Sabtu, 9 Januari 2010

TENTANG ISU KALIMAH 'ALLAH' ii




Tuan-tuan,

Inilah akibatnya jika kita melihat dengan nafsu amarah tidak mata insan kamil. Masalah pokok ialah ketauhidan kita yang diikat oleh ilmu yakin. Jika hakikat insan kamil mendasari fakulti ilmu dan hati budi, makanya kalimah ALLAH itu tidak akan tergugat. Politik dan siasah kepimpinan yg terlalu menyerah atas nama 'perpaduan' menyebabkan semuanya hancur. Kita perlu menghayati maksud al-Quran yang menjelaskan "agamaku agamaku; agama kamu agama kamu." Maksudnya anutan pelbagai agama tidak salah, yang salah ialah perkongsian agama. Jika ini tidak ditentang, saya bimbang nanti masjid atau gereja akan memiliki fungsi yang sama, iaitu hari jumaat digunakan untuk solat jumaat dan hari ahad untuk org kristian bersembahyang. Jika hari ini kita sanggup menerima perkongsian kalimah ALLAH, maka tunggulah kehancuran seterusnya.


Persoalan PAS diperalatkan oleh DAP dan PKR; hal yg sama juga berlaku dalam BN yang sekarang ini kita lihat MIC, MCA dan Gerakan sedang memperalatkan UMNO. Sama ada PR atau BN, yang penting ialah bagaimana rasa insaniah dan ketauhidan terhadap kecintaan Allah boleh dijelmakan oleh mereka. Hari ini pun kita dapat lihat, mereka masih bermain tarik tali; macam bermain layang-layang. Ketakutan saya ialah Melayu-Islam akan kehilangan taring.


Saya sedang membaca buku 'Major Themes of the Quran' (terjemahan saya ialah 'Pesanan Agung Al-Quran'. Maaf jika saya salah terjemah sebab penguasaan BI saya tidak sehebat mana) karya Fazlur Rahman seorang profesor pemikiran Islam, Universiti Chicago. Dalam Bab 1 buku ini, dia menulis bahawa perkataan ALLAH disebut sebanyak 2500 kali di dalam al-Quran dan yang jelas sifatnya ialah kalimah ALLAH tidak boleh dikongsikan dengan agama-agama lain. Allah ialah ar-Rabb, Tuhan yang tidak menyerupai sesuatu yang baharu atau boleh dikongsi-kongsikan.

Maaf, saya bukan bijak pandai agama. Saya yang cetek ilmu tetap berprinsip bahawa Allah tidak menyerupai makhluknya kerana sifat-sifatnya yang ar-Rahman, ar-Rahim, Kamil dan maha Adil. Surah al-Ikhlas amat jelas menyokong pendapat ini.


Akhirnya, analogi saya tentang kepartian mudah sahaja, iaitu harapkan dacing, dacing berat sebelah; harapkan roket (jet), enjin jet dah kena curi; harapkan mata, mata dah lebam; harapkan bulan, sekurang-kurangnya bulan muncul di malam hari (atas takdir Allah, bulan tetap bersinar walaupun kelam). Setiap kali hujung bulan dapat gaji. Orang tak sebut pun hujung dacing atau hujung roket dapat gaji.


Saya dah loya bercakap tentang sekularisme, hedonisme, liberalisme, fundamentalisme, ekstrimis, atau kapitalisme. Rasanya lebih baik saya berfikir tentang 'alam roh' yg sedang menanti kehadiran saya.


Wauallahhuwalam, kerana inilah selemah-lemah iman saya (cakap lebih-lebih orang akan menebak siapa saya?; hendak bom sana bom ini, saya tidak punya wang untuk membeli kelengkapan itu). Akhirnya, saya hanya mampu berdoa dan mengakui bahawa inilah mutu iman saya - senipis kulit bawang (meminjam metafora allahyarham T. Alias Taib).


p/s: Tulisan ini juga saya masukkan ke dalam ruang komen blog En. Saleeh Rahamad.

Tiada ulasan: