Khamis, 5 Mac 2009
INILAH NAFAS DARI JERIH PERJUANGAN
SAAT yang menyedihkan saya seakan bermula. Esok (6-8 Mac 2009) saya telah dipilih oleh pihak universiti untuk menghadiri kursus wajib Bina Semangat di Negeri Sembilan. Saya bukan ingin menolaknya tetapi pertanyaan saya kepada pihak pendaftar ialah kenapa saya yang dipilih dan kenapa tarikh itu? Saya minta dikecualikan dengan alasan akan terlibat dalam satu agenda bersejarah negara pada 7 Mac. Jawapan yang saya terima ialah tiga perkataan yang amat menyedihkan iaitu, WAJIB TANPA ALASAN.
Saya merenung jauh saat menerima alasan itu. Saya terbayangkan bagaimanakah nasib perjuangan rakan-rakan senior seperti Dato Baha Zain, Dato Hassan Ahmad, Pak Samad Said, orang GAPENA dan lain-lain itu nanti? Tentu mereka akan bermain dengan air mata yang akan menjadi sejarah di tanah air ini.
Saya sendiri tidak faham, pemikiran apa yang sedang bermain di dalam benak pemimpin UMNO hari ini? Soal PPSMI bukan soal politik kepartian. Ini bermakna, UMNO, PAS, PKR, DAP yang berbangsa Melayu perlu bergabung tenaga menyatakan kesalahan yang termaktub dalam Perlembagaan.
Sebentar tadi dalam siaran AWANI (501) satu siaran khas tentang PPSMI diadakan secara langsung. Malang sekali, tetamu yang diundang masih menyatakan sokongan terhadap PPSMI dengan alasan yang mentah, dangkal dan tidak masuk akal iaitu;
1. PPSMI adalah untuk anak-anak kita yang bakal bersaing dengan globalisasi
2. PPSMI mendapat sokongan padu daripada lebih 2000 persatuan PIBG seluruh Malaysia
3. PPSMI telah berjaya membuktikan kejayaan cemerlang setelah melepasi satu pusingan
4. Rata-rata pelajar luar bandar telah dapat berkomunikasi dengan baik dalam BI yang
seterusnya menjadi tanda kejayaan program ini.
5. Agama Islam tidak melarang P&P dijalankan dalam BI malah rasulullah pun mengharapkan
agar orang Arab belajar hingga ke negeri china
6. Anak Melayu perlu bekerja dan mencari rezeki di luar negara supaya dapat menimba
pengalaman sebanyak-banyaknya.
Itu antara alasan yang diberikan oleh para tetamu udangan. Soalnya, kenapa AWANI tidak menjemput sama Pak Samad, Dato' Baha Zain atau Dato' Hassan Ahmad? Atau sekurang-kurangnya juga menjemput para pendidik yang menjadi pelaksana kepada dasar PPSMI ini.
Inilah yang dikatakan oleh bitara Melayu sebagai 'kerja gila babi'. Ada akal letak di kepala lutut; ada nafsu berjiwa besar tapi terlupa tubuh kecil; ada fikiran tetapi diguna untuk merompak dan menyamun; ada gagasan tetapi terlupa gagasan itu berundur ke belakang; ada kuasa tetapi kuasa itu diguna untuk membinasa.
Saya selalu bertanya, kenapa pemimpin UMNO menolak mentah-mentah gagasan Tun Razak yang terbukti berjaya dan telah terbukti dapat melahirkan bijak pandai Melayu? Dan, saya tertanya-tanya juga, bijaksana sangatkah Tun Mahathir itu sehingga merasakan bahawa dengan menguasai BI itu, rakyat Malaysia akan dapat bersaing dengan negara dunia pertama? Dua pertanyaan ini masih belum terjawab sepenuhnya.
Salam kemaafan rakan-rakan seperjuanganku, saya tidak dapat ikut serta dalam gerakan 7 Mac ini, tetapi percayalah, saya akan sentiasa berdoa agar Allah SWT membuka hati pemimpin kita yang sekian lama buta, pekak, bodoh akibat kejahilan terhadap maruah bahasa dan bangsa. Mereka perlu keluar daripada landasan yang sesat lagi menyesatkan itu.
Ayuh, ayahanda, paman, rakan-rakan dan adik-adikku, teruskan perjuangan ini tanpa mengenal rintih dan pedih.
Salam rindu dengan iringan doa.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Tuan,
1. Media yang diberikan lesen oleh KERAJAAN UMNO/BN CXXXKX akan 'dipaksa' untuk bertindak dan menyampaikan hujah CXXXKX dalam konteks PPSMI ini..., itu mainan paksaan yang semua rakyat faham.
2. Apatah lagi jika media yang dikawal langsung oleh UMNO CXXXKX akan lebih 'hebat dan ganas' untuk berhujah secara CXXXKX terhadap penentangnya(ya... lihat dan baca sahaja TV3 dan UM).
Sekian.
rar/
Catat Ulasan