Rabu, 7 Julai 2010

TAHUN PERTAMA BERGELAR GURU

i
Kejohanan bola sepak Piala Dunia hampir ke penghujungnya. Nostalgia dan kenangan sebagai 'sang pelibas' hanya tinggal kenangan sahaja. Setelah terlibat dengan beberapa kemalangan hingga patah bahu dan patah kaki, makanya impian untuk mempertahankan gelaran 'sang pelibas' itu terpaksa dilupakan sahaja. Sambil menanti gambar-gambar ketika menjadi 'sang pelibas' daripada teman-teman seangkatan itu, tiba-tiba gambar ini yang muncul.

Dalam hati saya ketika membuka email pagi ini ialah, "apalah kawan aku ni, tak ikut perkembangan bola sepak langsung. Aku minta gambar lain, gambar lain yang dikirimkannya."

Namun begitu, tidak mengapa. Kenangan tahun pertama bergelar guru segera terimbau. Gambar ini dirakamkan ketika saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Easter, Kota Tinggi, Johor pada tahun 1989. Berkelulusan Sijil Perguruan Asas, saya pada ketika itu bergaji RM560 sebulan. Dengan gaji itu saya boleh kirim duit ke emak ayah (rm100) dan membayar duit motor (rm 89 sebulan). Maknanya dengan baki gaji itu saya meneruskan hidup sebagai guru di felda selama 3 tahun. Tahun 1992 saya mengambil keputusan untuk menyambung belajar di UM. Maka bermula tahun itulah saya meninggalkan Kota Tinggi dengan banyak kenangan manis. Di sana, saya tidak diuji dengan kenangan yang menyedihkan macam putus cinta ke? atau apa-apa yang bernama kecewa. Syukur kepada Allah SWT.

Oh ya, tentang dunia penulisan saya ketika itu usah diungkap kembali. Jika dilihat dalam sejarah tempoh penulisan saya, waktu di Kota Tinggi (1989-1992) nama saya tidak pernah hadir sebagai pemenang hadiah sastera. Waktu itu, hidup tanpa bekalan eletrik dan air paip amat menjerihkan. Jam 9 malam saya sudah mula menganyam mimpi - tidur. Bangun pagi ke sekolah dan mengajar. Petang menjadi sang pelibas hingga maghrib.; ke surau mendengar kuliah agama dan selepas isya' tidur. Itulah rutin kehidupan saya waktu itu. Dunia penulisan saya ketika itu kosong sekosongnya. Surat khabar hari Ahad boleh dibaca pada hari Isnin atau Selasa. Bayangkan...? Itu kenangan 18 atau 19 tahun dahulu.

Tentang gambar ini, cuba tengok tren tali leher zaman itu. Halus dan panjang. Tali itu dibuat daripada kain jut (saya masih simpan sebagai kenangan). Di sebelah kiri saya cikgu Subri Sumirin (kini bergelar YB Serom), sebelah kanan hujung sekali cikgu Borhanuddin (kini pensyarah Sains Sukan di UPM - bekas pemain bola sepak dan ragbi Malaysia) dan yang lain-lain tu masih bergelar guru dan kadang-kadang saling berhubung juga.

Tahun pertama bergelar guru, banyak mengajar saya makna keseronokan. Dan kini semuanya adalah sebuah kenangan.

4 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
1. Jangan sesekali meninggalkan karier 'sang pelibas' itu.
2. Ketika tahun 1989 - 1992 itu di Kota Tinggi masih kurang kemudahan elektrik dan air...? Macam tidak percaya kerana negeri Johor kaya raya hasil tanah negerinya...
3. Foto 'klasik' itu penuh bermakna kerana ada tanda-tanda foto itu terkena air atau dilipat lalu tersimpan terlalu lama...

Syamputra Razali berkata...

salam saudara pujangga..
perjalanan hidupmu ditintakan dan kurenungi..

hebat!!

salam ukhwah

Luqman Hakim QA berkata...

1.wow..gaji hj la ni dah 10 X ganda banding dulu kan. pak cik meme kaya!

2. tang sehati sejiwa (gambar kanan) tu aku setuju bangat tang membuka cawangan...diketuai oleh pak jakir bujang tiga...hehehe.

Aponghaziqdoyle berkata...

itu muka bapak saye!!!