i
Pagi tadi selepas sahur, aku menguliti sajak-sajak Janjang Ikhtikaf karya Darma Mohammad. Menarik sekali nuasa islaminya. Dia tegar menyusun kata dan memilih perasaan hingga aku hanyut dibawa arus asmara. Sesekali terfikir juga dalam ingatan, "kenapa tiada orang yang ingin memperkatakan Darma sebagai penyair Islam?". Mungkin selepas ini, jika ada kelapangan, ingin juga rasanya aku menulis tentang kumpulan puisi ini.
ii.
Mungkin ini sajak baharu aku yang sempat aku lakarkan. Seminggu berpuasa memberikan sedikit energi untuk aku kembali menulis.
KEMBALI KE KAMPUNG TRADISI ii
Sesekali pulang ke kampung tradisi
menuju dusun dan taman nurani
alangkah syahdu dan menguris
saat mengenang sebuah kehilangan
di mana kolam tempat berwuduk?
di mana surah tempat bersolat?
di mana menara tempat melaung azan?
di mana madrasah tempat merawat rajuk?
atau pondok tempat bersunyi zikir
juga tempat bersuluk dan mengaji.
aku mencari batiniahku yang hilang
sebuah zaman yang mengajar makna istiqamah
dewasa menganyam cinta dan zuhud imani
dalam sebuah kesepian penuh hikmah.
Kampung abadiku,
meski segalanya telah tiada
aku perlu berasa bangga
kerana
jalan pulang ini
denai dan tanahnya masih menghijau
bulan dan bintangnya masih bercahaya.
air mata yang setia membilang kehilangan
akur juga akhirnya
di anjung janjang hayat.
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.
Aku tiba-tiba diulit rindu yang amat sangat. Kekasihku seperti menjelma dan menghilang dalam bayang-bayang cintaku.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan