Jumaat, 2 Januari 2009

MENJAWAB BEBERAPA PERTANYAAN

Salam 5 Muharam.

Saya jarang ingin menjawab atau mengulas pertanyaan/ catatan kecil yang masuk ke kotak bicara blog saya ini. Memandangkan beberapa pandangan yang dilontarkan itu sedikit keliru dan menyesatkan, maka saya perlu menjelaskan sedikit kekelituan itu.

Sdr. Kamikaze (yang Melayu tidak, Arab tidak dan Jepun pun tidak),
Saya akui bahawa Bahasa Arab adalah bahasa syurga, bahasa al-Quran dan bahasa yang akhirat. Sementara bahasa Melayu hanya bersifat duniawi sahaja. Nah, cuba bayangkan apakah yang akan terjadi jika bahasa duniawi itu ditindas sebagaimana negara Iraq, Palestin dan mana-mana dunia yang mengadaikan maruah bahasa dan bangsanya hari ini? Bolehkah kita sama merasa nikmat hidup yang selesa? Kehidupan dunia adalah jambatan keandian hidup di akhirat. Jika di dunia kita tertindas, sejauh manakah kita dapat meningkatkan keimanan untuk akhirat? Di negara itu, bukan sahaja bahasa malah lebih daripada itu sama-sama kita dapat lihat masjid, hospital dan rumah kediaman dibom, dihancurkan dan dimusnahkan. Tergadainya maruah bahasa maka akan bermula detik awal kepada kemusnahan sebuah negara. Saksikan sendiri 10 tahun daripada hari ini jika kita terus-terusan menyokong penjajah. Itu sebab, Jepun, Korea, China dan Rusia tidak memberi ruang atau berkompromi kepada Barat.

Ingin saya bertanya kepada kamikaze, apakah kelemahan sistem pendidikan sebelum ini? Bukankah dengan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu, kita boleh belajar hingga ke menara gading dan menikmati peluang belajar di luar negara? Lemahkan sistem itu? Malah kita berbangga kerana dapat berinteraksi dengan orang barat bahawa BM adalah bahasa ilmu tinggi yang dapat membawa saya ke UK, Eropah, Jepun, atau mana-mana IPT hebat dunia. Itulah kebanggan saya ketika belajar di sana suatu waktu dahulu, meski pun dalam tempoh waktu yang singkat. Ketika berinteraksi dengan sarjana barat dan timur tengah; mereka menyokong dan menyanjung sistem pendidikan negara kita ketika itu, yang katanya, "beruntung sdr berada di dalam sebuah negara yang memartabadkan bahasa ibunda. " Kesan daripada sistem pendidikan itu, kita dapat melahirkan lebih ramai orang Melayu yang berjaya dan berjati diri Melayu.

TERUS TERANG SAYA JELAS BAHAWA HANCUR BAHASA BERMAKNA HANCURLAH BANGSA.

Cikgu BI: maaf jika bermain dengan tanggapan mengejar kebendaan. Jika ini perkiraan Cikgu BI, saya doakan selamat menempuh kekayaan dan berpindahlah ke England kemudian juallah segala harta dan khazanah Melayu yang ada. Rakan-rakan cikgu BI di sekolah akan cepat kaya dan disanjung oleh mereka. Pilihan di tangan rakan-rakan cikgu; jika kebendaan yang mereka cari tentu mereka akan mendapatnya. Selamat menjadi jutawan dengan mengadai maruah bahasa dan bangsa. Saya doakan cikgu-cikgu yang berfikiran mengejar kebendaan itu akan berjaya.

Budak t3: Sebagai pendidik, saya sedar BI itu penting dan saya tidak pernah menafikan bertapa pentingnya BI dalam bidang ilmu. Cuma saya kecewa dan sedih apabila KPM tidak tahu membezakan fungsi BI itu sebagai bahasa komunikasi atau bahasa ilmu? Menyokongnya bermakna saudara mengakui kebodohan yang berterusan.

Omar dan Sarip: Saya ingin bertanya secara jujur kepada saudara, adakah bangsa asing di negara kita mengguna pakai bahasa Melayu secara seikhlasnya? Kenapa kita beriya-iya ikhlas dengan mereka sedangkan mereka menikam kita dari belakang? Begitu juga halnya dengan penjajahan Inggeris, setelah 50 tahun merdeka, rupa-rupannya saudara Omar masih tidak faham jeritan "merdeka! merdeka! merdeka!" yang dilaungkan pada setiap kali tanggal 31 Ogos itu. Apa maknanya berfikiran secara positif jika terang-terangan dasar itu salah.

ii
Tanyalah kepada orang yang bijak pandai dalam bidang pendidikan (profesor atau bitara ilmu), semuanya akan bersetuju bahawa bahasa ibunda adalah bahasa terbaik dalam proses pembelajaran. Bahasa asing (bahasa kedua atau bahasa ketiga) adalah pelengkap kepada proses perkembangan ilmu.

iii
Seperti yang selalu tegaskan sebelum ini, bidang pendidikan bukan sesuatu yang boleh dipolitikkan, dirasuahkan, diremehkan, disendaguraukan atau diperkotak-katikkan. Bidang pendidikan adalah bidang ilmu yang bertujuan untuk memberi kepandaian kepada manusia, untuk menjadi manusia berpengetahuan dan dapat mengarungi kehidupan masa depan yang lebih baik.

iv
Saya tidak mahu menjadi bangsa yang terhegeh-hegeh mendaulatkan bahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu (bahasa saya) sudah terbukti mempunyai kekuatan tersendiri. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa penjajah suatu waktu dahulu. Hari ini, kenapa kita tiba-tiba takut dan menafikan kehebatan bahasa Melayu?

Jika jalan menyerah ini yang kita pilih, bermakna SELAMAT MENUNGGU KEHANCURAN MELAYUKU.

Maafkan saya kamikaze, budak t3, Omar dan Sharif. Terima kasih juga kepada yang lain kerana sudi membaca dan memberi sokongan.

Salam sebuah hijrah.

1 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Saudara Sham yang amat saya hormati,
Saya percaya bahawa usaha saudara mempertahankan pendapat tentang dasar bahasa di negara ini perlu disokong. Jangan biarkan orang Melayu yang berlagak, macam pandai sangat dalam BI, terus tersesat jalannya! Teruskan perjuangan saudara. Daripada pendapat mereka yang sempat saya baca sepintas lalu, saya percaya bahawa mereka tidak faham erti perjuangan bangsa. Mereka tidak tahu makna jati diri. Masihkah mereka itu berbangsa Melayu?