Rabu, 24 Februari 2010

KUNJUNGAN DUA ORANG TEMAN

SEKITAR jam 8.45 pagi ini, kamar saya dikunjungi oleh 2 orang profesor yang amat terkenal. Secara kebetulan saya baharu sahaja mengemas bilik yang ditimbuni buku-buku dan kertas-kertas (maklumkan sejak dua menjak ini saya sedikit kelam kabut kerana kerja-kerja PhD yang kian mendesak, suasana bilik pun dah macam kapal karam). Jadinya, selepas mengemas itu, bilik saya sedikit selesa dengan peredaran udara dan buku-buku yang tersusun itu akhirnya sedikit indah di pandangan mata.

Berbalik kepada cerita kunjungan profesor itu; tidak lain dan tidak bukan ingin meminang saya untuk dijadikan rakan (team) penyelidikan. Saya mendengar keterangannya tentang kertas konsep penyelidikan dan dana yang diperolehi. Dengan sejumlah hampir RM100K, kedua-dua orang profesor itu beriya-iya menerangkan itu ini kepada saya. Saya hanya mengangguk tetapi tidak memberikan kata persetujuan untuk memberikan kerjasama.

Hampir jam 10 pagi, saya terpaksa meminta diri (daripada kamar sendiri) kerana ada kuliah. Mereka bersalaman sambil menuntut jawapan segera. Jawapan saya ringkas sahaja iaitu, "tidak." Saya melihat wajah kedua-dua orang profesor itu, ada kesedihan di hati mereka. Lalu, saya berkata untuk menunjukkan budi bahasa sebagai orang Melayu, "prof, saya menolak kerana ingin menumpukan perhatian kerja-kerja terakhir PhD saya. Tinggal 3 bab aja lagi dan perlu hantar draf pertama selewat-lewatnya bulan mei ini."

Mendengar jawapan saya itu, ada sedikit keceriaan di wajah mereka. Saya bergegas ke bilik kuliah, memanjat tangga ke tingkat 3 sambil dalam hati kecil saya berkata-kata, "gila, adakah aku dimintanya buat penyelidikan tentang kejayaan sistem pendidikan negara dalam konteks keberkesanan 1Malaysia."

Tiba-tiba saya teringat sajak "Babi!" karya seniman negara Khalid Salleh.

"Ya Allah, selamatkanlah diriku daripada bersekongkol dengan kemunafikan."

Kadang-kadang, apabila difikir-fikirkan semula, saya terasa seronok bertugas sebagai seorang guru dan saya mula merindui suasana sekolah. Alangkah baiknya jika masa boleh berulang kembali dan saya boleh diberi pilihan sekali lagi.

Ya Allah, dalam syukurku ada rahmat-Mu yang terfikirkan. Amin.

6 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
1. Usah memikirkan sangat hal itu..., apa-apapun Spurs berjaya melangkah ke pusingan seterusnya dalam Piala FA (setelah terpaksa melalui perlawanan ulangan menentang Bolton).
2. Jendela Selatan (JS) Disember 2009 akan dikirimkan kepada tuan dalam 3-4 naskhah sedikit masa lagi (kerana menunggu cek siap), isitimewanya JS kali ini ada tulisan tuan dan ada tulisan tentang tuan.

Zulfazlan Jumrah berkata...

Salam abang Din.
Benar, seronok sekali menjadi seorang guru. inilah yang sedang saya nikmati kini. Tuhan, semoga saya mampu menjadi guru yg mampu mendidik anak bangsanya ke arah maaruf. Syukur, saya menjadi lebih berdisiplin dan lebih menghayati Islam di sini. Namun, rasa khuatir terhadap penyeliaan masih ada.hehehee..

NASSURY IBRAHIM berkata...

Laa ... mau balik ke sekolah pulak. Orang mau ke U dia mau ke sekolah. Apapun, tahniah kerana PhD hampir siap.

Rositah Ibrahim berkata...

Salam saudara Sham, taniah juga dari saya. Cepat-cepatlah siapkan phd anda. Usahlah rindu untuk balik ke sekolah semula.

Saya sudah 20 tahun berada di sekolah dan saya rasa perlu dibuat penilaian semula ke atas sistem yang ada sekarang.

Korakora berkata...

oooo.. 1malaysia tak berjaya ke dlm sistem pendidikan? oooo tak berjaya ka? tak berjaya? kaa?

kah kah kah kah kah

Rositah Ibrahim berkata...

Yang kita sibukkan 1 Malaysia pada kulit saja...