Khamis, 16 April 2009

'SUMPAH MELAYU' DAN SATU MALAYSIA



'SUMPAH MELAYU' yang saya petik di atas merupakan agenda Allahyarham Dato' Onn Jaafar. Ketika menatap kembali slogan indah ini, saya terpanggil untuk membanding beza antara slogan SATU MALAYSIA idea PM ke-6 dan 'MALAYSIAN MALAYSIAN' gagasan DAP yang menjadi serpihan parti hingga ini berjaya menerajui kepimpinan Singapura hari ini (rujuk sejarah penubuhan DAP).

Ketiga-tiga gagasan ini dilihat cuba mencorakkan kehebatan masing-masing; tetapi jika diperhalusi apakah perbezaan dan persamaanya? Saya tidak berniat untuk menulis panjang di dalam blog ini kerana kesuntukan masa dan beban rutin kerja. Sekadar membuka minda kita, cuba perhalusi secara tersirat kemudian carilah persamaan dan perbezaannya.

Saya mungkin salah atau terlalu dangkal berfikir. Sekurang-kurangnya saya membuka ruang dan tanggapan kepada masyarakat untuk merenung kembali gagasan itu.

Dari pihak saya, saya sentiasa berteka-teki, kenapa pemimpin-pemimpin ulung negara sebelum ini tidak menerima pakai sepenuhnya gagasan SUMPAH MELAYU Datuk Onn itu? Adakah sumpah itu hanya sebuah sumpah yang sekadar ingin mengaburkan mata rakyat atau sumpah yang seperti seekor sumpah-sumpah (baca boleh bertukar-tukar warna dalam keadaan tertentu).

Hari ini slogan SATU MALAYSIA mula meniti bibir rakyat. Apakah perbezaannya dengan gagasan DAP yang berjuang untuk menubuhkan negara bergelar MALAYSIAN MALAYSIA?

Saya akur bahawa dalam masyarakat yang berbilang kaum, semua tindakan dan percaturan perlu adil dan seimbang. Saya juga faham bahawa menjaga hati semua pihak tidak semudah yang dikatakan. Dalam hal ini, saya lebih suka menjadi seorang perenung daripada menjadi seorang pemikir.

Kata seorang sahabat saya yang kini menjawat jawatan penting di negeri kayangan. Katanya, "lebih baik melihat bulan mengambang daripada melihat dacing yang sengit sebelah."

Setiap malam. saya melihat langit itu dan berharap agar purnama segeralah muncul.

2 ulasan:

MARSLI N.O berkata...

Sdr SO: Tidakkah kita sejak lama dibuai dan diasak agar menerima segala slogan, saudaraku? Hingga soal kejatian serta keintian itu tidaklah sangat mereka peduli, asalkan tembolok sendirinya terisi.

Dan kita semakin mencari serta memilih sesuatu yang hakiki.

Tentu sahaja kau tidak perlu menjawab apa-apa reaksiku ini.

Marsli N.O

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
Konsep Satu Malaysia harus berdasar kukuh dengan SATU BAHASA, tetapi hingga setakat ini orang Pagoh dan Batu Pahat 'membisu' tentang PPSMI... kenapa? hanya terdengar skrip asal orang Sembrong sebelum ini yang diulang siar oleh orang Pagoh...