Jumaat, 10 April 2009

SEPERTIGA MALAM DI MADINAH PARK


SEPERTIGA MALAM DI MADINAH PARK

Tika usia dihunjung mimpi
sebuah masa lalu menjadi igau ngeri

Cerita silam silih ganti di dada malam
antara segunung dosa dan sebutir pahala
yang terhampar dalam kembara manusiawi.

Barangkali inilah yang teruja
saat menjejak tanah nabawi
dingin yang menggigit tulang
seperti semalu yang menusuk jantung iman
embun yang basah di hujung rambut
seperti zam-zam penawar dahaga.

Sepertiga malam di Madinah Park
gemerlap langit menjadi teman muhasabah
gemersik tahmid menjadi tiang insaf
dan aku lelaki di penghujung ini
tegar membawa seberkas janji
beriktikaf di rumah taubat
sambil membilang derai air mata
yang tumpah di lubuk maknawi.

Rabb,
kembaraku terasa jauh yang amat
meski batu dan udara syuhadah
meski pasir dan air aulia
amat dekat di kalbu
dan tergapai tangan.

Di sini aku mencari makna diriku
sang pencuri waktu yang kehilangan detik
lelaki penakut di medan jihad
juga sang penipu yang kematian bicara.

Sepertiga malam di Madinah Park
yang kulihat adalah malam penuh cahaya
meski tak berbintang dan bulan
sinarnya tak pernah kusam
malah gemerlapan selama-lamanya.

Ya Muhammad junjungan al-amin,
jika tuan bulan akulah pungguknya
jika tuan bintang akulah langitnya
jika tuan mawar akulah durinya.

Shamsudin Othman
Masjid Nabawi,
Madinah Park.

2 ulasan:

yus_anakmelayu berkata...

Assalamualaikum. Maaf mencelah. Terlalu jauh jika nak dibandingkan puisi saya dengan abang shamsudin. Saya baru sahaja cuba untuk menulis sajak dek kerana memenuhi tuntutan subjek menulis puisi oleh prof rahman shaari. Namun, lama-kelamaan terasa satu keseronokan bila menulis puisi. Bebas meluahkan rasa. sudi-sudikanlah melawat blog saya yang tak seberapa. Assalamualaikum.

Unknown berkata...

lelaki penakut di medan jihad

Saya lagilah tak pandai bersajak. Abang Syams tentu lebih tau dari saya. Okay, petikan sajak yang saya petik itu saya cuma nak argu dengan abang.

dua saya bagi pada abang, abang cuma boleh pilih satu.Ingat, satu sahaja.

Abang terus menerus jadi lelaki yang takut berjihad tetapi tetap berani berjuang lewat medan penulisan dan seni dengan anak-anak buah abang dengan parang iman.

atau, satu lagi.

Tapi yang ini agak radikal. Tetapi seorang tua berjambang putih itu telah melakukannya.

Bersajak, berjuang. Bukan memihak, tetapi berjuang. Bukan berpihak tetapi berjuang! Itulah Iqbal.

Tidak leka dengan syair khayali tetapi merubah dengan syair javidnya!