Saya menyambut tahun baru masihi yang sekular ini di perkarangan rumah PENA. Saya mendengar puisi-puisi indah daripada para penyair jemputan. Ada yang melepaskan geram seperti Khalid Saleh, ada yang meruntun cinta dan rindu kehadiran tahun baharu seperti Ahmad Fitri Yahya, ada yang bernostalgia penuh sinis seperti A. Samad Said dan pelbagai lagi luahan jiwa yang meruntun nurani. Di sudut lain, saya bersama-sama rakan yang lama tidak bersembang berkisah tentang kehidupan masa lalu. Indah dan meruntun rindu.
ii
Pagi 1 Jan 2010, saya mendengar berita bahawa Mahkamah Tinggi telah membenarkan kalimah suci 'ALLAH' digunapakai oleh akhbar Herald - The Catholic Weekly. Ah! saya merengus sendirian dalam perkiraan kejayaan setahun jaguh gagasan 1Malaysia. Bayangkan kalau gagasan 1Malaysia itu berusia 2, 3, 4, 5, 6, 7, atau 10 tahun jaguh nanti. Apa lagi yang akan berlaku terhadapa kesucian agama Islam dan bangsa Melayu? Tentunya lebih banyak yang akan hilang? Masakan tidak akan hilang, kerana gagasan ini bersifat kesamarataan dan perpaduan dalam erti kata terpaksa menggadai prinsip dan warisan.
iii
Saya melayari akhbar 'Harakah' yang sempat saya beli petang semalam. Membaca tajuk utamanya dengan falsafah '2009 Tahun Suram' benar-benar mencabar akal fikir saya. Saya membongkar kembali kenangan 2009 itu seperti menyelak helaian album peristiwa saya. Saya terbayang bagaimana rakus dan liciknya siasah kepartian politik Melayu. Saya terbayang kredibiliti SPRM, PDRM, dan Mahkamah. Terbayang wajah-wajah ketokohan Tun Mahathir, Najib, Tuan Guru Haji Nik Aziz, dan Anwar Ibrahim. Terbayang juga kisah kehilangan enjit jet F-5E, ketidakhadiran menteri di parlimen dan macam-macam lagi kehilangan yang tidak terbongkarkan.
Aduh, indahnya seloka dan gurindam peritiwa 2009 di negara saya bernama Malaysia!
iv.
Puisi Tahun Baharu 2010
Aku merenung gerhana bulan
di dadamu ada kerinduan yang terhukum
aku tafsir rindumu bulanku
seperti Iqbal membaca cintanya.
Lewat embun dinihari mencair di ubun-ubunku,
aku hulurkan tangan sambil mengutus doa,
"Ya Rabb, berikan bulan seluruh kekuatan
dan kembalikan gemerlap cahayanya."
Aku renung wajah bulan 2009
yang menghilang di balik langit peristiwa
aku dakap cahaya bulan 2010
yang tegar menganyam takwa
dan setia dengan tanda tanya.
SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.
1 Januari 2010/ 15 Maharam 1431H
2 ulasan:
Shamsudin,
Penanda awal tahun 2010 ialah gerhana bulan.
Tuan haji,
betulkah tahun baharu masehi itu sekular? saya fikir kita memerlukan kedua-duanya. bulan dan matahari.
yang sekular manusianya. bukan tahunnya.
Catat Ulasan