Selasa, 27 Oktober 2009

SALAM DARI TANAH TEMASIK



Gambar bawah: Di rumah Abd Ghani Hamid.
Gambar atas: Bersama-sama SM Zakir, Solihin, Dato' Baha Zain dan Rahimidin Zahari di Nasional Arts Council, selepas majlis pelancaran antologi puisi "Dari Jendela Zaman Ini"

Saya selamat menjejakkan kaki di tanah air tepat jam 3.00 petang. Tiga hari di Singapura atas undangan dan tajaan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi menyempurnaan majlis perasmian antologi puisi Malaysia-Singapura berjudul "Dari Jendela Zaman Ini". Majlis yang berlangsung sempena Singapore Writers Festival (SWF) di The Arts House, National Arts Council (NAC), Singapore itu penuh bermakna kepada kedua-dua negara.

Saya perlu mengucapkan tahniah kepada ITNM atas kejayaan majlis ini kerana turut sama berjaya membawa YB Fuad Zarkasi bercakap di dalam Bahasa Melayu. Atas keberanian berucap di dalam Bahasa Melayu sepenuhnya itu, ramai rakan-rakan daripada persatuan ASAS 50 melontarkan salam syabas. Tahniah juga atas semangat kental En Khir Ngadiron, En. Razin, Pn. Siti dan Pn. Zini yang berhempas pulas mencipta jambatan baharu sastera Melayu antara Malaysia-Singapura ini.
Dari sisi yang lain, secara jujur saya perlu menyokong usaha NAC yang mengadakan festival tahunan/dwitahunan ini secara serius dan bersungguh-sungguh. Festival yang bermula daripada 24 Okt - 1 Nov 2009 ini menghimpumkan pelbagai bidang seni dengan belanja yang mencecah jutaan dolar Singapore. Di dalam hati kecil saya bertanya, kenapa di Malaysia tiada 'Arts House atau National Arts Council', atau sebuah kawasan yang menghimpunkan aktiviti kesenian seperti sastera, seni lukis, teater, filem dan muzik di bawah satu bumbung?
Mungkin saya perlu berasa malu dengan kerajaan Singapura yang ditadbir urus oleh majoriti menterinya bukan berbangsa Melayu tetapi mempunyai kesedaran kecintaan terhadap sastera Melayu yang tinggi. Saya terimbau jauh akan kehebatan DBP pada suatu waktu dahulu yang dikuasai oleh Badan Budaya dengan pelbagai aktiviti sastera yang menarik. Alangkah baiknya jika hari ini DBP dapat meneruskan kesungguhan itu, sekurang-kurangnya kita masih punya satu bangunan yang dapat menyaingi fungsi dan peranan 'Arts House' itu. Mungkin saya masih bermimpi dan berangan-angan di kamar 1716 di Golden Landmark Hotel, Jalan Masjid Sultan di Kampung Gelam lagi.
Pagi tadi sebelum pulang, saya, Rahimidin Zahari, SM Zakir, Dato' Anwar Ridhwan dan isteri sempat menziarah penulis Abd Ghani Hamid yang sakit di Tampinis. Bertemankan Haji Masran dan Solihin, kami berkunjung ke rumahnya dengan penuh rasa syahdu. Dia yang menderita sakit lumpuh hampir setahun lebih itu kini sudah menampakkan perkembangan sihat. Moga Allah mengembalikan kecergasan kepada tangannya untuk melukis dan akalnya untuk menulis.
Kepada ITNM dan NAC, teruskan usaha murni ini demi mempertahankan kedaulatan sastera dan bahasa Melayu. Mungkin selepas ini, DBP dan PENA dapat memberikan kerjasama yang lebih erat agar impian untuk mengantarabangsakan sastera Melayu akan tertunai.

7 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Yang Dihormati,
Tuan berkembara ke Temasek rupanya, hamba di seberang tambak ini kenapa tiada ada dikhabarkan beritanya.
Hamba boleh ke sana dari tanah Larkin hanya membayar tiket bas RM2.60 cuma.
Bas dari Larkin hentinya di Queen Street, ya cuma senafas jeritan panggilan sahaja ke Hotel Landmark itu rasanya.
Indahnya rasa jika hamba ada sama di sana, cuma tumpang-tumpang pengalaman sahaja... kerana hamba sudah setia di tanah Tanjung Puteri ini lama rasanya...
Hehehe...

Sham al-Johori berkata...

Sdrku Rusdi,
Maafkan hamba dan rakan-rakan (SM Zakir dan Rahimidin Zahari). Sebenarnya kamipun rasa serba salah antara tuntutan tugas dan tanggungjawab (maklumlah semuanya berpenaja). Insya-Allah, bulan 12 ni, kita akan sama-sama berdiskusi dan berbengkel di Singapura sempena pelancaran buku dua orang penyair Malaysia. Mari kita tumpang dan raikan kejayaan mereka berdua nanti.
Salam kemaafan.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Di kiri Kelantan di kanan Kelantan di atas Kelantan di bawah Kelantan: AAAAHHHHHHHHHHHHHH!!!!!!!

Hasmora berkata...

tumpang iklan :)
- kepada yang berminat menyertai Pertemuan Penyair Nusantara 2009 pada 20 - 22 dapatkan maklumat dan muat turun borang penyertaan di web komuniti pena http://penulisnasional.ning.com/

Pencinta Pantai Bersih berkata...

Kan kita ada Istana Budaya dan Balai Seni? Salah UMNO juga?

Sham al-Johori berkata...

Pencinta Pantai Bersih,
Ya, kita ada Istana Budaya (IB) dan Balai Seni Lukis (BSL). Yang kita tiada ialah kesatuan dan budaya berfikir sebumbung. Dulu DBP memainkan perana itu hingga melahirkan ramai aktivis dan pemikir. Hari ini Istana Budaya saya venue gah dan hebat, begitu juga dengan balai seni lukis. Adakah kedua-dua bangunan indah ini menyediakan ruang berbengkel dan berapresiasi?
Saya rasa Rahimidn Zahari, pegawai di IB pun setuju dgn pendapat saya ini.
Cuba ingatkan semula, adakah IB pernah mementaskan drama Dinsman atau Khalid Saleeh atau aktivis teater Elit? Adakah juga BSL menyediakan ruang pameran lukisan utk karya shamsudin othman dan seangkatan dengannya?
Saya tak salahkan UMNO, tetapi saya salah pemimpinnya yang meletakkan status eletis kepada bangunan itu hingga banguan itu bukan wadah terbaik untuk berbengkel dan berapresiasi. Hanya dengan cara itu, seni boleh merakyat dan hidup di peringakat antarabangsa.
Jika puan baik dengan orang UMNO, sampaikan salam saya kepada mereka dan mintalah mereka melihat bagaimana dunia luar mempertahankan maruah warisan dan khazanah kesenian mereka. Kita perlu belajar daripada kejayaan orang lain yang tidak pernah membezakan seni untuk rakyat atau seni untuk pemimpin.
Maaf jika saya menyinggung mana-mana pihak.

Pencinta Pantai Bersih berkata...

Tuan SO,
Tuan juga baik dgn org kuat UMNO (yg selalu hubungi tuan tu..merujuk entri2 lama tuan). Daripada tuan selalu sinis dan bersikap rasa jengkel dgn dia, baik tuan menasihati dia dan memberikan kritikan membina. Yang penting kita Melayu (tentu Islam juga) maju dalam segala segi. Tak gitu Tuan?

Saya rasa negara kita ini sudah terlebih mempertahankan maruah warisan budaya dan kesenian semua kaum yang terdapat di Malaysia ini. Jabatan2 yang berkenaan juga telah ujud sekian lama. Jika dedulu DBP berjaya memainkan peranan itu dan sebelum ini (dlm masa 4 tahun kebelakangan ini?) gagal pula, salah DBPlah. Tapi saya yakin ketua sekarang amat berwibawa. Dan juga jika ketua buat salah, anak buah juga sepatutnya menegur. Bukan hanya mengampu dan membodek, jadi burung kakaktua....angguk angguk angguk sahaja.


Dan saya ketawa bila tuan kata "Mungkin saya perlu berasa malu dengan kerajaan Singapura yang ditadbir urus oleh majoriti menterinya bukan berbangsa Melayu tetapi mempunyai kesedaran kecintaan terhadap sastera Melayu yang tinggi." Singapura, tuan, SINGAPURA. Tak cukup ke sejarah yang terbentang tentang kerakusan mereka sebelum ini, yang memusnahkan dan melenyapkan tamaddun Melayu disana?

Hanya kebelakangan ini sahaja mereka baru sedar tentang pentingnya BM utk nusantara ini sebab BM pun hampir mati di sana, English pun tak berapa hebat. Hanya Singlish yang ada..hehe.