Rabu, 26 September 2007

Kenapa Tidak adik Nurin?

i
Malam tadi sekitar jam 12.45 malam saat aku menguliti buku 'Melayu Juwita' tulisan Dr. Yusmar Yusuf, telefon bimbit (TB) bergering. Ada mesej masuk. Aku buka dan baca pesanan dari rakan yang hampir tiga tahun tidak dihubungi. Aku tidak tahu macam mana dia boleh hilang daripada ingatan untuk seketika? Tapi syukur dia masih mengingati aku.

Maafkan aku sahabat, mungkin masa dan keadaan membataskan hubungan kita. Ringkasnya begini; mesej sahabatku itu ialah;

'Maaf mengganggu malam kau yang indah. Aku sedang menatap blog kau. Kau memang 'brutel'. Kau masih macam dulu juga. Menarik dan menggugah. Tapi kenapa tiada riaksi tentang adik Nurin?'

Aku tidak segera menjawab. Melihat namanya yang terpapar di TB aku cuba membayangkan saat kami bergelar mahasiswa. Lagak dia dan sikapnya menyenangkan rakan-rakan lain. Dia mudah dimesrai kerana sikapnya yang terbuka. Kini menetap di utara dengan jawatan DO di Arau. Tanpa banyak berfikir, aku membalas mesejnya, 'moga Allah melaknati manusia yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Aku tak tulis dalam blog tentang adik Nurin kerana aku takut pada nasib anak-anak aku.'

Mesej aku tidak dibalasnya. Aku harap dia faham. Aku sebenarnya tidak berani untuk memberi komen kerana manusia yang tidak berperikemanusiaan sentiasa ada di mana-mana. Bagi aku, itulah kebijaksanaan Allah yang menciptakan syurga dan neraka. Yang menciptakan hari kiamat dan hari pembalasan. Moga orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu akan menerima balasan yang setimpal tak kira di dunia atau di akhirat. Itu janji Allah yang tidak akan terlepas.

ii
Sesungguhnya ramadhan kali ini mengajar aku makna mengimarahkan ihya' ramadhan. Aku lebih senang menjadi manusia yang sedar sejauh mana batas waktu puasa yang sebenarnya.


BUKAKAN HIJAB DOA-MU

Ya, Rab,
berikan aku sebiji tamar
dari syurga-Mu
bukan sebiji kulbi
yang menyingkirkan Adam
dari kasih sayang-Mu.

Aku selalu bertanya
cukupkan bekalan ini
untuk aku bawa
ke negeri abadi?

Tuhan,
jangan dijawab pertanyaanku
kerana
aku ingin belajar menjadi insan
yang sentiasa takut dan bersedia
bukan peramal dan pemuja
cuma satu pintaku
bukakan aku hijab doa-Mu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham a--Johori.


Khamis, 20 September 2007

Pelabuhan Ramadhan


i
Rasa-rasanya hampir 3 bulan aku tidak menulis puisi. Mana tidaknya, sejak menjadi warga UPM, terlalu banyak beban kerja yang menyongelkan. Kerja-kerja remeh terlalu banyak. Isi borang itu ini tak habis-habis. Hari-hari ada sahaja borang yang perlu diisi. Kata mereka, "biasalah, untuk sasaran kerja ISO." Bagi mereka mungkin biasa, tetapi bagi aku, kerja-kerja itu hanya tuntutan duniawi yang entah apa-apa.

Pagi tadi selepas sahur, aku menguliti sajak-sajak Janjang Ikhtikaf karya Darma Mohammad. Menarik sekali nuasa islaminya. Dia tegar menyusun kata dan memilih perasaan hingga aku hanyut dibawa arus asmara. Sesekali terfikir juga dalam ingatan, "kenapa tiada orang yang ingin memperkatakan Darma sebagai penyair Islam?". Mungkin selepas ini, jika ada kelapangan, ingin juga rasanya aku menulis tentang kumpulan puisi ini.

ii.
Mungkin ini sajak baharu aku yang sempat aku lakarkan. Seminggu berpuasa memberikan sedikit energi untuk aku kembali menulis.

KEMBALI KE KAMPUNG TRADISI ii

Sesekali pulang ke kampung tradisi
menuju dusun dan taman nurani
alangkah syahdu dan menguris
saat mengenang sebuah kehilangan
di mana kolam tempat berwuduk?
di mana surah tempat bersolat?
di mana menara tempat melaung azan?
di mana madrasah tempat merawat rajuk?
atau pondok tempat bersunyi zikir
juga tempat bersuluk dan mengaji.

Sesekali pulang
aku mencari batiniahku yang hilang
sebuah zaman yang mengajar makna istiqamah
dewasa menganyam cinta dan zuhud imani
dalam sebuah kesepian penuh hikmah.

Kampung abadiku,
meski segalanya telah tiada
aku perlu berasa bangga
kerana
jalan pulang ini
denai dan tanahnya masih menghijau
bulan dan bintangnya masih bercahaya.

Sesekali pulang ke kampung tradisi
air mata yang setia membilang kehilangan
akur juga akhirnya
di anjung janjang hayat.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

8 Ramadhan 1428H

iii
Aku tiba-tiba diulit rindu yang amat sangat. Kekasihku seperti menjelma dan menghilang dalam bayang-bayang cintaku.

Wassalam.




Rabu, 19 September 2007

Apabila Malam Bertukar Menjadi Rindu


i
Kuliah subuh pagi tadi amat jelas bicaranya. Aku mula berkira-kira jika malam al-Qadar yang dijanjikan Allah itu bisa aku temui. Dalam usia yang kian menua ini, tentunya perjalanan hidup ini terasa dekat ke penghujungnya. Sesekali membilang hari-hari yang dilewati itu banyak mengundang cerita kemunafikan daripada cerita yang berharum narwastu. Inilah kebimbangan yang sedang menerawang di fikiran.

Apabila Malam Bertukar Menjadi Rindu, aku sering terngiang-ngiang pesan ayah agar sentiasa menjaga malam-malam ramadhan ini dengan istiqamah. Ayah pernah kata, "carilah seribu bulan pada setiap datangnya ramadhan." Dan hari ini, aku adalah seorang pencari yang tidak mengenal lelah. Sama ada aku bakal menemuinya tahun ini, itu bukan soalnya. Yang penting aku harus sentiasa bersedia, bersedia dan bersedia agar aku menemuinya suatu hari nanti. Aku perlu menjadi manusia terpilih. Aku juga tahu bahawa bukan semua manusia akan dipilih Allah untuk bertemu al-Qadar; tetapi sekurang-kurangnya aku juga punya peluang seperti insan yang Allah pilih untuk disayangi.

Sayangi daku dengan seluruh cinta-Mu, Rabb.


Selasa, 18 September 2007

BERSAMA-SAMA FAISAL TEHRANI

i
Maaf aku tak dapat masukkan gambar aku bersama-sama Faisal Tehrani (FT) sebab gambar yang aku ambil tak cantik. HP bermasalah.

Aku sebenarnya bersama-sama FT menjayakan Diskusi kecil 1515 di Fakulti Pengajian Pendidikan. Dia kali ini lebih banyak memberi input tentang novelnya itu. Apa yang boleh aku simpulkan ialah dia seorang lelaki yang penuh istiqamah. Selamat berjihat FT. Dunia yang kita pilih adalah dunia dakwah yang lain. Moga Allah terima semua usaha kita di dunia ini. Sesuatu yang aku teruja ialah apabila dia bertanya "sejarah itu sebenarnya milik siapa?".

Pemimpin boleh mencipta sejarah baharu mengikut apa yang disukainya. Justeru, sejarah yang sebenar hanya ada pada orang yang terlibat ketika itu. Sejarah hanya dapat dibuktikan kebenarannya apabila individu terbabit mengalami sendiri. Sejarah tidak dapat dikongsi jika diputarbelitkan.

Kerana sejarah sering diselewengkan makanya aku melihat dia lebih suka bermain dengan karya bersifat sejarah.

ii
Tanpa disedari selepas majlis itu, aku bersembang hingga jam 12.30. Dia banyak berkisah tentang alam yang aku perlu menjadi lebih berhati-hati.

Terima kasih Faisal Tehrani. Salam ukhwah dan jihat dalam istiqamah.

Jumaat, 14 September 2007

NASIB SEHELAI 'JALUR GEMILANG'


i
Beberapa hari sudah, ramai orang bercakap tentang makna kesetiaan dan ketaatan. Tanpa banyak bersoal atau mempersoal hal ini, mari kita renungkan nasib 'jalur gemilang' dan fikirkan pula siapa yang paling TIDAK TAAT dan TIDAK SETIA kepada negara Malaysia.

Peristiwa i: VIP MCA makan kek yang simboliknya ialah jalur gemilang (rujuk Berita Harian 12
09 07- Datuk Sri Ong Ka Ting memotong kek 'jalur gemilang' di SJK Ma Hwa,
Seremban).
Peristiwa ii: Seorang anak muda bertopi kaledar membakar jalur gemilang di Terengganu.

Dapatan kajian: Kedua-dua mereka itu ialah pengkhianat kepada negaraku Malaysia.

SELAMAT BERFIKIR. MOGA RAMADHAN INI MEMYUBURKAN CINTA KITA.