Kenangan-kenangan di kota singa bersama-sama rakan sepenyair dan pegawai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Berlatarbelakangkan bangunan The Arts House, Muzium Kampung Melayu, Kampung Glam; Masjid Sultan, dan di rumah Sasterawan Negara Singapura A. Ghani Hamid.
i
Bangunan The Arts House inilah yang saya maksudkan perlu ada di Malaysia. Bangunan ini menyatukan aktiviti kesenian seperti drama, seni lukis, sastera dan bahasa, aktiviti berbengkel, berseminar, ruang pameran, kedai buku dan muzium seni yang semuanya berada di bawah satu bumbung. Bukankah bangunan seperti ini model yang boleh dijadikan contoh meskipun bukan yang terbaik?
Ya, saya akui bahawa di Malaysia sudah ada Balai Seni Lukis, Istana Budaya dan DBP; persoalannya ialah bangunan itu tidak mengizinkan aktiviti kesenian yang merakyat. Bangunan-banbunan itu terlalu eletis sifatnya hingga mengundang prosedur kerja yang menakutkan. Malah lebih derita ialah bangunan-bangunan itu hanya layak untuk golongan bangsawan yang berkereta BMW, MB atau Porche. Di manakah kedudukan seniman dan sasterawan kecil seperti rakan-rakan saya yang benar-benar menghirup keringat keseniman tulen itu? Adakah mereka diberi ruang dan peluang untuk berapresiasi di Istana Budaya mahupun Balai Seni Lukis? Pernahkan kita mendengar Khalid Salleh atau Dinsman berteater di IB? Pernahkan kita mendengar pelukis jalan seperti A. Ghani Ahmad, Hj. Ponirin mendapat ruang pameran solo di BSL? Atau Roslan Madun dan Kopratasa berlagu puisi di IB?
Saya sedar akan falsafah 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'; tanpa menidakkan ketuanan negara sendiri, saya sebolehnya ingin berfikir dengan cara 'seni untuk masyarakat' bukan 'seni untuk bangasawan'.
Mungkin inilah yang dikatakan kembara seni; melihat dan menikmati sambil menelan pengalaman bangsa dan tamadun orang lain meskipun pahit.
ii
Ketika dalam perjalanan melintas bangunan Singapore National Library, saya dimaklumkan oleh Pak Masran (penulis Singapura) bahawa, perpustakaan ini merupakan salah satu perpustakaan terbaik dunia. Di dalamnya lengkap dengan koleksi manuskrip dan karya penulis Melayu (Malaysia-Singapura-Indonesia dan Brunei). Saya tidak berniat untuk membandingkannya dengan Perpustakaan Negara kerana saya pernah mencari novel 'Eno' karya Arena Wati setahun lalu di situ tetapi tiada, dengan iringan jawapan pegawai di situ ialah, "siapa Arena Wati? Dia ni penulis perempuan ke lelaki?". Bayangkan?
iii
Tanpa memperkecil negara saya dan bangsa saya yang majoritinya pemimpin 1Malaysia, saya suka berangan-angan untuk membina sebuah bangunan yang di dalamnya ada kesatuan marga seni. Saya teringat kumpulan 'Anak Alam' yang hebat taraf seninya suatu waktu dahulu. Pada ketika itu, saya mahasiswa di UM, sesekali saya dibawa oleh Nassury Ibrahim berkunjung ke rumah 'Anak Alam' untuk belajar makna seni dalam wajah budaya gelandangan tetapi, penghuninya mempunyai pemikiran yang tinggi terhadap seni.
Mungkin esok atau lusa, jika berkesempatan, ingin rasanya saya menulis pengalaman ketika berada di beberapa negara eropah tentang bagaimana mereka memasyarakatkan seni dan karya seni. Mungkin, ada kemunjurannya juga, mengapa saya membeli kumpulan puisi A. Ghani Hamid bertajuk "Aku Bukan Penyair" ketika di Singapura. Judul ini seperti mengajar saya makna supaya jangan terlalu suka berfikir dan meluahkan perasaan. Kumpulan puisi ini mungkin juga ingin mengajar saya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada. Atau, sekurang-kurangnya mengajar saya supaya membunuh 'id' dan 'ego' yang mendominasi di dalam diri.
iv.
Esok atau lusa, entah di mana perjalanan saya?Meskipun saya sudah kembali ke tanah nurani. Walau apa pun, saya tetap berprinsip bahawa seni itu indah dan seni adalah milik rakyat yang perlu dikembalikan kepada marganya. Seni itu mahabbah. Seni itu ibadah dan seni itu adalah amanah.
6 ulasan:
tuan guru,
tolong tampal gambar buku 'Dari Jendela Zaman Ini' kat blog tuan, boleh? Tak tahu lagi bagaimana rupanya.
salam tuan haji sham al singapurari (tukar nama sekajap),
macam mana antologi dengan itnm bila siapnya
kampung melayu pun ditulis dalam bahasa inggeris (Malay Village), apa kejadahnye.
Tuan,
Hamba akui tulisan tuan ini, bukan ingin memuji Singapura tetapi cara dan konsep mereka bekerja menjaga dan memlihara sesuatu harus dicontohi.
Hamba pernah ke perpustakaan itu sebanyak 2-3 kali, rasanya (jika tak silap) bangunannya agak tinggi dalam 10-15 tingkat, satu aras dalam bangunan ini terkandung koleksi buku dan dokumen dalam bahasa Melayu (Malaysia-Indonesia-Singapura-Brunei).
Hamba juga pernah ke Kampung Melayu, Masjid Sultan dan Arts House itu, menyertai 2-3 acara secara rasmi dan tidak rasmi; tempat ini terjaga baik dan bermutu.
Jika tuan ada rencana mahu ke sana lagi beritahu hamba ya di tanah Tanjung Puteri ini, mungkin kita dapat naik bas sahaja ke sana dari tanah Larkin, kita turun pagi balik petang @ malam ya...
Tuan Rusdi dan penunggu hujung tanah semenanjung,
kita akan ke Arts House lagi pada pertengahan disember ini kerana ada acara pelancaran buku dua orang penyair Malaysia. Insya-Allah, nanti sama-sama kita menyeberang tambak Johor dengan bas aja. Sesiapa nak ikut boleh maklumkan kepada AJK PENA.
Tunggu dan lihat siapa penyair itu?
Rasa rindu kembali bertamu untuk menjengah ITNM dek keramahan dan kemesraan Puan Siti Rafiah dan En Razin yang sering sahaja bertanya khabar.
Catat Ulasan