Jumaat, 13 Mac 2009

MEREKA YANG TIDAK MENGENALI PELANDUK DUA SERUPA



SALAM,
Keadaan memaksa saya menulis dengan menggunakan kata ganti nama 'aku'. Keadaan juga mengajar aku menjadi kurang ajar setelah puas berhalus dan menyusun hemah. Inilah yang dikatakan ular menyusup akar tak akan hilang bisanya.

Kisahnya begini.

Ada sebuah negeri bernama Youpiem yang terletak tidak jauh dari ibu kota. Negeri ini merupakan gedung ilmu pinggiran yang warganya boleh dikatakan elit, berpendidikan dan mesra pengguna. Negeri ini dikepalai oleh seorang bijaksini yang luas pengetahuan tentang hal-hal pertanian, penternakan dan alam sekitar. Menurut kisahnya, dia bergelar doktor falsafah dalam jurusan vetarina dan pakar dalam hal-hal kebinatangan khususnya babi.

Berbalik kepada cerita aku pula. Aku seorang anak kampung yang diterima untuk berkerja dengannya. Tetapi tugas aku bukan sebagai penggembala babi atau anjing. Aku diberikan tugas untuk menjadi penyemai benih rumput sahaja. Dengan sedikit nama yang bergelar dan sedikit kepandaian menulis, makanya nama aku sering disebut-sebut oleh penduduk kampung Youpiem itu. Tak kiralah anak-anak muda mahupun pekerja berstatus PAR hingga ke Dr. Mereka lebih mengenali aku dengan nama 'budak kampung' sahaja. Tak apalah, sebab akupun bukan kisah sangat dengan nama dan gelaran.

Dipendekakan cerita; pada suatu hari aku dipanggil mengadap boss aku itu. Aku yang menerima jemputan khas itu gegas bersiap-siap dengan blazer, tali leher dan berkasut kulit 'clark' yang sempat aku beli ketika berkunjung ke Auckland, NZ. Maklumlah untuk bertemu boss yang paling berkuasa aku harus mengenakan pakaian yang beretika meskipun pada dasarnya aku benci dengan protokol.

Tepat jam 10.23 pagi, aku berada di depan pintu bilik boss aku, menanti dipanggil masuk kerana aku difahamkan ada hal yang benar-benar mustahak akan dibincangkan. Lebih kurang sepuluh minit menunggu, aku dipanggil masuk oleh seorang jejaka ala inggeris. Dia merenung dalam wajah aku sambil melihat gambar yang tertera pada kertas di tangannya. Ada kedutan di dahinya. Dia melihat aku melangkah penuh hemah masuk ke dalam bilik mewah itu. Aku merenung ke kiri dan ke kanan. Di set sofa sebelah kanan, aku dapat melihat lima orang lagi yang lengkap bertaksido.

Salam aku memulakan perbualan kami. Aku dipersilakan duduk di kerusi bukan sofa yang jaraknya hampir empat depa daripada sofa tersebut. Boss aku bangun sambil membelek-belek gambar di tangannya. Gambar itu diberikan kepada lelaki bertaksido pertama yang paling hampir dengannya. Gambar itu bergilir tangan hinggalah kepada lelaki kelima. Mereka saling berpandangan seakan-akan menyembunyikan sesuatu daripada aku. Aku tidak berkata apa-apa dalam jangka waktu yang penuh bermakna kecuali salam tadi.

"Che Shamsudin Othman, ini gambar siapa?"

Aku merenung gambar yang ditunjukkan. Sekali imbas aku sudah dapat meneka orang yang dimaksudkan itu kerana orang yang dimaksudkan itu sering bersembang dan duduk bertazkirah tentang sastera dan siasah negara.

"Itu gambar kawan saya. Namanya Che Shamsudin Othman, seorang penyair, penulis, teateris, dan baru-baru ini dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh UUM. Kenapa tuan?" Tanya aku bersahaja.

"Kami dapat aduan bahawa Che Shamsudin Othman terlibat dalam rusuhan di Masjid Negara pada 7 Mac 2009. Malah dalam akhbar dan berita hari ini, nama saudara dikehendaki untuk membantu siasatan polis. Nama saudara sebaris dengan A. Samad Said, Hassan Ahmad dan lain-lain. Hebat sungguh saudara ni? Saudara dituduh menjadi perancang gerakan itu. Betul ke?" Tanya lelaki bertaksido ketiga.

"Tuan, bukankah pada tarikh kejadian itu, tuan mengarahkan saya untuk menghadiri kursus Biro Tatanegara di Kem Komando, PD? Lima hari saya di PD tuan. Terseksa jiwa dan raga. Termasuklah pada hari bersejarah itu saya masih di sana. Sayang sekali, saya tidak dapat ikut serta dalam peristiwa penuh bersejarah perjuangan orang Melayu abad-21 ini tuan."

"Manalah tahu..., awak lari daripada kursus itu." Pintas lelaki bertaksido keempat yang masih memegang gambar Che Shamsudin Othman.

"Saudara menyamar ke? Pakai jambang dan pakai sarung kepala, nampak macam botak. Lepas tu pakai cermin mata lagi untuk mengelirukan polis." Sampuk lelaki bertaksido kedua yang diam sejak tadi.

"Tuan, nama saya Shamsudin bin Othman. Orang dalam gambar itu ialah Che Shamsudin Othman. Nama kami hampir sama. Lelaki dalam gambar itu lebih dikenali dengan nama Dinsman, tuan."

Diam memenuhi kamar mewah yang layakknya dipanggil istana Youpiem. Tiada sebarang suara yang terlontar daripada mulut kami. Hanya bunyi angin daripada penghawa dingin sahaja yang berdesir di telinga aku.

"Kita tersilap orang. Macam mana laporan ini?" Tanya boss aku semberono dalam serba salah yang jelas.

Dia melihat jam di tangannya. Dekat jam 11. Sekejap lagi waktu solat jumaat kian hampir.

"Shamsudin, awak dah makan ke belum? Petang nanti kami ada mesyuarat. Jom, kita makan sama-sama. Hari ini saya belanja makan nasi beriyani gam." Pertanyaan dan pelawaan itu datang bertubi-tubi sekali gus.

Belum sempat aku menjawab tiba-tiba terasa bahu kanan aku disentuh. Lelaki bertaksido yang duduk di sofa ketiga tadi mengukir senyuman. Bahu aku ditepuk berkali-kali.

"Jom, apa tunggu lagi. Boss nak belanja makan." Dia menyambung pelawaan boss aku.

Dalam perjalanan ke kedai makan nasi beriyani gam di pinggir bandar pentadbiran negara berharga 60 bilion itu aku segera meng'sms' rakan-rakan sebumbung PENA, termasuklah bekas dosen aku ketika aku menjadi mahasiswa di UM dulu.

Aku tahu, dosen aku itu bimbang dengan tindak tanduk aku. Malah dia selalu menasihati aku supaya berhati-hati dan jangan terlalu radikal. Tapi, entahlah. Aku tidak tahu kenapa aku agak liar sejak dua menjak ini, apatah lagi tentang isu bahasa dan bangsa Melayu yang kian dimangsakan oleh politikus Melayu.

Tetapi ada satu jawapan sms yang paling menarik daripada rakan penulis yang amat akrab dengan aku. Dia menulis begini, "Tuan syeikh jentik aja telor boss tu."

Sms pendek itu berjaya mengubati hati marah aku. Di dalam kereta Mercedes E320 milik Youpiem itu, aku senyum sendirian apabila membaca sms yang bertali arus masuk ke dalam telefon bimbit. Telefon bimbit juga berdering. Paparan nombor 0340265555 tidak aku jawab kerana boss aku sibuk bertanya aku tentang negeri jajahannya, Youpiem. Ketika rancak berbual di dalam kereta mewah itu, aku berdoa agar rakan yang menelefon aku tadi tidak kecil hati kerana aku tahu sebagai penyair sufi, dia tidak pernah marah-marah atau cemburu. Di dalam hatinya ada seribu sifat cinta dan rindu yang maha romantis.

Ketika menjamu seleras nasi beriyani gam ayam kampung, aku memberanikan diri untuk bertanya kepada boss aku,"kenapa tuan ingin berjumpa saya?"

Boss aku tidak menjawab kemuskilan aku. Begitu juga dengan kelima-lima lelaki yang bertaksido di kiri dan kanan aku. Mereka yang seperti tidak mendengar pertanyaan aku itu terus meratah ayam kampung, ulam petai, dan keropok papadem. Seperti biasa juga, aku yang tidak banyak berkata-kata itu menghabiskan makanan yang terhidang sambil telinga merakam perbualan mereka tentang isu-isu semasa termasuk kedudukan negara Youpiem yang mula tergugat untuk pencalonan negara 'Apex'.

Begitulah, selingkar kisah 'mereka yang tidak mengenali pelanduk dua serupa'.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam cikgu..
Saya pun terkejut apabila nampak nama cikgu tertera di laman web HarakahDaily. Rupa-rupanya, hanyalah pelanduk dua serupa. Teruskan perjuangan mempertahankan bahasa ibunda kita..

(ashraf@joe-Pelajar Sekolah Alam Shah SPM2002)

Rozlan Mohamed Noor (RMN) berkata...

Pelanduk dua serupa yer...emmm, agaknya dalam negeri yg tuan maksudkan itu juga sedang ada rusa masuk kampung. Terpinga-pinga!

Korakora berkata...

patut mengaku saja, "ya mmg sayalah tu, saya menyamar org tua yg botak dan berjambang. kadang-kadang saya menyamar seperti tuan juga kerana di rumah saya, ada topeng muka tuan yg tak hensem tu. sekali sekala saya menyamar jadi menteri dan jumpa tuan tp tuan je tak sedar. maklumlah tuan, semua gaji saya guna utk beli makeup utk menyamar. dulu saya minat siri mission impossible!"

reaksi birokrat yg tanya tu mengesahkan pepatah, "kita takkan tahu dia pandai atau bodoh, kecuali lepas dia bercakap."

dlm kepala tu agaknya berserabut dgn khayalan liar. hah, menyamar berkepala botak? baik menyamr jadi brat pitt, takpun jadi barack obama. lagi glamer!

sinaganaga berkata...

Lain kali, kalau berlaku lagi perkara yang sama, minta mereka belanja makan di hotel 13 bintang!!!! Ha ha.

lutfi berkata...

Kui kui kui. Ni betu-betul dunia tanpa fiksyen. Ni betul lawak yang paling lawak dalam kategori bukan lawak.
salam

Tanpa Nama berkata...

Tuan,
Agaknya, pemilihan nasi beriyani GAM adalah untuk menggam mulut tuan tetapi nampaknya mereka tidak berjaya. Jangan sampai keadaan sekeliling merubah diri dan prinsip kita.
Salam hormat.

Tanpa Nama berkata...

Alamak tuan, mereka tidak dapat gam mulut tuan jadi mereka dah blok blog tuan ye? (merujuk komen tuan dalam blog Lutfi). Buat je blog baru, kami akan tetap mengikutinya. Jangan putus asa. Perjuangan masih jauh daripada selesai. Hidup Melayu yang berbahasa, beradat, berilmu dan bertammaddun Melayu! Bukan jadi seperti Melayu Afrika atau Melayu Cape Cod yang hanya tinggal berketurunan Melayu tetapi hilang segala-galanya. Tetapi itulah agaknya yang sebahagian besar orang kuat politik kita mahu. Mereka ini masih buta. Kita mesti celikkan mereka atau ganti sahaja dgn yg lain (PAS sahaja alternatifnya sbb yang lain, langsung tak boleh diharapkan) dgn kuasa yang kita ada nanti (PRU13), jika mereka masih terus-terusan buta, membuta atau dibutakan. (Berat untuk saya katakan ini kerana saya ProBN tapi sekarang terlalu sedih dgn tindak tanduk mereka. Ingatkan selepas PRU12 mereka akan celik, rupa-rupanya bertambah teruk, terus buta bagai dicucuk garpu Kassim Selamat! Tak boleh diubat lagi! Buta mata boleh tahan lagi, ini buta hati. Parah. Saya sedih, sesedih-sedihnya.)

Wallahualam.

D'Rimba berkata...

kami rakyat saya percaya tidak mengharap setakat itu saja tuntutan keadilannya malah lebih dari itu buat permulaannya. kami mahukan dasar pendidikan negara dikembalikan sepenuhnya seluruh tadika hingga ipt2 bukan ipts sahaja seluruh negara laksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tanpa berlengah mahupun alasan pelbagai rupa. Tiada alasan pada masa sama juga setiap pusat pendidikan negara tubuhkan PUSAT PENTERJEMAHAN ILMU bagi menterjemahkan seluruh ilmu dalam bahasa Melyu itu sendiri dan memastikan nilai2 Islam dan Melayu itu sendiri diterapkan setiap ilmu yang diterjemahkan. Saya harap jika benar cadangan ini bermanfaat saya amat berharap pihak berkaitan dapat mengemukakan ke pihak yang sewajarnya untuk kami anak bangsa bermaruah dan lebih rela maju dengan acuan tersendiri berteraskan Islam sejati bukan barat sana sini seperti sekarang ini.

SATIRA + KACAU berkata...

Kerana kausanggupi juga belanja makan itu, kira macam kau pun kena beli jugalah. Kalau ditolak sahaja pelawa tidak ikhlas itu kan saudara akan menjadi dan kelihatan lebih berwibawa.

Tanpa Nama berkata...

yelah, saya pun tertanya-tanya kenapa tn. hj tidak menolak pelawaan plastik itu. seolah-olah mudah sahaja dikonon-kononkan..(maaf ye tn. hj.)