Selasa, 10 Mac 2009

DI BAWAH REJIM 'LAKNATTULLAH'


SAYA mungkin tidak selayaknya berbicara tentang perjuangan PPSMI setelah gagal ikut serta dalam perarakan GMP 100,000 rakyat membantah PPSMI. Maafkan saya teman-teman. Tetapi sedarlah bahawa jauh di sudut hati kecil saya ada rasa kehibaan dalam kekesalan; kecewa dalam penyesalan dan macam-macam perasaan yang berkecamuk.

Seusai kursus 'dipenjarakan' dalam konteks akademia; saya pulang semalam dengan penuh keletihan fikiran. Gerakan 'Mentaltoucher' yang saya lalui benar-benar meletihkan. Semalam juga sewaktu cuti sambutan Maulidul Rasul saya menghabiskan waktu dengan tidur dan hanya bangun untuk solat sahaja tanpa punya selera untuk makan dan minum. Bayangkan pintu bilik saya diketuk dan saya dikejutkan pada jam 2, 3, dan 4 pagi hanya semata-mata untuk mengisi maklumat peribadi yang panjanganya sekitar 10 halaman dengan huruf bersaiz 8 dan berjarak langkau sebaris. Apabila ditanya berkali-kali, "bukankah tadi saya dah isi?" Jawapan mereka, "tadi saudara isi borang ini dengan siapa? Bukan dengan sayakan?" Itu hari pertama. Hari kedua, saya solat di bawah pokok sebab tandas bilik tersumbat dan berbau. Hari ketiga, seharian saya disuruh menyanyi hampir 300 lagu. Kata mereka, "inilah cara untuk melepaskan stress." Hahaha, muluk sekali bunyinya kursus itu. Macam sedang bermimpi di siang hari atau hanya sekadar lakonan sahaja. Itulah ciptaan dalam rekaan. Cuplikan dalam ciplakan. Juga gurauan dalam keseronokan.

Berbalik kepada perjuangan GMP. Meski saya kecewa kerana tidak dapat mengiringi, tetapi pada saat itu saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar menyelamatkan rakan-rakan yang turun padang dan memberikan infak syurgawi atas perjuangan ini.

Malam tadi, setelah berasa sedikit segar; saya menyusup masuk ke blog teman-teman dan menyelongkar semula kisah 7 Mac 2009 tu. Ya Allah, bertapa tidak profesionalnya anggota polis dan FRU negara kita. Adakah gerakan aman itu menimbulkan kekacauan jenayah? Berapa ramaikah anggota FRU atau polis yang terkorban? Berapakah ramaikan rakyat yang menyertai GMP itu membawa senjata api, parang, keris atau lastik? Berapa ramaikah juga anggota polis atau FRU itu yang dibaling batu? Sebaliknya, apa yang dilihat ialah SN A. Samad Said, Dato' Hassan Ahmad dan lain-lain warga tua yang memperjuangkan nasib bahasa dan khazanah bangsa mereka sendiri itu disembur dengan air berkimia dan gas pemedih mata. Inilah yang dikatakan 'rejim laknatullah'! Saya hanya dapat melihat gambar orang Melayu yang berpakaian jenama PKR, PAS dan bebas. Di manakah orang Melayu UMNO? Adakah orang Melayu UMNO tidak mengguna pakai Bahasa Melayu dalam kehidupan harian mereka? Hebat sungguh golongan Melayu ini rupa-rupanya? Jika begitu, saya ingin mencadangkan agar akronim UMNO digantikan sahaja dengan UEMNO (United English Malays Nation Organisation).

Saya punya pendirian yang tegas. Penentangan PPSMI bukan bermakna saya menentang BI. Saya perlu menguasai BI untuk menjadikan saya hebat dalam bidang akademik. Saya belajar dan saya menghabiskan ratusan ringgit untuk menduduki 'A-Level' bagi melayakkan saya memiliki Ph.D. Saya akur kerana saya ingin duduk setanding dengan barat dan mengambil kesempatan mengisi kekosongan dalam bidang kerjaya. Saya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran BI yang mendalam untuk menjadi wakil jabatan ketika membentang kertas kerja di luar negara. Dan, saya menyiapkan diri dengan BI untuk menguasai karya-karya barat yang kononnya hebat.

Tetapi, persoalannya kenapa saya menentang PPSMI? Lihatlah SN A. Samad Said, Dato' Hassan Ahmad, Dato' Baha Zain, Prof. Shahril, Prof Abdullah Hassan, Prof Awang Sarian dan lali-lain itu. Penguasaan BI mereka amat luar biasa. Tetapi, kenapa mereka juga menentang PPSMI?

Bahasa Melayu adalah khazanah dan warisan bangsa Melayu. Menyokong PPSMI bermakna kita menyokong usaha pembunuhan kekuatan dan kehebatan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah terbukti berjaya menjadi bahasa ilmu dan bahasa tamadun Melayu suatu waktu dahulu. Menyerah kepada BI atas konsep persaingan globalisasi dengan mempertaruh dan mengadaikan nasib Bahasa Melayu adalah satu kesilapan maha besar. Sudahlah nasib tulisan jawi dikuburkan dengan sewenang-wenangnya, kini bahasa Melayu pula ingin dikorbankan?

Sejarah tidak boleh didustai. Tetapi, apabila kita berada di bawah kuasa rejim laknatullah ini, usaha untuk menghapuskan sejarah tamadun Melayu sedang dilakukan. Mereka para juak itu berpendapat bahawa untuk maju dan berdaya saing kita perlu menguasai BI. Ini semua adalah alasan-alasan yang memalukan dan amat bodoh. Jika Bahasa Melayu benar-benar lemah, kenapa ketika Tun Razak mewajibkan pengajaran dan pembelajaran dalam BM sepenuhnya di seluruh peringkat bermula awal 80-an itu berjaya melahirkan ribuan sarjana Ph.D dan puluhan ribu pelajar yang dapat bersaing di luar negara? Malah hingga ada antaranya menjadi pelajar terbaik di Havard dan Oxford? Bukankah ini bukti kejayaan Bahasa Melayu? Bukti apalagi yang kita mahukan?

Ya, inilah selingkar kisah di bawah 'rejim laknatullah'. Rejim ini telah mengulangi kisah 'Singapura dilanggar todak'. Kisah Hang Nadim dibunuh kerana kepintarannya telah berulang kembali. Siapakah Hang Nadim itu pada hari ini? Hang Nadim ialah anak-anak muda yang bijaksana dan mula memprotes sikap peribadi pemimpin yang sanggup merompak, menggadai, menjual bangsa, makan rasuah dan menjadi hamba sex demi mempertahankan kekuasaan politik kepartian. Mereka menjadi jalang dan rakus tanpa memikirkan nasib bangsa 10 atau 5 tahun bermula hari ini.

Pada saat negara-negara maju mula kembali kepada akar tradisi seperti Jepun, China, Jerman, Perancis, Itali; kita pula sebaliknya. Ketika kita ingin memboikot barangan Amerika; kita pula menyanjung bahasa mereka. Ketika kita bercakap soal ketuanan Melayu dan kedaulatan raja-raja; kita menafikan hak bahasa dan tamadun kita sendiri.

Ketika kita bercakap soal Islam yang syumul; segelintir pemimpin kita menjadi perwaris kepada rejim laknatullah itu.

Inilah nasib bangsa Melayu di bawah naungan segelintir 'rejim laknatullah'. Mereka adalah 'dalang di dalam dalang'.

Salam dari kejauhan. Jumpa lagi.

Sila berkunjung ke www.kawat.blogspot.com untuk membaca satira "Rupa-rupanya Dato Haah Hanya Posmen." Tuan Tanah, sejak bila pandai bersatira?

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan,
Jgn bagi jenama PAS, PKR dan bebas pada para mujahid (petik kata MatSaleh) 7 Mac 2009 itu. Sprt saya, sbhgn besar ahli UMNO juga menentang PPSMI. Penentangan PPSMI ini bukan agenda politik tapi agenda Melayu. Pd sy UMNO tak salah, para pemimpin UMNO skrg yg salah. Maka pemimpin ini yg kita kena tolak, bukan UMNO.

Hapuskan PPSMI.

Salam hormat.

Tanpa Nama berkata...

Tuan,
Oh ya. Yang tuan alami tu "Mental Torture". Kira kena "brainwash" la ye. Agaknya, para pemimpin kita hanya mahu Pak Turut sahaja yg berada dlm kerajaan/GLC/IPTA kita ini. Mcmn nak maju? Kritikan membina diambil secara negatif. Malang sekali.

Tanpa Nama berkata...

Salam sdr Shamsudin;

Saya pun gagal ke sana kerna urusan keluarga di sini.Namun hati dekat dan melekat di sana. Ada banyak cara untuk kita perjuangkan bahasa dan khzanah bangsa. Berdoa dan bermuhasabah diri perlu diteruskan walau di mana. Yang Dia Yang Maha Mengetahui...

MARSLI N.O berkata...

Selepas usai rasa sedih dan dihina dari hati, aku sendiri ketawakan mereka yang tidak pandai untuk mengasihani dirinya yang memilih bodoh dan sombong sendiri itu.

ekspresi berkata...

sabar din...

Tanpa Nama berkata...

Ditempatkan untuk mengajar di selatan tanah air, dan ditambah dengan lambakan tugas yang perlu diselesaikan membuatkan saya juga gagal ke perhimpunan itu. namun, doa kudus tetap dipanjatkan agar api perjuangan mendaulatkan BM sentiasa subur di dalam hati..