Isnin, 25 Januari 2010

MENYUSUR ARUS DIRI


HAMPIR 12 hari saya tidak menukang di dalam blog ini. Tanpa rasa kecil hati atau merajuk diri atau sedang membuka perniagaan lain, sesungguhnya saya menyepi kerana sedikit sibuk dengan urusan mengejar duniawi. Begitu pun dalam kesibukan yang di luar jangka itu, saya masih sempat ke IPG Kampus Perempuan Melayu Malaka pada hari jumaat (22/01/10) memenuhi undangan DBP. Saya sempat mendiskusikan kumpulan puisi Haji Borhan Md. Zain berjudul Simbiosis (2009) di sana dengan kertas bertajuk "Menyaring Rasa Insaniah dalam Kumpulan Puisi Simbiosis". Pada malamnya pula saya di bawa oleh Sdr. Rusdi Abd. Rahman dan Mohd Jusof Majid (DBP) serta Najmi Yaakob (BH) untuk menghadiri majlis Hadiah Sastera Melaka.

Syukur kerana selama 2 hari di Melaka, saya sempat duduk semeja bersama-sama sasterawan Melaka seperti Mokhtar Yassin, Muhamad Mursid, Aladin Mohammad, Samad Buang dan lain-lain. Mungklin pertemuan ini dapat mengeratkan kembali hubungan saya dengan penulis Melaka. Tetapi lebih daripada itu ialah saya dapat melihat mereka dan mereka dapat melihat saya yang masih sihat walafiat.

Saya terus pulang ke kampung halaman untuk menemui kedua ibubapa saya yang sihat-sihat orang tua. Ayah sedikit segar sementara ibu masih macam dulu yang sekejap kebah dan sekejap sihat. Kepulangan saya memberikan mereka sedikit kegembiraan dan kebahagiaan. Begitulah emak dan ayah yang selalu merindui suasana keriuhan dan jerit tawa anak cucu. Dari jauh dan dalam hati, saya sering membaca tafsir akan semua gerak geri itu. Raut muka emak ayah, saya renung dalam pada setiap kali dia melihat melayan kerenah cucu-cucunya. Saya menelan pengalaman itu meski kadang-kadang terasa kelat dan sukar ditelan.

Entahlah, sejak dua menjak ini, ingatan saya kepada kampung halaman dan amat tegar bermain dalam fikiran. Dan sebelum melangkah memasuki kereta untuk pulang, ayah sempat meninggalkan pesan, "jangan tinggal solat dan cari guru mengaji. Abah tengok kau ni dah jauh berjalan tapi amalnya entah ke mana. Bekalan kau tak cukup lagi."

Saya tersentak mendengar kata-kata itu. Saya menurunkan cermin sisi tingkap kereta, merenungnya sambil berkata, "abahkan doakanlah yang terbaik untuk anak abah ni." Enjin kereta Citra merah, saya hidupkan. Suara anak-anak riuh dengan jeritan, "bye bye atuk, bye bye nenek," bertali arus di perkarangan rumah.

Sepanjang perjalanan menuju Kuala Lumpur, saya tidak bercakap banyak dengan isteri dan anak-anak. Fikiran saya seperti sebuah panggung wayang yang sedang merenung kembali cerita kehidupan masa lalu. Tetapi apa yang pasti, saya sedang dibayangi dan dikejar oleh kata-kata ayah, "Bekalan kau tak cukup lagi."

Perlukah saya melarikan diri daripada kata-kata ayah itu?

MENYUSUR ARUS DIRI

Seperti Iqbal mencari dirinya begitu jugalah diriku yang lemas di sungai fitrah kutemui dendam saat mencari cinta kutemui kesal saat menekuni rindu.

Akulah perahu di sungai hayat-Mu
mengarusi kesementaraan nafas dengan takdir dan kudrat diri seperti al-Ghazali mempersiap diri seperti Rumi menganyam insani sedang aku menagih jiwa lapar rohani.

Menyusur arus diri
menuju hentian abadi aku mencari Kau wahai Yang Satu mencari rahsia dalam wujud-Mu mencari penawar sihir kudrat-Mu atas janji kasihku.

Kepada-Mu
Duhai Kau yang menguasai zahir dan batinku, perjalananku di sungai diri dekatkan dengan takwa-Mu luruskan dengan rahmat-Mu sebelum berlabuh di perhentian hayat.

Akulah perahu di arus diri menyusur muara kasih Ilahi saat menuju negeri maknawi.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.



6 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
1. Terima kasih kerana sudi bersama dalam program DBPWS - BTKS DBP iaitu Bicara Karya sastera Melaka tempoh hari, juga kerana sudi hadir dalam majlis Anugerah Sastera Negeri Melaka.
2. Kita serupa dan berprinsip sama... (bukannya dalam hal karya kerana tuan punyai karya yang prolifik...) kerana TIDAK GEMAR PAKAI TALI LEHER!

Zaid Akhtar berkata...

ya maulai,
abang syeikh arab kena berguru dengan tok syeikh arab laa...

Korakora berkata...

nama kawe pun silap.. apa daa

Zulfazlan Jumrah berkata...

Salam. saya suka sajak a.din yang ni..meremang segala bulu ni ha..huhuhu...

ali atan berkata...

nazmi-kehkehekehkeh. Cikgu, kena cari guru mursyid ni.kehkehekehekkeh.

Azhar Salleh berkata...

Salam TUAN,
Bekalan untuk ke 'sana' memang tidak pernah dan tidak akan cukup. Namun, kita harus 'menyusur arus diri' sepanjang masa kerana dengan bermuhasabahlah, kita sentiasa berusaha untuk 'mencukupkan'nya. Puisi yang sarat dengan falsafah.