu menyebabkan mereka menjadi rakus dan terlupa akan hari pembalasan mahupun panasnya neraka.
Saya perlu mengingatkan diri saya bahawa kematian tidak boleh diawal mahupun dilewatkan walau sesaatpun. Saya perlu bersedia untuk menghadapi maut kerana saya rindukan syurga Allah yang damai dan indah itu.
Maafkan saya, tuan guru; tetapi itu tidak bermakna saya menyokong perjuangan tuan guru. Izinkan saya memilih haluan sendiri kerana saya perlu kembali ke asal diri dengan membawa prinsip tegas bahawa bahasa dan bangsa saya adalah Melayu yang satu tidak dua dan tidak boleh ditigakan.
2 ulasan:
Salam.
Tuan Haji,
biasalah tu jika berbeza pendapat. Kalau boleh, kita elak, tetapi nampaknya tiada pilihan.
Sedangkan Sayid Qutb dikatakan pernah mengkritik gurunya yang juga ilmuan terkenal, Abbas Mahmud 'Aqqad.
Din,
akhirnya itu sahaja ruang yang mereka ada untuk mencari makan, kuasa dan yang bersangkut paut dengan RM.
Doa sahaja Din, agar kita tak seperti mereka bila usia kita seusia mereka.
jangan putus asa Din. Yakin!
Catat Ulasan