Rabu, 26 Mei 2010

TANAH KAMPUNGKU TERGADAI LAGI


TANAH KAMPUNGKU TERGADAI LAGI

Selepas pulau
kini
tanah kampungku
tergadai lagi.

Apa lagi yang perlu aku harapkan
sebuah janji bertukar menjadi nista
serelung tanah bertukar menjadi kasino
dan inilah pertukaran paling berbekas
tanah bertukar menjadi emas
emas bertukar menjadi duit
duit bertukar menjadi singa

singa mengaum lapar
mengaum
LaPaRRRRRRRRRR
mengaum
lApaRRRRRRRRRR
mengaum
LAPARRRRRRRRR
lapaRRRRRRRRRR
LApaRRRRRRRRR
laPARRRRRRRRR

Selepas pulau
selepas tanah
selepas air
selepas pasir
selepas batu
selepas daging
selepas darah
selepas ini
apa lagi yang akan
diratah
oleh SINGAAAAAAAAA
singaaaaaaaaaaaaaa
SINGAAAAAAA?

Selepas ini
jangan aku kau persalahkan
kerana singa akan bertukar menjadi NAGA!

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori

Jumaat, 21 Mei 2010

NYATAKAN SOKONGAN ANDA

MARI kita nyatakan sokongan kepada perjuangan ini. Tindakan ini adalah jihad kecil yang boleh menjadi besar. Kita menyokong demi kebenaran iman dan amal kita yang kita sendiri tidak pasti cukup atau tidak untuk dijadikan bekalan di negeri akhirat nanti.

Pagi tadi, banyak sms masuk ke telefon bimbit saya yang isinya adalah "Islam tidak pernah menghalalkan judi." Seingat saya, saya pernah belajar dengan beberapa orang guru yang bukan beragama Islam; mereka pernah memberitahu saya bahawa judi ini salah di sisi agama mereka.

Aneh! Sebuah negara yang meletakkan daulah Islamiah sebagai agama rasmi tetapi melihat judi sebagai perkara yang boleh dipermain-mainkan sedang berlaku di depan mata kita. Tontonan ini bukan dilakukan oleh sang jahil agama atau sang orang yang tidak berpelajaran, sebaliknya dilakukan oleh cendikiawan yang pernah belajar di menara gading bertaraf antarabangsa. Masya-Allah. Islam di tangan mereka hanya seperti barang perhiasan. Rujukan hidup mereka hari ini adalah koran (surat khabar) bukannya al-Quran. Dewa mereka hari ini adalah duit dan kuasa bukan iman dan amal.

Jika kita tidak mahu turut sama berdemontrasi selepas solat Jumaat hari ini, marilah kita nyatakan TIDAK KEPADA JUDI. Moga inilah jihad kecil kita yang mampu kita tunaikan kemudiannya dipertimbangkan oleh ALLAH SWT untuk memberikan hidayah-Nya kepada kita.

"JUDI 'BOLA' HARAM WAHAI PEMIMPIN UMNO!".

Ya Rabb, ampunkan dosa-dosaku. Amin.

Khamis, 20 Mei 2010

SAJAK KEPADA DIRIKU


SAJAK KEPADA DIRIKU

Aku berlari
di atas kaki langit
menuju ufuk bumi
mengejar bulan
yang jatuh di dada laut
malam mengelepar dingin.

Saat berenang
untuk mendakap cahaya itu
seekor duyung menyambar tanganku.

Aku diperkosa semahunya.

Shamsudin Othman
Tanjung Rhu, Langkawi.

*Heheheheh, ada ke duyung kat Langkawi tu? SM Zakir, Rahimidin dan Ridzuan kata ada 'empat' ekor; bergelimpangan di pantai.


Isnin, 17 Mei 2010

ANTARA 1AQIDAH ATAU 1MALAYSIA




“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib (dengan panah) adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh keuntungan”
[ Al-Ma’idah (5):90].

“Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman.”
[HR Muslim].
1 AQIDAH ATAU 1 MALAYSIA

Jangan marah kalau aku memilih 1 Aqidah tidak 1Malaysia
kerana 1 Malaysia telah menghalalkan judi
tanpa pengesahan JAKIM
tanpa pengesahan mufti negara
tanpa pengesahan ulamak
tanpa pengesahan parlimen
tanpa pengesahan guru dan ustad
atau tanpa persetujuan aku.

Jangan dengki kalau aku
tidak memilih 1Malaysia
sebaliknya memilih 1 Aqidah
kerana aku sedar
kembaraku masih terlalu panjang.

Jangan cemburu jika aku memilih 1 Aqidah
kerana kerelaan hidup dan matiku
hanya untuk-Mu yang SATU.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Sabtu, 15 Mei 2010

SELAMAT HARI GURU


PADA kesempatan ini, tanggal 16 MEI; saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada guru-guru saya yang berjaya mendidik saya hingga menjadi manusia pada hari ini. Guru-guru yang tidak mungkin dapat saya sebutkan nama mereka semuannya bermula dari sekolah tadika hingga ke menara gading itu, saya doakan agar berada dalam limpah kurniaan Ilahi. Moga dirahmati kehidupan, dimurahkan rezeki dan diampunkan semua dosanya. Amin.

Hari ini, walaupun saya bukan manusia bergelar; sekurang-kurangnya saya dapat belajar sesuatu untuk menghargai dan membalasa jasa seseorang guru. Syukur, saya tidak menjadi perompak seperti yang cikgu takutkan; saya tidak menjadi perogol seperti yang cikgu bencikan; saya tidak jadi penagih dadah seperti yang cikgu nasihatkan; saya tidak menjadi ahli politik rasuah seperti yang cikgu selalu ceritakan; saya tidak menjadi pelaknat bangsa seperti yang selalu cikgu marahkan; dan saya tidak menjadi penjilat membabi buta seperti yang selalu cikgu bebelkan. Allahamdulillah cikgu, saya kini sekurang-kurangnya tahu dan dapat membezakan yang mana satu intan dan yang mana satu kaca; yang mana satu wanita dan yang mana satu betina; dan yang mana satu umno atau yang mana satu PAS.

Jasamu guru, tak terbalas dengan kata-kata dan harta. Akan saya bawa jasa dan seru namamu di syurga nanti. Amin.

KAU DAN AKU BUKAN SEKADAR LILIN

Kita bukan lilin yang membakar dan mencair
kita lebih daripada itu
Kita bukan api yang membahang ganas
kita adalah segugus embun dingin
kita adalah bulan pencerah malam
kita adalah cahaya itu halus menusuk jantung.

Ketika aku bertamu di rumahmu
kau sajikan secangkir iman daripada anggur takwa
kau hidangkan sepinggang insaf daripada tamar insani
dan saat aku menjamahnya
di lubuk nurani juadah membekas
ke urat nadi subur mendarah
ke hujung nafas segar mengharum.

Di malam penuh syahdu itu
aku mendengar rintih dukamu
gurau tawamun bertukar menjadi air mata
bait-bait lisanmu bertukar menjadi nestapa
dan sehabis kuliah
saat derap tapak masih bertingkah
aku mengutipkan duka laramu
kudakap ke dada
tanpa meninggalkan bekas.

Kita bukan lilin atau pelita
kita adalah bulan peneman malam.

SHAMSUDIN OTHMAN
Dar Syeikh Muhammad Fuad Kamarudin al-Maliki,
Taman TAR, Kuala Lumpur.

Khamis, 13 Mei 2010

JUDI BOLA SEPAK DIHALALKAN



Kedua-dua keping gambar ini saya ambil daripada internet
dan tidak menyentuh mana-mana pihak.


KEPADA peminat-peminat bola sepak, penyokong-penyokong ikon bola sepak dunia mahupun peminat pinggiran (macam saya), Kejohanan Piala Dunia kali ini mendapat restu yang amat luar biasa sekali. Pertama apabila orang Melayu beragama Islam daripada parti UMNO memohon secara terbuka supaya menghalalkan judi bola sepak. Alasannya supaya tidak berlaku 'judi haram' (rupa-rupanya ada judi halal) dan keduanya, keuntungan daripada hasil judi akan digunakan untuk membantu program sukan negara.

Apa yang sedang berlaku sekarang ini? Kepercayaan saya terhadap umno untuk memperjuangkan Islam kian terhakis dan meniris. Umno yang saya harapkan untuk menyatakan secara terbuka terhadap hukum hakam Islam akhirnya menjadi duri dalam daging terhadap agama Islam itu sendiri (Ya Allah, ampunkan dosa dan kesilapan mereka ini).

Hati saya mungkin sedikit sejuk jika yang memohon kepada kerajaan untuk menghalalkan judi bola sepak itu mungkin terdiri daripada ahli mic atau mca atau dap atau pppp atau parti lain yang tidak sinonim dengan Islam. Kekecewaan saya kian membara apabila tiada seorang pun NGO seperti Perkasa atau mana-mana NGO yang muncul tiba-tiba jika ada sahaja kesilapan yang dilakukan oleh parti PAS. Di manakah NGO yang berani melanyak-lanyak PAS apabila menghina institusi Raja mahupun mencerca kekebalan umno ini? Di manakah NGO ini yang berani menyalak apabila PAS dikatakan berpolitik di dalam masjid? Di manakah mereka ini apabila PAS mengkafirkan umno dan mereka kemudiannya turut menuding jari yang sama kepada PAS? Di manakah mereka? Saya menunggu gerakan penentangan ini. Tiga hari berlalu, tiada sebarang petunjuk bahawa NGO ini akan melanyak-lanyak umno sebagai mana mereka melanyak PAS.

Sewaktu saya kecil dan kemudiannya memasuki alam persekolahan hingga ke menara gading, saya diberitahu oleh guru-guru (termasuk ustad dan ustazah) dan pensyarah saya bahawa judi itu haram. Kini pada tahun 2010 dalam bulan Mei ini saya mendengar cerita bahawa wakil umno telah memohon secara terbuka untuk menghalalkan lesen judi. Saya tidak pasti adakah guru saya itu salah memberi penerangan atau waktu guru saya mengajar itu saya tertidur hingga saya tidak mendengar bahawa 'judi itu halal'.

Masya-Allah, inikah balasan kemewahan, kedamaian, dan keamanan yang Allah berikan kepada rakyat Malaysia khususnya umno? Adakah ini balasan rasa kesyukuran daripada nikmat kebahagiaan yang dipinjamkan Allah? Adakah ini tanda penghargaan umno (Melayu-Islam) kepada Allah setelah diberikan kuasa pemerintahan? Atau, adakah ini lambang untuk MENCABAR kebesaran ALLAH SWT?

Saya, rakyat yang kerdil dan takut kepada 'dosa kering' atau 'dosa tempias' akhirnya terpaksa menelan semuanya ini walaupun pahit. Saya sedang berkira-kira dengan dosa-dosa masa lalu saya dan hari ini saya terpaksa pula berkira-kira juga dengan dosa 'masa depan' yang saya sendiri tidak pasti sebanyak mana balanya?

Ya Allah, Ya Rabb, Ya Rahman, Ya Rahim, ampunkan dosaku berserta dosa-dosa pembuat kemungkaran yang mencabar mukjizat Al-Quran dan mempersenda sunnah Nabi Muhammad SAW. Pimpinlah diriku ke jalan insaniah yang Kau redai. Amin.

Hati saya menjadi tawar untuk mengambil tahu hal-hal bola sepak dunia walaupun perkara inilah yang saya minati sejak dahulu; bersorak apabila Brazil berjaya menewaskan Argentina mahupun England.

Selasa, 11 Mei 2010

KOLEKSI LUKISAN SAYA





Di samping tulisan khat al-Quran, lukisan ini menjadi penghias dinding rumah saya. Jika ada sesiapa yang berminat harga pasaran lukisan ini ialah RM20K. Di tangan saya masih ada 20 lagi lukisan termasuk 'watercolor' mahupun 'pastal/carkol'. Saya akan 'download' gambarnya satu persatu-persatu kerana ruang yang terbatas.

Isnin, 10 Mei 2010

MEMINDAHKAN KEINDAHAN TANJUNG RHU KEPADA DUNIA KATA-KATA



APABILA rakan-rakan meluahkan kesukaran menulis puisi (rujuk blog SM Zakir dan Ridzuan Harun), saya sebenarnya menyembunyikan hal yang sama di dalam hati sahaja. Sama ada disedari atau tidak, menulis puisi bukan seperti menulis prosa yang boleh membobotkan apa-apa sahaja. Keterbatasan ruang adalah ukuran pertama selain kawalan diksi, imajeri, citraan, perasaan dan keindahan rohaniah. Justeru, dalam waktu-waktu yang indah, rupa-rupanya kebijaksanaan manusia amat sukar dikongsikan.

Saya sering merenung jauh ke dalam diri sendiri. Beberapa pertanyaan tentang 'kejujuran' diri tidak pernah terjawab secara muluk. Simpang-siur angan-angan dan kenyataan sukar bertemu pada garis dan titik akhir puisi. Apatah lagi simpang-siur kata-kata yang ingin disebatikan dengan rasa insaniah 'hablumminAllah hablumminannas'.

Nah, seminggu di Tanjung Rhu itu, rupa-rupanya waktu yang menguji kejujuran itu!

* Gambar:
Saya, SM Zakir, Ridzuan Harun, Rahimidin Zahari, SN Dato' Hj. Anwar Ridhwan dan Zaen Kasturi sedang bersiap siaga untuk dihantar ke Pulau Tok Umai (Pulau Pahlawan) yang penuh dengan keindahan flaura dan fauna tanah bakau.

28 April - 2 Mei 2010
201, Tanjung Rhu Resort,
Langkawi.

Sabtu, 8 Mei 2010

SELAMAT HARI IBU




TAHUN ini genap usia ibu saya 61 tahun. Nama ibu saya Hafsah bt. Moen. Ibu anak peranakan Arab dan Jawa. Keluarga ayah ibu saya berasal dari gugusan timur tengah sementara keluarga sebelah bapa saya berasal dari kepulauan Jawa (Bogor, Jakarta).

Ibu saya tidak banyak bercakap tetapi rajin dan tekun berusaha. Meskipun cita-citanya untuk bergelar guru tidak kesampaian kerana dipinang oleh ayah saya pada waktu yang muda; tetapi sifat keibuan dan keguruan ibu saya amat terserlah sekali.

AJARKU MENJADI INSAN
(Sajak Khas untuk Ibu)

Pandaimu tidak sebijaksana Rosmah
tetapi hatimu mulia dan penyayang

Wajahmu tidak secantik Siti Norhaliza
tetapi redup pandangmu mendamai jiwa

Hartamu tidak sekaya Sharizat
tetapi pemurahmu lebih membahagiakan

Personalitimu tidak sehebat Masitah
tetapi imanmu seteguh karang lautan

Suaramu tidak semerdu nyanyian Ella
tapi bicaramu sering meruntun kalbu

Kaulah air pelepas dahaga
kaulah wangian penawar haruman
kaulah nur di dalam gelap
kaulah cinta penyubur rindu

Emak,
SELAMAT HARI IBU,
terimalah aku semahunya
tanpa setitik dendam dan marah
aku anakmu
akan selalu ingat
"jadilah insan
bukan orang-orangan".

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

*Saya memilih imej nama-nama wanita ini kerana mereka tidak sempurna di mata emak saya. Emak saya selalu memarahi saya supaya jangan memilih calon isteri seperti mereka itu. Nasihat emak sering terngian-ngian di telinga. Saya sedar tentu ada teman-teman penyair yang marah apabila saya menggunapakai imej wanita ini di dalam sajak saya. Ini hanya paradok yang selalu emak saya gunakan tatkala menasihati anak-anaknya.

Emak, saya tahu hati nurani dan ketulusan hatimu tiada bandingannya. Senyumlah seperti selalu saat kau mendengar anakmu ini mengalunkan azan dan mengaji di rumahmu. Saya rindu sebuah masa lalu ketika berada di ribaanmu.

Khamis, 6 Mei 2010

BRAVO SPURS


Saya malas nak cerita pasal sastera sebab baru sahaja lepas dikurung selama seminggu di Tanjung Rhu Resort, Langkawi. 'Kurungan' kali ini teruk tetapi menyeronokkan, banyak kenangan dan inilah pengalaman yang tidak ternilai harganya. Bagi saya secara peribadi, saya beroleh layanan 5 bintang yang termahal selama seminggu di sana. Itu yang seronok, yang tidak seronoknya ialah saya terpaksa memerah otak menghasilkan puisi untuk bersaing dengan SN Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Ridzuan Harun, A. Rahim Abdullah, dan Ahmad Sarju. Mencipta puisi dengan kemewahan yang istimewa, rupa-rupanya amat sengsara.

Setiap pagi di meja sarapan kami akan bertanya sesama sendiri, "berapa puisi yang siap?" dan dalam keadaan yang penuh sadis itu, saya disergah oleh Zaen Kasturi, "kau ni diam aja, esok kau siap orang lain tak siap. Serius ke?" Mengingatkan sergahan Zaen itu, saya senyum sendirian. Begitulah seminggu di Tanjung Rhu.

ii.

Oleh itu, enteri kali ini akan saya penuhkan dengan cerita kegemilangan Tottenham Hotspurs (SPURS) yang berjaya menduduki carta ke-4 EPL dan seterusnya berjaya melangkah ke kejohanan Kelab Juara-juara Eropah musim depan.

Spurs bukan nama gemilang dalam dunia bola sepak dunia seperti MU atau Chelsea atau mana-mana kelab terbaik dunia. Spurs ni macam kelab 'cap burung' kata kawan saya yang memang tidak berjiwa semangat kesukanan. Bagi saya yang tidak sehebat mana main bola sepak tapi pernah mewakili negeri kelahiran di peringkat sekolah suatu waktu dahulu sekurang-kurang pernah juga tersenarai sebagai penjaring terbanyak, tentunya juga punya kelab pilihan untuk dijadikan idola. Spurslah pilihan hati saya. Pasukan yang memakai jersi serba putih ketika berada di padang. Itu kegilaan saya zaman dahululah. Sekarang ni, kalau main bola sepak, boleh mati di tengah padang adalah.

Waktu kegemilangan saya bermain bola sepak, kelab Spurs adalah satu nama besar. Gabungan permain Argentina, Scotland dan England menyebabkan kelab ini benar-benar mempunyai barisan yang terbaik. Nama-nama seperti Ricardo Villa, Steve Arciball, Osais Ardiled, Glenn Hoddell, Ray Cleymend dan lain-lain itu amat digeruni. Kehebatan kelab ini suatu waktu pernah menjuarai pelbagai kejohanan. Tetapi, bola itu bulat. Macam juga kelab ini, kelab itu melalui zaman suram yang panjang.

Kini di bawah pengurus Harry Redknapp, kelab ini melonjak mendadak hingga berjaya menenggelamkan nama Liverpool (maaf kepada Zaid Akhtar, Luqman dan Bob). Apa-apa pun, saya bukanlah peminta fanatik bola sepak. Menang ke, kalah ke, saya suka menyokong dan mengutuk teman-teman yang tegar menyokong Chelsea, MU, Liverpool mahupun Arsenal. Paling seronok apabila pasukan ternama itu kalah kepada pasukan kampungan seperti Bolton, Stoke, Newcastle, Wolves dan macam-macam lagilah.

Kepada peminat SPURS, jangan rasa kecil diri. Kedudukan ke-4 ini bakal membawa pengalaman baharu kepada kita untuk bertanding di Eropah. Saya sebenarnya sedang mengumpul duit untuk ke White Hart Lane, tahun depan. Saya teringin duduk di dalam stadium yang menjadi kegilaan saya ini. Saya ingin melihat Spurs meratah MU di situ tahun depan. Inilah azam tahun 2011 saya.

Tahniah SPURS. Bravo, bravo, bravo!

Sabtu, 1 Mei 2010

SEMINGGU DI TANJUNG RHU, LANGKAWI


BEGITULAH akhirnya, Dato' SN Anwar Ridhwan, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari (al-Maliki), SM Zakir (al-Yahya), Ridzuan Harun (al-Pokok Senai), Dr. Siti Zainon Ismail, A. Rahim Abdullah, Ahmad Sarju dan saya mula berkampung di Tanjung Rhu Resort, Langkawi. Bermula 28 April hingga 2 Mei 2010, kami diminta berkreatif dan memindahkan keindahan alam tanjung ini.

Nanti saya akan masukkan cerita-cerita lain lagi.