Jumaat, 25 Jun 2010

BOLA DAN KENANGAN 1

'Line up' pasukan MPLP 1988/1989. (2 orang yang duduk berpakaian kemeja itu ialah bomoh khas yang kami import dari Sabak Bernam)

Buka email pagi-pagi ini, kawan lama saya kirimkan gambar ini. Terima kasih A. Wahab (kini mengajar di Penggerang, Johor) atas kiriman gambar yang penuh bermakna untuk dijadikan bukti kepada syeikh Zakir dan tuan guru musyidul Am PENA En. Saleeh. Kepada kedua-dua orang teman (baca kawan dan guru) ini, harap dapat renung dan tenung baik-baik gambar ini. Hampir seminggu saya menghubungi rakan-rakan lama yang pernah duduk sekampung, sesekolah, semaktab, seinstitut dan seuniversiti dulu supaya dapat mengemailkan gambar-gambar lama saya ketika saya bergelar 'sang pelibas' (takraw) atau 'sang perembat' (bola sepak).

Nah, ini antara bukti yang saya pernah bermain di padang FAM, Kelana Jaya, pernah menaiki bas FAM dan juga pernah menjadi pasukan belasahan MPPJ. Gambar ini berlaku sekitar tahun 1988/1989 (tak berapa ingat) sewaktu saya mewakili maktab perguruan (MPLP) menetang pasukan MPPJ. Macam biasa, cuba teka yang mana satu saya? Waktu itu jurulatih saya ialah pensyarah yang juga berjawatan salah seorang pengadil bola sepak FAM (En. Ahmad Zainal). Kenangan paling indah apabila pasukan saya dibelasah oleh pasukan Bell Belia Kelang 11-3. Pasukan ini tak pernah menang dalam semua perlawanan persahabatan atau mana-mana kejohanan termasuk Kejohanan antara maktab-maktab Malaysia (PESTARAMA), tetapi saya boleh berbangga sebab pasukan saya sentiasa menang sorak dalam semua perlawanan.

Macam mana nak menang kalau waktu itu, sebelum perlawanan bermula, kami diberi minum coca-cola bercampur panadol 2 biji oleh jurulatih. Apa lagi, waktu main, semua orang 'lalok' tetapi tenaganya luar biasa. Akhirnya, bola depan gol pun saya tak nampak. Hahahahahaha.

Yang penting, saya pernah beraksi di padang FAM, Kelana Jaya, bukan di Chemor atau setinggan Bangi. Ada teman-teman kata, kekalahan pasukan saya disebabkan semua pemainnya kacak-kacak belaka. Dari mula permainan hingga tamat (90 minit permainan), jersey , seluar, stokin dan boot pasukan saya semuanya bersih aja sebab nak rebut gelaran pasukan paling bersih permainannya. Motto pasukan saya ialah 'Biar kalah asalkan bergaya'. Dengan motto itu, pasukan saya menjadi pasukan paling banyak mengadakan perlawanan di ceruk rantau Kuala Lumpur. Kalah di kaki Bank Bumiputra (9-2), Kakitangan Menara Daya Bumi (6-1), Pasukan 18 tahun Kelab Sultan Sulaiman (8-0) dan lain-lainlah. Yang penting walaupun kalau teruk, tetapi penjaring daripada pasukan saya itu salah seorangnya sayalah (ehmmmm!).

Macam biasa, posisi saya ialah di bahagian sayap kanan. Saya akan membawa bola dari kanan padang dan terus mengelecek beberapa orang pemain sebelum 'lalok' dan berhenti. Bola berjaya dirampas oleh pasukan lawan. Kawan-kawan lain gigit jari. Dan penyokong saya akan bersorak, "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!" Fuh, waktu saya menulis ini, saya masih dapat merasakan suasana itu kembali. Tamat aja perlawanan, jurulatih saya bertanya, "berapa banyak panadol kau telan ni? Aku kata 2 biji aja." Waktu itu apa lagi, kawan-kawan lain ketawakan saya bagai nak rak, "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!"

Lepas ini saya nak tutup cerita pasal bola dan kenangan. Tapi, kalau buka email esok pagi dan jika ada gambar baharu yang masuk ke dalam email saya, akan saya cerita lagi. Hehehehehehe.

Tiba-tiba, jeritan "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!" berngiang-ngiang di telinga saya. Meremang bulu roma. Arab ke Jawa saya ni?

4 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
Menarik 'saingan foto merembat dan melibas' kini antara Tuan - Tuan Mat Saleh - Tuan Zakir!
Foto Tuan kali ini membuktikan Tuan sememangnya pemain aktif suatu ketika dahulu... tahniah.
Sayangnya foto itu latarnya bas FAM..., FAM itu sebuah persatuan yang pernah dilabelkan dalam siaran sukan Astro sebagai 'Persatuan Sepak Bola (Kena Sepak) Malaysia'?

Luqman Hakim QA berkata...

Cerita haji ni mcm orang cakap berdegar jer..ahaksss

Sham al-Johori berkata...

Tuan Rusdi,
Ala, ini semua kenangan lama. Zaman jahiliah lagi. Fikir seronok aja. heheheheh

Tuan Luqman,
Iri hatilah tu. Bukan berdegar tapi motto pasukan tu, "biar kalah tapi bergaya". Maknanya, cakap aja lebih main tak semegah mana. Itu sebab jadi pasukan belasahan.
Hahahahaha.

S.M. Zakir berkata...

ala setakat gambar depan bas.. entah main entah tak he he. Main pun kena 11-3.. itulah ada ka main bola telan panadol dengan coke.. tak dibuat dek orang.. kalu makan tempe tu ok la jugak kasi tenaga asli kah kah.. nanti aji jadi coach cuba bagi budak2 makan tempe dengan coke rasa lagi power kut kahkahkah arab ada makan tempe ka?