Rabu, 19 September 2007

Apabila Malam Bertukar Menjadi Rindu


i
Kuliah subuh pagi tadi amat jelas bicaranya. Aku mula berkira-kira jika malam al-Qadar yang dijanjikan Allah itu bisa aku temui. Dalam usia yang kian menua ini, tentunya perjalanan hidup ini terasa dekat ke penghujungnya. Sesekali membilang hari-hari yang dilewati itu banyak mengundang cerita kemunafikan daripada cerita yang berharum narwastu. Inilah kebimbangan yang sedang menerawang di fikiran.

Apabila Malam Bertukar Menjadi Rindu, aku sering terngiang-ngiang pesan ayah agar sentiasa menjaga malam-malam ramadhan ini dengan istiqamah. Ayah pernah kata, "carilah seribu bulan pada setiap datangnya ramadhan." Dan hari ini, aku adalah seorang pencari yang tidak mengenal lelah. Sama ada aku bakal menemuinya tahun ini, itu bukan soalnya. Yang penting aku harus sentiasa bersedia, bersedia dan bersedia agar aku menemuinya suatu hari nanti. Aku perlu menjadi manusia terpilih. Aku juga tahu bahawa bukan semua manusia akan dipilih Allah untuk bertemu al-Qadar; tetapi sekurang-kurangnya aku juga punya peluang seperti insan yang Allah pilih untuk disayangi.

Sayangi daku dengan seluruh cinta-Mu, Rabb.


Tiada ulasan: