Rabu, 26 September 2007

Kenapa Tidak adik Nurin?

i
Malam tadi sekitar jam 12.45 malam saat aku menguliti buku 'Melayu Juwita' tulisan Dr. Yusmar Yusuf, telefon bimbit (TB) bergering. Ada mesej masuk. Aku buka dan baca pesanan dari rakan yang hampir tiga tahun tidak dihubungi. Aku tidak tahu macam mana dia boleh hilang daripada ingatan untuk seketika? Tapi syukur dia masih mengingati aku.

Maafkan aku sahabat, mungkin masa dan keadaan membataskan hubungan kita. Ringkasnya begini; mesej sahabatku itu ialah;

'Maaf mengganggu malam kau yang indah. Aku sedang menatap blog kau. Kau memang 'brutel'. Kau masih macam dulu juga. Menarik dan menggugah. Tapi kenapa tiada riaksi tentang adik Nurin?'

Aku tidak segera menjawab. Melihat namanya yang terpapar di TB aku cuba membayangkan saat kami bergelar mahasiswa. Lagak dia dan sikapnya menyenangkan rakan-rakan lain. Dia mudah dimesrai kerana sikapnya yang terbuka. Kini menetap di utara dengan jawatan DO di Arau. Tanpa banyak berfikir, aku membalas mesejnya, 'moga Allah melaknati manusia yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Aku tak tulis dalam blog tentang adik Nurin kerana aku takut pada nasib anak-anak aku.'

Mesej aku tidak dibalasnya. Aku harap dia faham. Aku sebenarnya tidak berani untuk memberi komen kerana manusia yang tidak berperikemanusiaan sentiasa ada di mana-mana. Bagi aku, itulah kebijaksanaan Allah yang menciptakan syurga dan neraka. Yang menciptakan hari kiamat dan hari pembalasan. Moga orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu akan menerima balasan yang setimpal tak kira di dunia atau di akhirat. Itu janji Allah yang tidak akan terlepas.

ii
Sesungguhnya ramadhan kali ini mengajar aku makna mengimarahkan ihya' ramadhan. Aku lebih senang menjadi manusia yang sedar sejauh mana batas waktu puasa yang sebenarnya.


BUKAKAN HIJAB DOA-MU

Ya, Rab,
berikan aku sebiji tamar
dari syurga-Mu
bukan sebiji kulbi
yang menyingkirkan Adam
dari kasih sayang-Mu.

Aku selalu bertanya
cukupkan bekalan ini
untuk aku bawa
ke negeri abadi?

Tuhan,
jangan dijawab pertanyaanku
kerana
aku ingin belajar menjadi insan
yang sentiasa takut dan bersedia
bukan peramal dan pemuja
cuma satu pintaku
bukakan aku hijab doa-Mu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham a--Johori.


Tiada ulasan: